Penurunan paras kemiskinan kejayaan program ETP - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Penurunan paras kemiskinan kejayaan program ETP

Pelancaran Laporan Tahunan bagi Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini, tidak terkecuali daripada dihentam sesetengah pihak. Malah, disebabkan komen saya bahawa kadar kemiskinan di Malaysia pada tahun 2014 sudah menurun kepada satu peratus, juga turut menjadi sasaran kecaman. Sebagai sebuah negara, sudah tentu kita tersenyum bangga kerana mampu membasmi kemiskinan sehingga tahap yang kita capai kini. Menurut Bank Dunia ketika menyentuh kemajuan di Malaysia dalam laporan terbaharunya, kita 'hampir-hampir berjaya membasmi kemiskinan.' Peratusan isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan negara pada era tahun 1960-an (AS$8.50 sehari pada tahun 2012) menurun lebih 50 peratus kepada kurang satu peratus pada ketika ini. Bank Pembangunan Asia (ADB) pula mengumumkan bahawa Malaysia mencatatkan penurunan 55.3 peratus bagi peratusan penduduk yang hidup di bawah pendapatan garis kemiskinan, iaitu penurunan terbesar dalam kalangan negara-negara ASEAN. Malah, berdasarkan tinjauan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu membabitkan saiz sampel seramai 81,634 isi rumah, data awal menunjukkan bahawa pada tahun 2014, hanya satu peratus daripada isi rumah masih hidup di bawah Indeks Garis Kemiskinan (PLI). Saya akui bahawa data tidak semestinya melambangkan sentimen rakyat. Akan tetapi, ada pihak yang hanya cenderung melontarkan pandangan yang negatif semata-mata malah, mereka naik semangat jika gambaran yang dikemukakan buruk-buruk belaka. Mereka ini jika kami paparkan data yang positif dan menunjukkan tanda peningkatan, tidak puas hati dan mula menuding jari. Pastinya, permasalahan ini tidak terbatas hanya kepada Malaysia. Banyak kerajaan di dunia berdepan dengan cabaran disebabkan kesangsian yang timbul dalam kalangan rakyat berkenaan statistik yang diperoleh dan sentimen mereka. Justeru, saya berharap artikel kali ini sedikit sebanyak berupaya melenyapkan kesangsian tersebut. Saya ingin memberi pencerahan tentang statistik dan kaedah pengiraan kadar kemiskinan di Malaysia. Kedua, saya ingin meyakinkan semua rakyat Malaysia bahawa kerajaan amat peka terhadap isu kemiskinan malah, kerajaan sekian lama berusaha untuk membasmi kemiskinan dan mengangkat tahap kualiti hidup rakyat di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Sewaktu merangka Hala Tuju bagi GTP 1.0 pada tahun 2009, definisi PLI kami kemukakan dengan jelas. Ini penting bagi memastikan bantuan dapat diagihkan kepada rakyat yang selayaknya menerima bantuan tersebut. Bukan hanya definisi kemiskinan yang kami gariskan selaras dengan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) bahkan, pengiraan pendapatan yang kami gunakan adalah sejajar dengan standard Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP). Berikut adalah dua kategori yang didefinisikan sebagai miskin: 1. Miskin tegar: Golongan ini terdiri daripada isi rumah dengan hasil pendapatan yang tidak berupaya menampung keperluan asas kehidupan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Isi rumah yang tergolong dalam kategori ini berpendapatan purata bulanan kurang daripada RM460 di Semenanjung Malaysia, kurang daripada RM630 di Sabah dan kurang daripada RM590 di Sarawak. 2. Miskin: Golongan ini pula terdiri daripada mereka yang tidak berupaya memenuhi keperluan hidup berdasarkan standard yang membolehkan mereka berperanan sebagai ahli masyarakat yang 'bermaruah,' sebagai contoh, golongan yang tidak mampu membiayai penjagaan kesihatan dan pendidikan. Isi rumah yang berpendapatan purata bulanan kurang daripada RM760 di Semenanjung Malaysia, kurang daripada RM1,050 di Sabah dan kurang daripada RM910 di Sarawak tergolong dalam kategori miskin. Malah, kami memperluas skop bagi kategori 'miskin' yang sedia menjangkaui definisi tersebut justeru, kami memberikan perhatian khusus untuk meningkatkan pendapatan kumpulan isi rumah 40 peratus ke bawah. Dalam Hala Tuju ETP, kami menyasarkan peningkatan minimum (purata) pendapatan bulanan daripada RM1,440 pada tahun 2009 kepada RM2,300 pada tahun 2015, selaras dengan jumlah yang disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Menurut data yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan, sasaran tersebut berjaya dicapai pada tahun 2014 (RM2,312) iaitu lebih awal daripada jangkaan. Begitu ramai insan yang prihatin, lelaki dan perempuan yang bekerja di Jabatan Perangkaan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Unit Perancangan Ekonomi; Kerajaan dan agensi peringkat negeri, bahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat yang sedang bergerak aktif untuk membantu golongan yang memerlukan. Nama mereka yang memerlukan bantuan ini ada dengan kami iaitu sebanyak 168,483 bersumberkan data e-Kasih yang sering dikemas kini untuk mengenal pasti dan memberi fokus yang sewajarnya kepada kumpulan sasaran ini. Mereka yang tersenarai boleh mendaftarkan diri dalam Program 1AZAM untuk memanfaatkan kaedah yang disediakan dalam program tersebut agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan. Selaku suatu gandingan usaha dan kerjasama yang merangkumi pelbagai kementerian, agensi dan NGO, 1AZAM berjaya menyediakan inisiatif untuk rakyat miskin menjana pendapatan. Pada tahun 2014, seramai 24,646 daripada ahli program tersebut berjaya meningkatkan pendapatan mereka sebanyak RM300 hanya dalam tempoh tiga bulan. Selain itu, sejumlah 64,689 individu telah mendapat manfaat daripada program literasi sejak tahun 2013 bagi memastikan mereka dapat mengendalikan hal ehwal kewangan mereka dengan lebih terurus. Masih banyak usaha yang perlu dilakukan kerana kadar 'satu peratus' ini terdiri daripada 300,000 penduduk. Akan tetapi, masalah utama yang menghambat usaha untuk membasmi kemiskinan ialah cara pemikiran golongan yang masih berada dalam belenggu kemiskinan itu sendiri. Inilah suatu hakikat yang saya temukan. ,b>Fokus kami sebagai langkah ke hadapan bercirikan strategi serampang empat mata: 1. Mengangkat tahap pendidikan dalam kalangan golongan miskin. Berbekalkan pendidikan, kanak-kanak daripada kalangan miskin lebih berpeluang mendapat pekerjaan yang lebih baik atau menceburi bidang perniagaan. 2. Memperkukuh jaringan keselamatan masyarakat, mempertingkat kerjasama dengan pihak NGO dan badan korporat serta menyediakan program pemerkasaan. 3. Memastikan hasil pendapatan negara diagihkan semula bagi mengangkat taraf hidup golongan 40 peratus terbawah menerusi BR1M. 4. Menginstitusikan dasar perlu yang berperanan untuk merangsang pembangunan ekonomi. Setiap insan yang bermastautin di Malaysia, tidak kira lelaki, wanita, belia mahupun kanak-kanak wajib mendapat manfaat daripada kejayaan transformasi negara. Namun, mana mungkin kerajaan melaksanakan hasrat ini sendirian tanpa kerjasama semua pihak yang prihatin dan mempunyai sifat belas sesama insan untuk sama-sama melindungi dan memartabatkan kehidupan rakyat miskin. Sikap ini yang menjadi tanda kehebatan kita sebagai sebuah negara.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/55783
0 Komentar untuk " Penurunan paras kemiskinan kejayaan program ETP "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ