Hampir tiga bulan selepas GST - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hampir tiga bulan selepas GST

PELBAGAI reaksi boleh dilihat apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) mula dilaksanakan pada 1 April lalu sama ada melalui media cetak, elektronik, baharu dan juga sosial.

Malah lebih menarik seminggu sebelum GST dilaksanakan orang ramai berpusu-pusu ke pasar raya berhampiran untuk membeli barang-barang keperluan untuk dijadikan sebagai simpanan.

Hampir tiga bulan GST dilaksanakan dan pelbagai persoalan mula timbul. Adakah pengguna sudah kurang membeli dan lebih gemar memasak daripada makan di luar?

Bagi peniaga pasar raya dan kedai runcit, adakah mereka mengalami kerugian apabila melihat pelanggan semakin berkurangan? Pelbagai pertanyaan dilontarkan.

Dalam masa tiga bulan ini jugalah, pelbagai promosi diadakan bagi melariskan jualan, tidak kurang yang semakin bijak berbelanja.Tinjauan dilakukan bagi mendapatkan pihak terbabit berkenaan isu ini.

Pengguna berbelanja lebih teliti

Rata-rata orang ramai yang ditemu bual Sinar Harian mengatakan pandangan mereka bahawa harga barang di pasaran meningkat akibat pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan GST April lalu.

Walaupun hampir tiga bulan ia dilaksanakan pengguna masih menyatakan mereka sedikit terbeban dan sukar mendapatkan barang yang turun harganya.

Bagi Noor Mohamad Amin Salleh, 31, walaupun hampir tiga bulan GST dilaksanakan masih sukar mendapatkan barang-barang yang mengalami penurunan harga.

“Perbelanjaan bulanan saya sebagai bujang juga meningkat disebabkan harga yang naik, inikan pula mereka yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak.

“Bukan sahaja harga barang naik, tetapi kebanyakan premis perniagaan yang melibatkan perkhidmatan seperti rangkaian restoran juga menaikkan harga makanan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai penjimatan yang dilakukannya selepas GST Mohamad Amin berkata, dia akan membeli barang mengikut keperluan dan melakukan perbandingan harga sebelum membeli.

“Ini bertujuan untuk mendapatkan barang-barang pada harga yang kompetitif selepas dikenakan GST dan juga mengelakkan perbelanjaan melebihi kemampuan kewangan,” katanya.

Mengutamakan keperluan daripada kehendak dan membuat perancangan perbelanjaan lebih teliti adalah antara cara yang digunakan Nurul Mazni Mustapa, 25, dalam berjimat selepas pelaksanaan GST.

“Memang diakui perbelanjaan meningkat dan kalau kita lihat harga sesetengah barang turut meningkat dan bebanan itu amat dirasai.

“Ditambah pula dengan nilai mata wang yang semakin mengecil ia semakin membebankan golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.

Menurut Nurul Mazni, GST merupakan antara langkah kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara tetapi dari konteks pengguna ia membebankan dan hampir tiga bulan dilaksanakan ia masih membebankan.

Bagi Suhana Mahbob, 35, dia dan suami sentiasa berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan keluarga mereka dan apabila GST dilaksanakan kesannya kurang dirasai.

"Memang diakui perbelanjaan sedikit sebanyak meningkat kerana harga barang meningkat, tetapi bukan semua, barang-barang basah dan runcit ada yang sifar GST.

"Kami hanya membeli barang yang diperlukan sahaja dan mengurangkan kehendak serta mendahulukan keperluan supaya tidak rasa terbeban," katanya.

Menurut Suhana, dia dan keluarga juga sudah mengurangkan makan di luar dan lebih gemar memasak di rumah.

Pupuk pengguna semak resit belian

GST berjaya memupuk pengguna untuk melihat dan menyemak resit pembelian barangan yang dibelanjakan berbanding sebelum ini.

Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Datuk Subromaniam Tholasy berkata, secara tidak langsung ia mampu memupuk kesedaran pengguna selepas lebih dua bulan ia dilaksanakan.

“Apabila GST dilaksanakan, pengguna mula melihat dan menyemak resit pembelian mereka bagi mengenalpasti harga barangan yang dibeli.

“Kalau dahulu mereka hanya membeli dan tidak melihat pada resit, tetapi kini dapat memberi tekanan kepada peniaga yang tidak jujur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Subromaniam, sebelum GST, situasi tersebut membolehkan peniaga yang tidak jujur mengambil kesempatan.

“Apabila ada sikap sebegitu ia akan memberi kebaikan kepada pengguna di mana mereka boleh mengetahui berapa harga yang dijual oleh peniaga dahulu dan sekarang.

“Ini sekali gus, mampu memberi kuasa kepada pengguna sekiranya didapati ada kedai yang mengubah harga jualan mereka dan mengambil kesempatan dan pengguna boleh memilih kedai lain yang jujur,” katanya.

Subromaniam juga berkata situasi ini mampu memberi tekanan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan menipu pengguna.

Ditanya mengenai aduan yang diterima Kastam, Subromaniam berkata pada hari pertama GST dilaksanakan, pihaknya menerima lebih dari 800 aduan seluruh negara.

“Sebulan kemudian, iaitu pada Mei kami menerima aduan hampir 800 dan jumlah tersebut semakin berkurangan pada awal Jun ini.

“Walaupun, ada kenaikan harga barang pada awal pelaksanaan, saya percaya keadaan akan lebih terkawal dalam bulan-bulan akan datang memandangkan kefahaman pengguna mengenai GST semakin meningkat,” katanya.

Jelasnya, Kastam dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sentiasa memantau peniaga agar tidak berlaku penipuan.

0 Komentar untuk " Hampir tiga bulan selepas GST "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ