BH: Boleh Datuk ulas apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam UMNO kerana sejak kebelakangan ini umum dicanang-canangkan dengan beberapa isu yang kononnya dikaitkan dengan kelemahan pucuk pimpinan parti itu? Mustapha: UMNO sebenarnya sedang menghadapi ujian dan ia bukan sesuatu yang baharu. Bermula sejak zaman awal penubuhannya, UMNO sering dilanda masalah dalaman seperti pengunduran pengasasnya Datuk Onn Jaafar yang keluar parti dan menubuhkan Parti Negara. Selepas itu, pemimpin Biro Agama UMNO keluar parti menubuhkan PAS. Kemudian krisis di antara Datuk Harun Idris dengan pucuk pimpinan. UMNO pernah diharamkan pada 1980-an dan wujud UMNO Baru. Ahli serpihannya membentuk Parti Semangat 46 (S46). Kita dapat lihat, setiap ujian dan masalah yang melanda UMNO itu menjadikan parti ini lebih matang dan kuat. Kalau dilihat apa yang berlaku hari ini, ia adalah perkara biasa yang melanda kepemimpinan UMNO. Namun, disebabkan masalah dalaman ini ada dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan, ada orang tertentu khasnya lawan UMNO yang mengambil kesempatan untuk mewujudkan situasi cemas dan panik kepada ahli serta masyarakat. BH: Sejauh manakah usaha pembangkang memainkan isu kononnya berlaku penyelewengan dalam 1MDB membahayakan kedudukan UMNO? Mustapha: Ya, memang tidak dinafikan ia agak membahayakan UMNO. Keadaan ini kalau tidak diselesaikan dengan berhikmah dan berkesan ia boleh menjejaskan kedudukan UMNO. UMNO bukan sahaja perlu berdepan ahlinya sendiri, bahkan bertembung dengan pembangkang yang setiap masa menunggu ruang menyerang kita. Hari ini, pembangkang tidak pernah berhenti mencipta cerita tentang kononnya kesilapan dilakukan pemimpin UMNO dalam kerajaan. Pada saya, isu ini bukan disebabkan kelemahan UMNO atau kerajaan kepemimpinan UMNO sebaliknya ia ciptaan pembangkang. BH: Apakah maksud Datuk? Mustapha: Kalau kita tengok rentetan isu yang ditimbulkan sekarang, contohnya 1MDB, ia dimulakan pembangkang. Selepas ia bermula, isu itu disambut dan dihangatkan pula oleh orang UMNO yang realitinya mereka sendiri pun tidak faham apa itu 1MDB dan isu yang melingkarinya. Kalau disuruh seorang ketua bahagian UMNO menjelaskan apa itu 1MDB, saya percaya, suku daripada 199 ketua bahagian UMNO ini tidak mampu hendak menjelaskannya. Malangnya, orang UMNO sendiri termakan dan terpedaya dengan mainan politik pembangkang ini sehingga mereka menjadi golongan menyebarkan lagi tuduhan pembangkang menerusi media sosial dan internet. BH: Datuk pastikah memang ini yang berlaku? Mustapha: Inilah hakikatnya sekarang. Sesi penerangan memang kita lakukan. Contohnya apabila kerajaan hendak melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Biro Penerangan UMNO bekerja setahun lebih memberi penjelasan kepada akar umbi dan rakyat, tetapi orang yang mendengarnya tidak faham. Mereka bukan sahaja tidak faham, malah tidak mencari ikhtiar untuk mengkaji dan meneliti GST. Inilah kelemahan ahli UMNO sendiri sehingga percaya dengan apa sahaja dakyah disebarkan oleh pembangkang. Walhal mereka tidak faham pun sebenarnya. BH: Kita juga dapat lihat, ada veteran UMNO termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik kerajaan. Apa pandangan Datuk dalam hal ini? Mustapha: Dr Mahathir sebenarnya tidak berlaku adil terhadap Datuk Seri Najib Razak. Sebagai seorang negarawan dan pemimpin besar negara yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, kita tidak nafikan jasa dan bakti Dr Mahathir. Apa yang menjadi masalah ialah, beliau mengkritik Najib secara terbuka, sedangkan beliau boleh guna cara berhemah dan lebih baik untuk menegur seperti berjumpa Najib secara empat mata. Kita masih ingat pada zaman awal Dr Mahathir memerintah, beliau juga menghadapi pelbagai masalah. Tetapi beliau meminta dan menyuruh kami supaya menyokong kepemimpinan beliau untuk menguatkan parti. Kita beri sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau. Apabila timbul masalah seperti UMNO diharamkan, krisis dengan raja-raja, krisis Perlembagaan, kejatuhan mata wang ringgit dan bermacam-macam lagi masalah, kami sokong Dr Mahathir kerana semangat cintakan parti. Dengan sokongan akar umbi, maka beliau dapat menjadi pemimpin yang berjaya. Saya berkata beliau tidak adil kepada Najib kerana Presiden UMNO ini baru enam tahun memerintah. Najib juga mengambil alih kepemimpinan yang dikatakan bermasalah. Bukan senang bagi Najib untuk membetulkan keadaan. Maka, cubalah bersikap adil terhadap Najib. Apabila bekas pemimpin UMNO menyerang parti mereka sendiri, ia akan menjadi bahan kepada pembangkang untuk memburukkan UMNO. Sepatutnya, pemimpin lama ini menegur mengikut tradisi UMNO, bukan mengkritik secara terbuka. BH: Apakah pendirian Veteran UMNO terhadap tindakan Dr Mahathir ini? Mustapha: Kami tidak anti kepada beliau tetapi kami minta beliau ikut tradisi UMNO. Mengapa beliau melupakan apa yang pernah beliau minta dulu. Tiba-tiba hari ini, beliau mahu orang ikut cakap dia untuk menjatuhkan Najib. Ini tidak adil kerana lain Perdana Menteri lain cara kepemimpinannya. Dr Mahathir tidak boleh harap Najib buat seperti apa yang dirinya pernah buat. Dr Mahathir tidak boleh arah Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) buat apa yang dia buat. Keadaan sudah berbeza. BH: Melihat kepada isu yang dimainkan oleh pembangkang ketika ini, adakah Datuk fikir ia menjadi ancaman besar kepada UMNO dan kerajaan? Mustapha: Ya kami melihat ini sebagai satu ancaman kepada parti, kerajaan dan perpaduan Melayu terutama ketika kita bakal mengharungi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Sebab itu, kami berpendapat, inilah masanya parti berteraskan Melayu dan Islam untuk bersatu. Kami mengharapkan supaya UMNO dan PAS bersatu demi survival bangsa Melayu dan kedudukan agama Islam. Setakat ini, kita sudah nampak tanda-tanda penyatuan itu apabila Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menyokong Najib kekal (memimpin). Akan tetapi, Muktamar PAS pada Jun nanti akan menjadi penentu kepada gerakan penyatuan ini. BH: Apa pendapat Datuk dengan sokongan Hadi terhadap Najib. Mustapha: Jika ada pihak yang mengata Hadi cuba menyindir Najib dengan menyatakan sokongan itu, saya fikir bukan orang UMNO yang mengatakannya tetapi dilakukan orang PAS yang memang tidak mahu melihat berlaku penyatuan UMNO dengan PAS. Saya tidak nafikan ada pemimpin UMNO yang alergi dengan PAS. Namun ini pemikiran jumud yang harus dibuang dalam pemikiran orang UMNO sendiri. Kalau hendak bersatu, kedua-dua pihak perlu serius, jangan segan hendak memulakan. Ia bukan persoalan siapa menang atau kalah atau menyentuh maruah parti, tetapi lebih terarah kepada penyatuan Melayu dan survival Melayu di bumi Malaysia. BH: Apa pendirian Veteran UMNO dalam isu membabitkan 1MDB yang dikaitkan dengan Najib? Mustapha: Sekarang Perdana Menteri sedang menghadapi masalah dengan 1MDB. Perkara ini sedang dalam siasatan maka kita jangan mudah menghukum seseorang bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Biar pihak audit menyiasat kes 1MDB, barulah kita fikirkan tindakan seterusnya nanti.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/55570
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/55570
0 Komentar untuk " Serangan musuh, krisis jadikan UMNO lebih matang "