Baik jika dikurangkan bayar tol - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Baik jika dikurangkan bayar tol

PEJAM celik, pejam celik, sudah seminggu kita berpuasa; betapa cepatnya masa berjalan.

Sebahagian besar daripada kita tentunya sudah mula buat rancangan, termasuk ambil cuti beberapa hari, untuk balik kampung beraya bersama ibu bapa dan sanak-saudara.

Maka akan bermulalah apa yang selalu berlaku; kesesakan lalu-lintas di sepanjang lebuh raya dan jalan raya.

Beratus ribu kenderaan akan merangkak, kadangkala mengambil masa lebih daripada dua kali lama daripada musim biasa.

Antara destinasi yang biasanya hanya mengambil masa empat jam boleh makan masa hingga 10 jam sehari sebelum hari perayaan.

Ini adalah lebuh raya yang mengenakan tol; bayangkan jalan raya yang tidak bertol dan yang terdapat lampu isyarat, simpang dan selekoh di sana sini. Itulah jalan di Malaysia.

Sebab itu kita tidak boleh marah pengguna lebuh raya yang sentiasa merungut kerana walaupun terpaksa membayar tol, terpaksa menjadi mangsa kesesakan di lebuh raya.

Maka tepat sekalilah seperti apa yang disebut dalam rencana eksklusif Sinar Harian kelmarin bahawa lebuh raya sebenarnya bertujuan menyediakan laluan alternatif kepada orang ramai untuk tiba ke destinasi dengan cepat, selamat dan lancar.

Tetapi, disebabkan bilangan kenderaan semakin bertambah dari semasa ke semasa tanpa kawalan, sementara kemudahan yang ada tidak banyak berubah, orang ramai terpaksa menanggung kesengsaraan tiba ke destinasi lambat.

Keadaan ini bukan sahaja berlaku setakat berlaku di musim perayaan atau cuti panjang, malah setiap hari, terutama hari bekerja, apa lagi di waktu puncak, ketika orang ramai pergi ke pejabat dan balik ke rumah.

Ramai yang meluahkan pandangan adalah tidak adil pihak konsesi memungut kadar tol sama, sedangkan pengguna terpaksa berhadapan dengan kesesakan di lebuh raya.

Kalau begini teruk keadaan hari ini, kita tidak boleh bayangkan bagaimana keadaan kesesakan di lebuh raya dan jalan raya dalam tempuh 10 tahun lagi, dengan mengambil kira pertambahan kenderaan, kos sara hidup, kenaikan harga barang, perkhidmatan dan cukai.

Maka memang kena sangatlah pada masanya apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia mencadangkan supaya pihak konsesi lebuh raya memberi rebat atau diskaun kepada pengguna sekiranya berlaku kesesakan.

Menurut ketua aktivis persatuan, Datuk Nadzim Johan, diskaun yang dicadangkan itu sekurang-kurangnya meringankan beban pengguna kerana lebuh raya bertol diwujudkan untuk memberi keselesaan kepada pengguna.

“Sebagai contoh, pada waktu puncak sekitar jam 7 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 7 malam, keadaan lebuh raya akan sesak dan ia menyebabkan pengguna rugi dari segi masa serta wang ringgit.

“Mungkin potongan harga sekitar 10 ke 20 peratus daripada harga tol boleh diberikan. Jangan ketika musim perayaan sahaja kita beri rebat dan diskaun kepada pengguna,” jelasnya.

Keselesaan pengguna perlu diberi keutamaan, katanya, kerana mereka membayar perkhidmatan yang disediakan.

Kesesakan di jalan raya di bandar-bandar, seperti di kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur, tidak guna cakap lagilah.

Setiap masa, siang atau malam, kecuali selepas tengah malam hingga subuh, jalan raya sesak dengan kenderaan.

Daripada penelitian sendiri dan daripada apa yang saya baca dan dengar, saya berani buat kesimpulan bahawa kesesakan berlaku disebabkan beberapa faktor.

Antaranya ialah kedudukan lampu isyarat yang tidak sesuai, tempoh isyarat tidak terlalu lama di tempat yang tidak sepatutnya.

Papan tunjuk jalan ada kalanya mengelirukan pemandu hingga mereka terpaksa memandu perlahan atau terpaksa menyelit ke kiri kanan untuk  menuju ke jalan yang sepatutnya.

Yang pastinya adalah sikap sebahagian daripada pemandu; ada yang tidak mahu bertolak-ansur dan panas baran yang hanya mahu cepat tanpa mengambil kira kepentingan pengguna lain.

Apa pun, kita menghargai hasrat Kementerian Kerja Raya yang berjanji akan pertimbangkan cadangan untuk memberi diskaun kepada pengguna lebuh raya pada waktu puncak.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengakui mungkin konsep yang diguna pakai 10 tahun lalu sudah tidak relevan dengan bertambahnya kenderaan.

Beliau juga berjanji akan bermesyuarat dengan pihak konsesi lebuh raya mengenainya. Alhamdulillah.

Kalau menteri faham dan bersimpati dengan rakyat, usaha ke arah kesejahteraan dan keselesaan rakyat akan menjadi lebih mudah. Insya-ALLAH.

Tapi kalau sudi kurangkan bayaran tol tidak kira musim, tentu lebih baik bagi rakyat.

Related Post

0 Komentar untuk " Baik jika dikurangkan bayar tol "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ