Balang kuih raya pilihan ramai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Balang kuih raya pilihan ramai

SETIAP kali tibanya musim perayaan, wanita atau golongan suri rumah menjadi antara individu yang pening kepala memikirkan bekas untuk mengisi kuih raya.

Ini kerana, balang kuih raya saban tahun sentiasa bertukar dari segi reka bentuk mahupun coraknya.

Sebelum ini, trend balang kuih raya yang digubah dan dihias cantik seperti hantaran menjadi kegilaan ramai.

Namun, pada hari ini, terdapat pelbagai jenis balang kuih raya dijual di pasaran sudah siap dihias cantik dengan corak bunganya yang siap ditampal. Ia seakan-akan sama dengan balang klasik menggunakan corak bunga yang siap diukir pada kaca balang tersebut.

Segelintir pengguna suka dengan reka bentuknya dan hiasannya yang cantik serta ada juga mereka yang mementingkan kualiti balang itu sendiri, manakala sesetengah orang pula lebih cenderung melihat kepada fungsinya.

Bagi pelajar, Illeanna Haslan, 21, berkata, dia lebih gemarkan reka bentuk balang klasik yang malar segar menghiasi meja tamu.

“Sehingga raya tahun lalu, mak saya masih kekalkan guna botol kristal untuk isi kuih raya. Lagipun, saya tidak begitu suka dengan balang yang berwarna-warni,” katanya.

Walaupun Illeanna mengikuti trend terkini balang kuih raya di pasaran, namun dia dan keluarganya tidak merasakan keperluan untuk membelinya kerana ia bekas sedia ada masih boleh dipakai.

“Saya memang suka tengok balang kuih raya kerana reka bentuknya yang cantik, namun untuk membelinya, saya rasa tidak perlu sebab bekas itu hanya diperlukan ketika musim perayaan.

“Kalau saya hendak beli, saya akan pandang kualiti balang itu sama ada ia mampu bertahan lama atau tidak,” katanya.

Balang klasik tahan lama

Peniaga makanan, Samsiyah Ali, 55, berkata, dia lebih mementingkan balang kuih raya yang tahan lama dan kedap udara.

“Saya lebih gemar gunakan Tupperware atau balang kristal yang klasik. Apa yang penting, kuih raya yang diisi di dalamnya tahan lama dan tidak masuk angin.

“Kadang kala, ada sesetengah balang yang kelihatan cantik, tetapi sayangnya ia tidak tahan lama. Sebelum saya beli, saya akan pastikan balang itu cantik dan tahan lama,” katanya.

Sementara itu, Hamdani Hamzah, 36, usahawan, balang kosong yang mempunyai reka bentuk menarik menjadi pilihannya setiap kali hari raya.

“Walaupun nampak tidak trendy, saya suka balang yang tidak bercorak kerana ia boleh digunakan sepanjang zaman.

“Apa yang penting, pada saya ialah harganya yang berpatutan dan reka bentuknya yang cantik. Saya hanya pilih balang yang murah dan tidak berjenama kerana ia hanya sesekali dipakai,” katanya.

Hamdani hanya membeli balang yang baharu sekiranya bekas kuih raya sedia ada tidak mencukupi.

Balang dijual  sepanjang tahun

Peniaga balang kuih raya, Aminah Burok berkata, dia menjual balang itu sepanjang tahun kerana ada permintaan walaupun di luar musim perayaan.

“Selalunya, kalau musim perayaan, harga balang ini akan ada promosi dan lebih rendah daripada hari biasa.

“Saya hanya jual balang kuih raya yang mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat iaitu antara harga RM20 hingga RM154. Kebanyakan pengguna akan mencari balang yang kedap udara,” katanya.

Aminah sudah tujuh tahun berniaga secara atas talian menerusi kedaimaju.com berkata, balang kuih raya berbentuk empat segi mendapat pilihan ramai pelanggannya sehingga dia kehabisan stok.

“Selain itu, balang yang tidak bercorak juga sering kali menjadi pilihan pelanggan kerana ia boleh digunakan untuk mengisi gula atau garam jika bukan musim perayaan.

“Berbanding dengan balang bercorak yang sering bertukar setiap tahun, pengeluar masih lagi kekalkan pengeluaran balang kosong tidak bercorak kerana permintaan tinggi,” katanya.

Menurutnya, reka bentuk dan corak sentiasa bertukar setiap tahun bergantung kepada pengeluar.

Katanya, balang kuih raya yang ada pada hari ini masih mengekalkan bentuk asalnya, malah ada yang persis sama seakan-akan balang lama yang klasik, namun ia hanya dibezakan oleh corak bunga pada balang tersebut.

“Jika dulu, corak pada balang kuih raya itu diukir pada kacanya, namun kini, coraknya telah ditampal pada botol tersebut.

"Cuma, balang kuih raya moden kini didatangkan sekali dengan rak atau bakul untuk memudahkan pengguna,” katanya.

0 Komentar untuk " Balang kuih raya pilihan ramai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ