Rezeki mencurah, hias dalaman kereta guna selimut - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rezeki mencurah, hias dalaman kereta guna selimut

BERMULA dengan minat untuk menghias bahagian dalaman kereta Perodua Alza miliknya, kini minat itu dikongsi bersama mereka yang terpikat dengan kelainan konsep diketengahkan. Aktiviti yang dulunya suka-suka tidak sangka kini bertukar menjadi satu bisnes pula. Adi Muzaffar menghias bahagian dalaman kereta kereta pelanggan menggunakan selimut bergambar Hello Kitty. - Foto Aswadi Alias


Mengikut Adi Muzaffar Putra Mohamed, 43, beliau memang minat menghias kereta dan bercita-cita melakukan perubahan kepada bahagian dalam Perodua Alza miliknya tetapi apabila memikirkan kos yang agak tinggi, hasrat itu dipendamkan dulu.

Namun, pertemuan dengan seorang kawan daripada Kelab Kereta Proton Saga di kedai aksesori audio memberi idea kepada anak kelahiran Terengganu itu untuk mencuba menghias sendiri dalaman keretanya menggunakan kain selimut. Adi Muzaffar menunjukkan selimut bergambar Hello Kitty yang akan digunakan. - Foto Aswadi Alias


"Saya memang minat bidang seni dan permotoran. Kebetulan saya menyertai kelab kereta dan kami memang sentiasa bersaing untuk mencantikkan kereta. Sudah lama saya nak hias bahagian dalam kereta tetapi disebabkan kos saya tangguh dulu.

"Kebetulan terjumpa kawan dan saya tengok hiasan dalaman kereta dia berbeza tetapi cantik. Sebab selalu hiasan dalaman kereta guna PVC tetapi kereta beliau guna kain. Saya pun bertanya dan beliau sudi berkongsi maklumat. "Beliau beritahu hiasan itu dilakukan sendiri dan apabila saya minta tolong dia buat untuk kereta saya, beliau kata tidak ambil upah buat untuk orang lain.

Bagaimanapun, beliau tidak kedekut ilmu mengenai cara membuat hiasan dalaman kereta itu," katanya. Berbekalkan maklumat dikongsi kenalan tadi, Adi Muzaffar bertekad untuk menghias sendiri bahagian dalam Perodua Alza miliknya itu. Kebetulan, selimut yang dibeli di sebuah pasar raya besar masih belum digunakan dan elok tersimpan. Menggunakan kain selimut corak garisan selari berwarna warni itu, beliau memulakan projek menghias bahagian dalaman keretanya.

Ternyata hasilnya begitu mengagumkan dan beliau sendiri tidak sangka mampu melakukan tugas itu dengan baik. Ramai rakan yang melihat memuji hasil kerjanya yang turut dimuat naik ke laman Facebook sebaik siap awal Februari lalu. Tanpa disangka, ada pihak yang berminat bertanyakan mengenai hiasan dalaman kereta yang dibuatnya dan berminat untuk membuat hiasan sama kepada Perodua Alza miliknya pula.

Hasil perbincangan dan persetujuan dicapai, projek hiasan dalaman kereta pertama Adi Muzzafar ialah berkonsepkan watak animasi Upin Ipin yang berjaya disiapkan pada awal April. Sejak itu, perkhabaran dari mulut ke mulut serta gambar dimuat turun di laman Facebook My works - LCI, ramai yang berminat. Dalam tempoh sebulan lalu, beliau menyiapkan hiasan dalaman lima kenderaan terdiri daripada tiga Perodua Alza, satu Viva dan satu MyVi, menggunakan selimut dengan gambar animasi Upin Ipin, The Avengers serta Hello Kitty. Keadaan bahagian dalaman kereta pelanggan yang selesai dihias menggunakan selimut bergambar Avengers. - Foto Aswadi Alias


Adi Muzaffar berkata, konsep hiasan dalaman kereta menggunakan selimut yang diketengahkan itu memberi alternatif kepada mereka yang ingin menghiasi bahagian dalam kereta mengikut cita rasa masing-masing dengan harga berpatutan. Katanya, kos yang dikenakan bermula daripada RM450 hingga RM600 mengikut saiz kenderaan meliputi kain selimut serta upah pemasangan.

 Jumlah kain selimut juga bergantung kepada saiz kenderaan serta bahagian yang ingin dihias tetapi selalunya beliau menggunakan dua helai selimut untuk satu kereta. Selimut yang digunakan ialah daripada jenis mikrofiber poliester, poliester dan kain kapas. Namun, beliau lebih suka menyarankan penggunaan fabrik poliester kerana kainnya yang licin serta hasilnya juga nampak lebih cantik. "Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada pemilik kereta.

Saya hanya boleh beri pandangan kerana ada juga yang saya rasa pilihan kain tidak sesuai dengan warna kereta tetapi keputusan akhir tetap di tangan mereka. "Ada satu projek yang sudah dipersetujui, pemilik kereta ingin menggunakan kain cadar corak perca tampal. Saya belum pernah gunakan kain sebegitu tetapi atas permintaan pemilik saya bersedia melakukannya. Ini boleh jadi percubaan yang menarik juga," katanya. Beliau berkata, proses menanggalkan panel atau badan kereta yang ingin dihias serta kerja menyapu gam dan membalut bahagian itu memakan masa satu hari manakala kerja pemasangan pula dilakukan keesokan harinya.

Lagipun, pemilik kereta tidak perlu meninggalkan kenderaan mereka selepas bahagian yang ingin dihias itu ditanggalkan sebaliknya membawa semula kenderaan untuk proses pemasangan yang hanya akan dibuat selepas pemilik berpuas hati melihat hasil bahagian yang sudah digam dengan kain hiasan itu. Keadaan bahagian dalaman kereta pelanggan yang selesai dihias. - Foto Aswadi Alias


Adi Muzaffar berkata, semua proses dilakukan secara manual dan pengalaman melihat rakan di bengkel kereta menanggalkan komponen kenderaan membolehkan beliau melakukan kerja menanggalkan, menghias kemudian memasang semula bahagian dalaman kereta. "Semua perlu dilakukan secara berhati-hati kerana ada kala apabila kita buka bumbung dalam kereta, kita akan nampak pelbagai jenis wayar berselirat. Kereta Viva agak sudah sedikit kerana ia menggunakan silikon jadi kena lebih berhati-hati.

 "Alhamdulillah setakat ini saya tidak menerima rungutan daripada pemilik kereta yang saya hias. Ada juga yang saya buka bahagian bumbung kereta, tengok pemain cakera dipasang secara cincai saja. Selain buat hiasan, saya juga tolong buat kerja lain, kemaskan apa yang tidak kemas pada kenderaan itu," katanya. Memang minatnya cenderung dalam bidang seni termasuk fotografi, Adi Muzaffar juga pernah bekerja sebagai chef di hotel dan bertugas sebagai penyelia kemasan (housekeeping) di kapal pelantar minyak luar pesisir.

Kini beliau masih menanti panggilan untuk bertugas. Katanya, sementara menanti kontrak kerja yang baru, beliau melihat projek hiasan dalaman kereta yang baru diceburi kira-kira hampir dua bulan itu sebagai sumber rezeki untuk keluarga selain mencari kepuasan melalui kreativiti seni hiasan kereta. Justeru, siapa sangka dalam tempoh singkat itu, beliau turut membantu rakan yang berminat mempelajari teknik menghias bahagian dalaman kereta. Beliau sudah mempunyai tiga orang anak murid masing-masing di Kajang, Ampang dan Terengganu yang turut menjadikan aktiviti ini sebagai kerja sampingan.

Ditanya apakah beliau tidak takut kepada saingan, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, persaingan dalam bidang perniagaan adalah perkara biasa dan beliau yakin rezeki masing-masing sudah ditentukan Allah SWT. "Yang penting ialah kita mesti jujur kerana saya melihat ini sebagai satu cabang seni, bukan hanya untuk mencari untung semata-mata. Bagi saya, kepuasan hati pelanggan adalah keutamaan sebab itu saya pentingkan kualiti. "Bagaimana saya buat untuk kereta saya, begitu juga saya buat untuk kereta orang lain. Lagipun, kita tidak boleh kedekut ilmu. Kena percaya pada rezeki dan perlulah berusaha bersungguh-sungguh," katanya yang sudah mendapat dua lagi permintaan untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53678
0 Komentar untuk " Rezeki mencurah, hias dalaman kereta guna selimut "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ