Idea kreatif, jimatkan kos perbelanjaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Idea kreatif, jimatkan kos perbelanjaan

SUNGGUHPUN pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilihat memberi impak sama ada positif atau negatif, namun percaya atau tidak, ia berjaya memberi satu didikan terbaik buat pengguna, lebih-lebih lagi menjelangnya Aidilftiri tidak lama lagi.

Rata-rata pengguna menyatakan rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga barang sama ada makanan mahupun pakaian, kerana itu untuk menjimatkan kos, kebanyakan mereka membuatnya sendiri.

Tidak hanya itu, hasil tangan sendiri menjadi lebih kreatif kerana mengikut kreativiti masing-masing. Bagi yang kreatif dan ingin belajar sesuatu yang baharu, mereka menterjemahkannya kepada persediaan menghadapi Aidilfitri dengan lebih baik. Semuanya dapat dijimatkan jika memanfaatkan kreativiti yang sedia ada.

Malah, ada sesetengah pemilik butik melihat kuasa membeli semakin kurang kerana rakyat berjimat.

Belajar jahit kerana harga upah mahal

MELIHAT potensi kepada permintaan pakaian tinggi menyebabkan masyarakat mengambil peluang mengikuti kelas menjahit untuk mendalami bidang jahitan.

Bagi ahli Geologi, Ariffin Suhaidi berkata, dia mengikuti kelas menjahit di Shah Alam kerana mahu menjahit jubah lelaki yang dilihat  mempunyai kuasa beli yang tinggi di negara ini.

“Saya melihat jubah digayakan pelbagai peringkat usia. Saya mahu menjahit jubah untuk ahli keluarga dan dipakai pada Aidilfitri nanti.

“Kos upah dan harga pakaian semakin mahal. Jika kita dapat membuat sendiri, kita dapat berjimat dan akan berpuas hati dengan hasil tangan sendiri,” katanya.

Tambahnya, industri pakaian mempunyai potensi besar untuk diterokai terutamanya golongan Bumiputera dan peluang tersebut perlu direbut.

“Kita perlu tambah nilai sumber (TNS) sedia ada. Jika mempunyai kemahiran dan minat yang mendalam, bidang jahitan dapat menambahkan pendapatan keluarga,” katanya.

Bagi pekerja swasta yang dikenali Zainal berkata, keputusan belajar menjahit dibuat selepas berdepan dengan kos menjahit tidak munasabah tetapi tidak berkualiti.

“Kos menjahit zip sahaja RM15 hingga RM30 sedangkan harga zip tidak mahal. Alasan yang diberikan tukang jahit adalah upah membuka kembali zip yang rosak,” katanya.

Menurut Zainal, upah baju Melayu sepasang adalah RM150 berbanding jika jahit sendiri dan kos membeli kain sahaja.

“Lebih baik jahit sendiri, jika jahitan tidak cantik, kita tidak berpuas hati tetapi kita akan belajar menjahit dengan lebih baik,” katanya.

Tambahnya, jika belajar melalui youtube, masa yang diambil untuk menjahit adalah 30 saat sahaja berbanding belajar sendiri.

“Kita belajar menjahit perlu ada guru kerana kita akan didedahkan secara teori dan praktikal. Jika tidak faham, kita boleh bertanya terus dengan guru, ia lebih interaktif,” katanya.

Tambahnya, beliau akan mendalami bidang jahitan dan merancang untuk membuka perniagaan fokus kepada pakaian lelaki.

Sementara itu, Noris Damia Mohd Zamri, 18, berkata, keputusan untuk belajar menjahit kerana minat dan mengisi masa lapang.

“Saya mahu menjahit pakaian sendiri dan ahli keluarga untuk Aidilfitri nanti. Kos upah sepasang baju kurung agak tinggi dan jika membeli baju siap, harganya tetap mahal” katanya.

Pelajar kelas jahitan bertambah

TIDAK selesa memakai pakaian siap dibeli, menyebabkan Multi Skill Tailoring Academy menjadi pilihan mereka yang ingin belajar menjahit dan boleh menjana pendapatan.

Pemiliknya, Nurul Hidayah Kasnun berkata, rata-rata pelajar ingin belajar menjahit pakaian kerana berdepan pelbagai masalah antaranya kos tempahan mahal tetapi hasil tidak berkualiti.

“Kebanyakan mereka mengatakan pakaian yang ditempah tidak selesa. Bagi saiz badan yang tidak normal, rekaan adalah masalah utama kepada mereka,” katanya. Nurul Hidayah jimatkan kos perbelanjaan Katanya, akademi jahitannya menerima lebih 200 pelajar sejak beroperasi di Seksyen 7, Shah Alam pada 2014.

“Alhamdulillah, setiap bulan, ramai yang daftar di sini. Selepas GST, pelajar bertambah ramai kerana mereka mahu jahit sendiri baju untuk digayakan pada Aidilfitri,” katanya.

Katanya, pelajarnya terdiri daripada golongan profesional, suri rumah, pelajar sekolah termasuk kaum lelaki.

Ada sebahagian pelajarnya menambahkan kemahiran menjahit kerana mahu membantu suami dan mencari duit tambahan,” katanya.

Kelas jahitannya menyediakan pakej jahitan serendah RM350 sehingga RM660.

“Alhamdulillah, ada pelajar saya membuka butik sendiri dan menjadi usahawan berjaya. Ada yang menjadikan ia pendapatan sampingan yang menguntungkan,” katanya yang akan membuka kelas kraf tangan tidak lama lagi.

Sementara itu, pemilik butik Galeri Nia Zaira, Haryati Nur Ibrahim berkata, kelas menjahit manik dan labucinya menerima ramai pelajar baharu.

"Kebanyakan mereka mahu menjahit sendiri untuk mencari pendapatan sampingan. Saya mengajar secara individu dan berkumpulan mengikut pakej serendah RM30 hingga RM180," katanya.

Katanya, kebanyakan pelajarnya mahu menghias pakaian dengan labuci dan manik supaya lebih menarik dan cantik.

"Apabila musim perayaan, saya menerima banyak tempahan menjahit manik dan labuci yang diterima," katanya.

Related Post

0 Komentar untuk " Idea kreatif, jimatkan kos perbelanjaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ