ADIK saya salah seorang yang berada di atas Gunung Kinabalu ketika gempa bumi berlaku pada 5 Jun lalu. Berukuran 5.9 pada skala Richter, sesuatu yang mengejutkan. Kita yang tidak berada di tempat kejadian pun turut berasa bimbang, apatah lagi mereka di tempat kejadian.
Menurut beliau, ketika kejadian, kedengaran bunyi yang sangat kuat. Untuk memudahkan saya faham, beliau ibaratkan seperti bunyi dalam filem Jurassic Park.
Panik. Mendebarkan. Ketakutan. Begitulah perasaan yang digambarkan. Rata-rata mereka yang berada bersama beliau terpinga-pinga apa yang sedang berlaku? Tidak terfikir langsung gempa bumi. Sehingga terlintas di benak fikirannya, adakah kiamat sudah datang?!
Ya... adakah kiamat sudah datang? Kiamat belum datang. Cuma yang pasti, ia sudah hampir. Al-Quran mengingatkan: "Telah dekatnya datang saat itu (kiamat) dan telah terbelah bulan." (Surah Al-Qamar: 1)
bergoncang, rakyat bimbang
Bumi Sabah bergoncang. Perasaan mulai bimbang. Bangunan rosak, jalan pecah, tanah runtuh, sehinggakan Donkey Ears Peak antara tujuh puncak tertinggi Gunung Kinabalu turut patah, jatuh menyembah bumi. Lebih menyedihkan, ada juga jiwa yang terkorban. Takziah diucapkan kepada semua keluarga mangsa. Semoga Tuhan menggantikan yang lebih baik kepada kalian.
Gempa bumi di Sabah adalah rentetan ujian besar yang menimpa Malaysia dalam tempoh terdekat ini. Misteri kehilangan MH370 belum lagi terungkai. Air mata kesedihan bencana malang MH17 masih mengalir basah. Krisis 1MDB terus meresahkan rakyat. Nilai mata wang negara menurun dahsyat. Terkini, sebuah kapal pula dilaporkan hilang di lautan.
Apa petanda semua ini? Apakah ini ujian Tuhan buat kita bagi mengangkat darjat? Atau sebuah peringatan Malaysia semakin hilang berkat? Kepada-Nya jua kita menadah tangan memohon rahmat. Agar Malaysia dihindari daripada malapetaka yang berat.
Kembali kepada Pencipta
Mari semua kita kembali kepada ALLAH. Daripada golongan bangsawan, pemimpin atasan sehinggalah rakyat bawahan. Buat pemimpin, istighfar, taubat dan mohon ampun di atas salah silap dalam menguruskan negara dan rakyat jelata.
Wahai Tuhan, kurniakan kami pemimpin yang bertakwa, bijaksana, adil dan amanah. Moga mereka menjadi asbab untuk negara mendapat berkat dan rahmat yang melimpah. Bukan menambah beban, resah, susah dan masalah. Jadikan kami rakyat yang adil dalam memilih, ikhlas dalam menegur dan bantu membantu dalam perkara kebaikan.
Mari semua kita bermuhasabah. Buang rasa sombong, takbur dan meninggi diri. Kembalilah kepada ALLAH kerana suatu hari nanti, bukan hanya Sabah yang bergegar. Tetapi seluruh bumi ini akan digoncang. Bergegar, runtuh, musnah dan hancur berkecai. Tiada apa yang akan kekal, melainkan Dia. Maha Pencipta.
Perhati, baca dan renungi peringatan yang ALLAH sampaikan di dalam firmannya: "Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat." (Surah Al-Zalzalah: 1)
Dunia ini pasti akan berakhir. Kiamat pasti akan tiba. Bumi ini akan digegarkan dengan gegaran yang sangat dahsyat. Akan runtuh berkecai segala yang ada di atas muka bumi. Gunung ganang, bukit bukau dan segala binaan akan hancur musnah.
Termasuklah bangunan-bangunan pencakar langit yang dibangga-banggakan manusia.
Ibn Abbas berkata: "Bumi akan digoncang daripada bawahnya." (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Dar al-Faiha’, 4/697)
Gegarannya sangat kuat. Tidak dapat diukur lagi. ALLAH berpesan: "Hai manusia, bertakwalah kepada Rabbmu; sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat)." (Surah Al- Hajj: 1)
ALLAH berfirman lagi: "Dan bumi mengeluarkan beban-beban berat yang dikandungnya." (Surah Al-Zalzalah: 2)
Segala isi yang terkandung dalam bumi daripada mayat dan bahan lain akan dikeluarkan semula. Semasa mentafsirkan 'Beban-beban berat' ini, Imam al-Qurtubi menukilkan kata-kata Ibn Abbas dan Mujahid: "Mayat yang tertanam di bawah bumi akan dikeluarkan semula pada tiupan sangkakala yang kedua." (Al-Qurtubi, al-Jami’ liahkami al-Quran, Dar al-Kutub al-Misriah, 20/147)
Suasana dahsyat yang berlaku ini membuatkan manusia tertanya-tanya: "Dan manusia bertanya: "Mengapa bumi jadi begini?" (Surah Al-Zalzalah: 3) Manusia terpinga-pinga, melihat apa yang berlaku di depan mata, lantas bertanya: "Mengapa terjadi
begini?" Manusia menjadi tidak tentu arah. Al-Quran menggambarkan: "Pada hari kamu melihat (peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab ALLAH amatlah berat, mengerikan." (Surah Al-Hajj: 2)
Bumi yang didiami oleh manusia selama ini akan menceritakan segala-galanya. Siapa yang melakukan kebaikan dan siapa pula yang melakukan kejahatan.
ALLAH berfirman: "Pada hari itu bumi menceritakan beritanya." (Surah Al-Zalzalah: 4)
Bagaimana bumi mampu menceritakan semua itu? Kerana ALLAH memerintahkan bumi untuk menceritakan apa yang telah manusia lakukan di atasnya. Gegaran yang menghancurkan ini juga berlaku di atas perintah Tuhan kepada bumi.
ALLAH berfirman lagi: "Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan yang demikian itu kepadanya." (Surah Al-Zalzalah: 5)
Syaikh al-Sa’di rahimahullah menerangkan: "Bumi menjadi saksi bagi setiap orang yang telah beramal dahulu di atasnya. Bumi dahulu menjadi saksi amalan setiap hamba. Dan ALLAH memerintahkan untuk memberitahu amalan manusia, perintah ini harus dijalankan (jangan didurhakai)." (Abdul Rahman al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, Muassasah al-Risalah, hal. 932)
Manusia pada hari itu akan dibangkitkan dalam kelompok yang berbeza-beza. ALLAH akan memperlihatkan kepada mereka setiap yang telah dilakukan di atas muka bumi, kebaikan atau pun kejahatan. Akan terzahirlah siapakah golongan kanan (ashab al-yamin) yang bakal mengacapi syurga dan siapa golongan kiri (ashab al-syimal) yang akan dihumban ke neraka.
ALLAH berfirman: "Sesiapa yang mengerjakan amal kejahatan seberat zarah pun, pasti dia akan melihat balasannya pula." (Surah al-Zalzalah: 8)
Kata Syaikh ‘Abdul Rahman bin al-Sa’di rahimahullah: "Ayat ini memberi motivasi untuk beramal baik walau sedikit. Begitu pula ia memberi ancaman supaya jangan beramal buruk walau pun kecil." (Al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, hal. 932)
Ketika catatan amal manusia dibentangkan, tidak ada yang dapat disembunyikan walaupun sedikit. Setiap kebaikan walaupun kecil, akan ditunjukkan. Kemungkinan si pelakunya pun tidak perasan yang dia pernah melakukan kebaikan tersebut semasa hidup di dunia.
Begitu juga dengan setiap kejahatan, kezaliman, penyelewengan, penindasan, walaupun dianggap kecil, ia tetap diperlihatkan semula. Apatah lagi jika kezaliman dan penyelewengan itu jelas di depan mata orang ramai. Di dunia mungkin kita dapat sembunyi, cakap berdolak dalih atau tidak hadir ke pertemuan yang diaturkan. Tetapi di akhirat, di mana lagi mahu sembunyi?
Satu persatu akan diadili. Kebaikan dan kejahatan. Tidak ada yang terlepas.
ALLAH berfirman: "Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung." (Surah Al-Anbiya’: 47)
ABD RAZAK MUTHALIB
(Penulis ialah Perunding Latihan & Motivasi di AITC. Graduan Ijazah Sarjana Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM)

0 Komentar untuk " Apabila Malaysia digoncang "