BERADA dalam bidang kerjaya yang didominasi lelaki tidak pernah membuatkannya berasa rendah diri atau terasing, malah menjadikan Profesor Madya Ir Hayati Abdullah, 53, semakin ingin berdaya saing untuk muncul sebagai seorang jurutera yang dianggap luar biasa. Menyedari profesion pilihannya jarang dikuasai golongan wanita, Hayati yang juga pensyarah kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, tahu meletakkan diri pada kedudukan sepatutnya untuk membolehkan beliau bersaing dalam kerjaya diceburi. Sebagai jurutera profesional, Hayati disifatkan sebagai model yang turut menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada jurutera wanita lain dalam memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Pada masa sama, beliau juga menunjukkan kecemerlangan dalam bidang pengajaran kejuruteraan, selain banyak melakukan penyelidikan bersifat inovatif sehingga beliau dilantik sebagai pengarah di Pusat Pengajaran dan Pembelajaran UTMLead. Keazaman dan kecemerlangan yang ditunjukkannya dalam bidang kejuruteraan di negara ini, memang selayaknya Hayati terpilih menerima Anugerah Jurutera Wanita 2015 Institut Jurutera Malaysia (IEM), baru-baru ini. Wanita kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini juga mencatat sejarah apabila menjadi jurutera wanita pertama yang dilantik mengetuai sebuah cawangan IEM yang mempunyai keahlian terbesar di negara ini dengan lebih 3,000 ahli. Berkongsi rahsia kejayaan, Hayati berkata, sebagai wanita berkerjaya dan ibu kepada dua anak, sokongan keluarga amat penting dalam memastikan kecemerlangan serta pencapaian terbaik dalam bidang yang diceburinya. Mengikut Hayati, beliau amat bertuah kerana mendapat sokongan keluarga dalam kesibukannya menjalankan tugas mengajar dan pada masa yang sama, menjadi perunding kejuruteraan dengan firma tempatan serta antarabangsa. "Saya tinggal berdekatan dengan ibu saudara yang banyak membantu menjaga anak ketika saya sibuk bekerja. Ini menyebabkan tidak timbul rasa risau untuk meninggalkan anak ketika saya keluar bekerja kerana saya mempunyai orang yang boleh dipercayai untuk menjaga mereka," katanya dalam pertemuan dengan BH FAMILI di ibu negara, baru-baru ini. Hayati berkata, walaupun kerjaya memaksa beliau berjauhan dan terpaksa tinggal berasingan dengan keluarga, ia tidak pernah menjadi halangan kepadanya, malah bukan menjadi alasan untuk beliau mengabaikan tanggungjawab terhadap anak. "Selama mengajar di UTM, saya berulang-alik dari Skudai ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu kerana anak dan suami ketika itu tinggal di ibu negara memandangkan anak saya enggan bertukar sekolah. "Tetapi saya tidak pernah terlepas hari-hari penting untuk bersama keluarga, termasuk ketika meraikan kejayaan anak dan kami sentiasa rapat," katanya yang akan memandu sendiri setiap kali perjalanan pergi balik antara Johor Baharu dengan Kuala Lumpur. Hayati berkata, beliau tidak pernah penat atau berasakan ia satu bebanan setiap kali perlu memandu pulang pada hujung minggu kerana menganggap ia adalah masa untuk bersendirian. Selain itu, ia juga dapat menenangkan fikiran dan menjadikan ruang yang ada untuk berfikir serta membuat pelbagai perancangan. "Malah saya pernah berulang-alik setiap minggu dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang selama setahun ketika ibu saya sedang sakit kira-kira tujuh tahun lalu. "Semua itu saya lakukan tanpa rasa seperti bebanan atau penat, sebaliknya ditempuhi dengan perasaan senang," katanya. Menceritakan permulaan kerjayanya, Hayati berkata, beliau pada awalnya meminati bidang perguruan selepas terpengaruh dengan cara mengajar yang disampaikan guru Bahasa Inggerisnya ketika menuntut di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban. "Tetapi saya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Clemson, Amerika Syarikat menerusi biasiswa yang ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran. "Disebabkan itu, sekembalinya dari luar negara, saya perlu mengikuti latihan Sijil Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Perguruan Teknik, Cheras untuk membolehkan saya menjadi pensyarah pelatih di Politeknik Ungku Omar, Ipoh pada tahun 1985. "Semasa di universiti, saya amat tertarik dengan pengajaran pensyarah di sana kerana mereka bukan sekadar mengajar dari segi teori, tetapi mempunyai pengalaman dalam industri sendiri. "Perkara itu menjadi motivasi kepada saya untuk menjadi bukan saja seorang pensyarah yang berjaya melahirkan bakal jurutera, tetapi pada masa sama, seorang jurutera profesional yang bekerja di lapangan," katanya. Hayati berkata, sepanjang 30 tahun terbabit melatih bakal jurutera di peringkat ijazah pertama dan lanjutan, beliau sering kali memberi galakan dan motivasi terutama kepada pelajar perempuan untuk terus kekal dalam industri memandangkan pembabitan jurutera wanita di negara ini sekarang hanyalah sekitar 20 peratus. "Saya selalu ingatkan kepada mereka, jangan fokuskan diri bahawa anda berada dalam bidang yang dikuasai lelaki, sebaliknya berusaha untuk menjadi jurutera yang terbaik dan mampu berdaya saing. "Wanita sebenarnya mampu menjadi seorang jurutera yang terbaik dan luar biasa memandangkan mereka mempunyai sifat teliti dan sanggup berkorban," katanya. Kesungguhan Hayati untuk mengangkat jurutera wanita terbukti apabila beliau turut menubuhkan cawangan Jurutera Wanita IEM Wilayah Selatan (Johor & Singapura) selain mewujudkan Bahagian Jurutera Wanita Muda IEM Bagi Pelajar UTM. "Harapan saya suatu hari nanti ialah ada jurutera wanita yang bakal menerajui Institut Jurutera Malaysia pula," katanya yang juga Pengerusi Institut Jurutera Malaysia Cawangan Selatan (Johor & Singapura) . Masa berkualiti bersama keluarga Biarpun sentiasa sibuk dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, Hayati tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk mengabaikan keluarga, malah beliau menyifatkan dirinya sebagai amat mementingkan masa kualiti bersama anak-anak. Hasil perkahwinan dengan seorang jurutera elektrik pada tahun 1983, beliau dikurniakan dua anak iaitu Masyitah Mahdi, 29 dan Muhammad Hilmi Mahdi, 27. "Walaupun mereka sudah besar dan anak sulung sudah berkahwin, kami masih lagi rapat dan sentiasa mencari masa untuk menghabiskan masa bersama. "Mungkin orang lain pergi bercuti untuk menghabiskan masa bersama keluarga, tetapi saya lebih suka mengajak anak dan menantu masuk ke dapur untuk memasak bersama kerana dengan cara itu lebih banyak yang dapat kami lakukan dan bualkan bersama. "Dari ke pasar, memasak dan makan, semua kami lakukan bersama yang menyebabkan suasana di rumah kadangkala menjadi riuh rendah walaupun keluarga kami tidak besar," katanya yang juga gemar bermain boling. Hayati berkata, beliau juga memberi kebebasan kepada anak-anaknya untuk memilih bidang yang mereka minat. "Anak saya yang sulung kini adalah doktor perubatan di Hospital Ampang, Selangor, manakala Muhammad Hilmi adalah usahawan tani walaupun dia mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan awam. "Tetapi saya berbangga dengannya kerana selepas tiga tahun mengusahakan tanah pertanian di Bentong, Pahang, beliau terpilih menerima Anugerah Siswazah Tani bagi negeri Pahang pada tahun 2014 hasil kerja kerasnya yang mengusahakan tanaman cili dan terung untuk dibekalkan kepada sebuah rangkaian pasar raya besar di negara ini," katanya. BIODATA Profesor Madya Ir Hayati Abdullah Tarikh lahir: Ogos 1962 Tempat lahir: Kepala Batas, Pulau Pinang Anak: Masyitah Mahdi, 29 Muhammad Hilmi Mahdi, 27 Pendidikan Rendah: Sek Ren Convent Butterworth, Pulau Pinang Pendidikan Menengah: Kolej Tunku Kurshiah, Seremban. Pendidikan Tinggi: Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Clemson, South Carolina, Amerika Syarikat Sarjana Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia Anugerah: Anugerah Jurutera Wanita Institut Jurutera Malaysia (IEM) 2015 Anugerah Akademik Negara 2010 Anugerah Penasihat Akademik Terbaik Universiti Teknologi Malaysia 2008. Anugerah Pengajar Terbaik Universiti Teknologi Malaysia 2005
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62783
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62783
0 Komentar untuk " Hayati, jurutera wanita luar biasa "