FESTIVAL Belia Putrajaya 2015 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berlangsung selama tiga hari mulai 22 hingga 24 Mei ini di Presint 4 bermula dari Jambatan Gemilang sehingga ke Galeria KBS. Dengan bertemakan Persembahan Bakat, festival kali ini mampu menyerlahkan potensi serta kemahiran yang dimiliki generasi muda. Ia bertujuan memberi peluang dan ruang kepada golongan belia untuk berkongsi serta mempersembahkan bakat yang sedia ada melalui pameran interaktif, bengkel dan aktiviti yang dianjurkan oleh belia untuk belia. Festival buat penambahbaikan Festival yang menjalani penambahbaikan itu masih mengekalkan empat zon iaitu Utara, Barat, Timur dan Selatan yang dibahagikan mengikut tema berdasarkan cita rasa belia masa kini iaitu minda, komuniti, aktif dan seni. Kali ini, ia menampilkan kelainan dengan adanya mentor yang selaras dengan tema dipilih pada tahun ini. Mentor berperanan membantu meningkat dan menggalakkan golongan belia untuk menjadi yang terbaik dengan memberi inspirasi melalui penjelajahan ke setiap negeri selari dengan penjenamaan semula Rakan Muda. Satu daripada 25 mentor yang dipilih oleh Rakan Muda ialah Fairuz Sulaiman, 33, yang memperkenalkan program Main Wayang. Main Wayang adalah siri bengkel kreatif yang terdiri daripada teater, vj-ing, wayang kulit, lakonan, bunyi dan muzik dengan peserta bengkel yang berjaya, dipilih untuk membuat persembahan pada festival itu. Menurut Fairuz, istilah Main Wayang adalah persembahan multimedia yang menggabungkan elemen seperti video, projektor dan animasi serta boneka sama ada yang berbayang atau tidak. "Dalam persembahan Main Wayang, ia memerlukan pembabitan seperti pemain pentas, pengurus pentas, penulis skrip, pembuat animasi dan pengendali kamera. "Bagi saya, wayang tidak seharusnya dalam bentuk wayang yang asli sahaja. Oleh itu, saya menggabungkan semua elemen dalam Main Wayang selepas mendapat inspirasi daripada menonton wayang serta program seperti Majalah 3," katanya yang juga graduan Universiti Multimedia dalam bidang animasi. PELAJAR SMK Mergong, Alor Setar mempersembahkan pertunjukan wayang kulit. Idea tercetus selepas latihan Idea menghasilkan Main Wayang sebenarnya tercetus selepas Fairuz menjalani latihan selama sebulan di Yamaguchi Center for Arts and Media (YCAM) di bawah Japan Foundation's JENESYS Creator Programme pada tahun 2012. Pada program berkenaan, beliau yang juga anak kepada penggiat seni Islam kontemporari tanah air, Sulaiman Esa, bermain wayang dengan menggabungkan wayang diperbuat daripada kertas kadbod dan penjejakan video. Usai latihan berkenaan, beliau membuat pameran Salam 1Jepun di Balai Seni Visual Negara di Kuala Lumpur dengan bermain wayang yang menggabungkan elemen teater, multimedia, wayang kulit, bunyi dan persembahan. Ketika ini, bengkel Main Wayang yang diadakannya dengan bantuan tiga mentor lain iaitu Mohd Fared Jamaluddin, Sudarshan Kumar dan Shaffiq Ahmad sudah dilaksanakan di tiga sekolah luar bandar, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan di Sabah, SMK Mergong di Kedah dan SMK Sematan di Sarawak. Bagi setiap bengkel, seramai 18 pelajar terpilih dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk mempelajari aliran persembahan dan lakonan, multimedia dan wayang serta bunyi dan muzik secara teori dan praktikal pada hari pertama. Pada hari kedua, setiap kumpulan akan dipecah dengan dua pelajar daripada setiap aliran digabungkan untuk membentuk satu kumpulan baharu sebelum mengikuti beberapa siri bengkel. Pada hari terakhir, setiap kumpulan akan membuat pementasan dengan kumpulan paling kreatif dan semua ahlinya dapat bekerjasama secara berkumpulan dipilih untuk membuat persembahan di Putrajaya. Animasi boleh diguna pelbagai bentuk Melalui Main Wayang, Fairuz berkata, dia dan pasukannya berharap setiap peserta sedar bahawa animasi boleh digunakan dalam pelbagai bentuk, persembahan tidak semestinya hanya menghafal skrip, tetapi boleh dimainkan dengan boneka dan animasi serta bunyi tidak semestinya hanya dengan bermain piano atau dram. "Melalui program ini, kami ingin memperluaskan pandangan peserta mengenai sesuatu elemen atau medium. Contohnya, wayang kulit tidak semestinya mengguna lampu mentol dengan tok dalang duduk di tengah dan memainkan semua watak. "Kami bertanyakan kepada peserta adakah itu sahaja yang ada pada wayang kulit? Kami akan menjelaskan bahawa ia juga boleh dilaksanakan menggunakan projektor dan digital kamera, kami ingin mereka cuba mencari jalan lain untuk benda yang sudah sedia ada," katanya. Melalui Main Wayang, Fairuz mengharapkan peserta bengkel akan mempunyai minda yang lebih terbuka dan memahami bahawa pementasan tidak semestinya hanya mempunyai aktor, aktres, latar belakang, drama, bercerita dan moral. "Kami juga mahu teater boleh dibuat di mana-mana dan tidak semestinya di panggung, setiap orang mampu melakukan pementasan, ceritanya boleh jadi apa sahaja dan menggunakan segala konsep yang ada. "Melalui program Main Wayang ini, kami ingin pelajar mampu berfikir secara di luar kotak," katanya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53601
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53601
0 Komentar untuk " Festival Belia serlah potensi, bakat generasi muda "