Perihal barang naik, barang turun - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perihal barang naik, barang turun

MASUK bulan kedua pelaksanaannya, banyak yang belum beres mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST). Serba-serbi masih mengelirukan, dan sana-sini orang mengeluh.

Pengguna, terutama suri rumah yang selalu ke pasar, mengalami kenaikan harga barang yang seperti tidak dikawal – ikut suka hati peniaga – lebih teruk dari kenaikan yang dilalui sebelum ini berikutan kenaikan harga minyak.

Tetapi kerajaan menegaskan banyak barang turun harga sejak cukai baharu ini diperkenalkan 1 April. Seperti yang diuar-uarkan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad, sebanyak 99 jenis barangan di Semenanjung, 145 di Sabah dan 102 di Sarawak mengalami penurunan harga.

Menurut beliau angka-angka tersebut adalah hasil analisis Majlis Harga Negara berdasarkan tinjauan 1,250 orang pegawai pemantau pada minggu ketiga bulan Mac dan April di pasar, pasar raya dan kedai runcit mengikut kawasan parlimen di seluruh negara.

Sayang sekali analisis berkenaan hanya menyebut harga barangan yang turun, sepatutnya disebutkan juga harga barangan yang naik. Mungkin pegawai pemantau yang beribu-ribu orang itu tidak perasan benda yang naik, atau mereka hanya diarahkan untuk memerhatikan benda yang turun.

Tanyalah pada pengguna, pasti mereka boleh menyenaraikan sekian banyak barangan yang naik. Pendek kata senarai yang naik jauh lebih panjang berjela dari yang turun. Jangan tidak tahu kelapa dan penyapu lidi pun naik harga!

Sebanyak 182,059 premis diperiksa di seluruh negara dari 1 hingga 30 April, dengan 510 kes dikenakan tindakan – tidak dijelaskan apa tindakan. Sebanyak 729 notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan, dan 267 kes dikenakan kompaun dengan nilai rampasan RM92,584.

Lebih sebulan berlalu, dengan beribu-ribu premis diperiksa, melibatkan beribu kakitangan awam, dan berpuluh ribu lagi aduan orang ramai mengenai kekeliruan dan penipuan peniaga, jumlah yang diheret ke mahkamah masih amat kecil.

Setakat rencana ini ditulis hanya seorang dihadapkan ke mahkamah terhadap lima pertuduhan membabitkan kesalahan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014. Pemilik sebuah restoran di Shah Alam tidak mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM30,000 atau penjara dua tahun, atau keduanya sekali.

Orang ramai berharap banyak lagi pesalah GST akan diheret ke muka pengadilan. Tidak kira apa yang diputuskan mahkamah, tindakan pihak berkuasa membawa kes ke mahkamah akan dinilai sebagai usaha bersungguh kerajaan membela rakyat, sekali gus dapat mengikis persepsi kerajaan lebih banyak membela peniaga.

Sesetengah kekeliruan cukai baharu ini berpunca daripada ‘lok-lak’ dan ‘lebong’ pihak dan agensi tertentu. Benda mudah boleh menjadi susah dan mengelirukan. Ambil isu kad prabayar sebagai contoh.

Mula-mula Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), mengeluarkan arahan semua syarikat telekomunikasi mengekalkan harga asal kad prabayar berkuat kuasa 1 Mei.

Berdasarkan arahan itu, setiap harga kad prabayar telah termasuk GST dan kaedah tersebut sama seperti penguatkuasaan cukai perkhidmatan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975 tanpa sebarang caj tambahan. Ertinya, sekiranya harga kad prabayar itu RM10 akan kekal RM10 (termasuk GST).

Tetapi hanya beberapa jam kemudian arahan JKDM itu ditangguhkan, kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan kajian GST terhadap perkhidmatan kad prabayar masih dijalankan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

Nampak tidak ada penyelarasan antara sesama agensi terlibat, pada hal beberapa bulan sebelum GST semua pihak berkali-kali menegaskan menerusi siri-siri iklan dan kenyataan bahawa “semuanya telah dibereskan.”

Kemelut kad prabayar akhirnya diserahkan kepada Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Seperti arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak: “Sebarang pengumuman kepada rakyat (mengenai kad prabayar) hanya boleh dibuat oleh Menteri KKMM sahaja.” Harap menteri berkenaan segera menyelesaikan isu ini.

Untuk mengurangkan kemelut ada baiknya mana-mana kenyataan mengenai GST dibuat hanya oleh menteri. Timbalan menteri tidak perlu campur tangan. Telah terbukti sesetengah timbalan menteri tidak meyakinkan apabila bercakap mengenai perkara ini. Kenyataannya mengelirukan, menambahkan kemarahan umum, dan sekali gus menampakkan dia tidak berapa pandai.

0 Komentar untuk " Perihal barang naik, barang turun "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ