BH: Negara dikejutkan dengan penemuan lebih 100 kubur dan 28 kem menempatkan pendatang di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini. Boleh Datuk Seri ulas perkara ini? Wan Junaidi: Apabila kita lihat daripada pelbagai sudut, kita dapati perkara ini bukan dianjurkan oleh orang atau sindiket dari Malaysia kerana ia sebenarnya datang dari Thailand. Cuma lokasi perkuburan sengaja dibuat 200 hingga 400 meter ke dalam kawasan Malaysia kerana mereka (sindiket) menyedari kawasan itu tidak diawasi. Dengan kata lain mereka ambil kesempatan kerana lokasi itu lebih mudah dimasuki daripada Thailand tetapi sukar dari negara ini. Saya tidak nafikan ada rakyat kita terbabit namun mereka ini hanya bersekongkol dan bukan dalang utama. BH: Adakah ini membawa maksud sempadan negara kita begitu mudah dicerobohi? Wan Junaidi: Dalam hal ini saya bersetuju sempadan kita lolos. Kita kena terima hakikat itu. Bagi kes di Wang Kelian ini, ia berlaku kerana di sebelah sempadan kita kawasannya berbukit dan curam yang bukan mudah untuk dilalui. Jadi tempat lain kita boleh kawal tetapi di sini (Wang Kelian, Perlis) ia agak sukar bagi pasukan keselamatan kita. BH: Susulan penemuan kubur dan kem itu, timbul persoalan adakah ia disebabkan penguatkuasaan yang lemah, berlaku gejala rasuah atau halangan geografi? Wan Junaidi: Saya tahu ada pandangan negatif dari pihak lain mengenai perkara ini, tetapi bagi saya ia disebabkan mereka tidak mendapat gambaran jelas mengenainya. Ada banyak faktor yang menjadi punca. Namun bagi saya kesimpulan yang boleh dibuat adalah faktor geografi yang menjadi halangan utama di kawasan Wang Kelian ini. BH: Apakah tindakan susulan kerajaan selepas ini berikutan penemuan kubur dan kem pendatang ini. Adakah tidak cukup kawalan keselamatan yang dilakukan selama ini? Wan Junaidi: Saya yakin ia perlu diperketatkan lagi, namun kita menghadapi kekangan dari segi bajet. Jika perlu kita bina pagar di semua kawasan sempadan kita bina akan bina. Bagi kawasan Wang Kelian ini isunya bukan semata-mata bajet tetapi keadaannya dari segi geografi terlalu sukar. Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh berbincang perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk dapatkan bajet yang sesuai. Ia boleh dibincangkan. BH: Perlukan kita mewujudkan zon khas di kawasan sempadan untuk menangani masalah pendatang ini? Wan Junaidi: Kita tidak boleh lari daripada menjalankan kerjasama dengan negara jiran kita Thailand, sebab kawasan sempadan ini kita kongsi bersama. Dalam keadaan sekarang kita lihat berdasarkan tindakan yang diambil oleh pihak Thailand saya percaya ada masa depan yang baik berhubung kerjasama antara kedua negara. Kita juga sudah hentikan keluar masuk sempadan secara bebas ini. Kita tidak benarkan lagi 'angkat tangan' atau 'angguk kepala' bagi melepasi kawasan sempadan. BH: Wajarkah anggota keselamatan yang bertugas di sempadan perlu kerap ditukar bagi menangani masalah ini? Wan Junaidi: Soal tempoh masa anggota keselamatan kita yang bertugas di sempadan, saya minta supaya ia dikaji oleh agensi terbabit untuk memastikan tekanan yang dihadapi anggota. Kalau ada terdapat kesan tekanan bagi anggota yang berkhidmat di sempadan dalam tempoh masa tertentu kita akan fikirkan apa nak buat nanti. Apa yang penting buat masa ini adalah setiap aktiviti keluar masuk perlu diperiksa betul-betul untuk memperketatkan lagi kawalan. BH: Apa harapan Datuk Seri terhadap isu ini kerana sudah pelbagai cara dan strategi dilaksanakan untuk menanganinya tetapi sempadan negara masih mudah dibolosi? Wan Junaidi:Seperti yang saya katakan sebelum ini, harapan saya supaya kawalan di sempadan ini perlu diperketatkan. Kawalan sempadan di kawasan berpagar perlu diperhebatkan, ia perlu sentiasa dipantau. Selain itu kita perlu memperkemas dan memperketatkan lagi pemeriksaan di Kompleks Imigresen dan Kastam (KIK) di sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kota Putra di Kedah dan Padang Besar di Perlis.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/58398
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/58398
0 Komentar untuk " Dalang sindiket penyeludupan manusia bukan dari negara ini "