Agama: POTA perisai hadapi ancaman subversif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: POTA perisai hadapi ancaman subversif

Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 atau POTA diluluskan tanpa pindaan oleh Dewan Rakyat pada 7 April 2015 selepas 12 jam perbahasan berlangsung. Secara dasarnya, POTA akan berfungsi sebagai satu mekanisme undang-undang baharu bersifat pencegahan terhadap ancaman subversif domestik dan membanteras elemen keganasan global yang berkebolehan menggugat keselamatan dan kedaulatan negara ini. POTA juga diperkenalkan bagi tujuan memperkasakan undang-undang keselamatan dalam negara yang sedia ada seperti Akta Kesalahan keselamatan (Langkah-Langkah) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 2013 (POCA). Hasrat kerajaan mewujudkan POTA ini bertitik tolak daripada pembentangan Kertas Putih berkenaan isu menghadapi ancaman keganasan militan Negara Islam (IS) yang berpangkalan di Iraq dan Syria oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, pada 26 November 2014 di Parlimen. Promosi ideologi salafi-jihad Dalam menggerakkan penubuhan Daulah-Islamiyah, IS sebagai kumpulan militan radikal pecahan al-Qaeda menggunakan nama Islam dan mempromosikan ideologi salafi-jihad atau Jihad-Peperangan berlandaskan ekstremisme. Ekstremisme IS sangat menggerunkan. Masyarakat dunia acap kali dihidangkan berita keganasan IS yang bertindak menahan, mengebom, menyembelih dan membunuh tanpa belas kasihan pelancong, wartawan, diplomat dan sukarelawan misi kemanusiaan di Syria dan Iraq. IS juga tidak teragak-agak menghapuskan mana-mana individu dan kumpulan yang menentang dasar dan objektif kumpulan terbabit walaupun seagama. Ini jelas pada November 2014, seramai 322 orang termasuk 50 wanita dan kanak-kanak di Anbar, Iraq yang tidak berdosa dibunuh IS walaupun mereka sesama Sunah. Mereka bangga mempamerkan aksi keganasan di laman sosial bagi tontonan masyarakat dunia. Ancaman IS tidak terhad di rantau Arab saja. Ancaman IS merentasi sempadan dan menjangkaui seluruh pelusuk dunia termasuk negara kita. Dalam mengembangkan ideologi dan meluaskan wilayah penaklukan mereka, IS bertindak menggunakan media sosial merekrut lebih ramai ahli mereka. Ramai anak muda kita yang naif pemahaman agama sebenar pergi ke Syria bagi membantu IS. Ketua Penolong Pengarah Pasukan Petugas Khas/AntiPengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata setakat ini sekurang-kurangnya 500 akaun Facebook, YouTube dan Blog yang dikenal pasti menjalankan aktiviti mempromosi, merekrut serta cubaan menggalakkan rakyat Malaysia berjuang di Syria. Berdasarkan rekod polis sehingga 5 April 2015, 92 individu termasuk wanita dan remaja berusia antara 14 hingga 55 tahun disyaki terbabit dengan elemen militan IS telah ditahan. Ada antara mereka ditahan selepas kembali dari Syria dengan pengetahuan taktik peperangan dan pembuatan bom dan ada yang merancang melakukan keganasan di lokasi strategik dan tumpuan umum. IS juga bertindak mewujudkan jaringan kerjasama dengan kumpulan militan serantau. Pada akhir tahun lepas, kumpulan militan Abu Sayyaf di kepulauan Mindanao yang hampir dengan perairan Sabah melakukan sumpah taat setia kepada IS. Musuh nombor satu Islam Ulama antarabangsa mengutuk keras keganasan IS. Mufti Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz al-Sheikh dan Mufti Besar Mesir, Sheikh Shawqi Allam menganggap IS sebagai musuh nombor satu umat Islam dan melabelkan IS sebagai entiti pengganas yang menyalahi Islam. Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-106 merumuskan penyertaan umat Islam dalam kumpulan IS bertentangan dengan hukum syarak dan kematian mereka tidak dianggap sebagai mati syahid memandangkan IS menghalalkan pembunuhan sesama Islam. Teori pencegahan jenayah bukanlah satu teori asing dalam Islam bagi menjaga kerukunan dan ketenteraman awam (maslahah umum). Dalam Islam, falsafah pencegahan jenayah boleh dijalankan melalui pendidikan serta penguatkuasaan undang-undang yang mampu mewujudkan kesedaran dan perasaan takut seseorang individu untuk melakukan sebarang jenayah. Sebarang hukuman bagi sesuatu jenayah berfungsi sebagai elemen pencegahan dan peringatan sama ada terhadap masyarakat mahupun individu terbabit seperti peranan hukum jenayah Islam seperti hudud, qisas dan takzir. Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Sesiapa yang melihat kemungkaran dalam kalangan kamu hendaklah kamu mengubah dengan tanganmu, sekiranya tidak mampu dengan lidahmu, jika tidak mampu dengan hatimu yang demikian itu ialah selemah-lemah iman." Berdasarkan sabda di atas, setiap individu termasuklah pemerintah ada peranan dalam menangani dan mencegah kemungkaran seperti jenayah. Mengenai amanah dalam menjalankan sesuatu peranan Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mencintai seseorang jika mereka melakukan sesuatu dengan tekun dan berkualiti" Walaupun POTA membenarkan penahanan tanpa bicara seseorang individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan, namun penahanan ini tidak harus dilihat sebagai menghukum semata-mata. Sepanjang tempoh penahanan, seseorang akan melalui proses pemulihan dirangka kerajaan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebanyak 90 peratus tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berjaya dipulihkan melalui program pemulihan yang dijalankan sepanjang proses tahanan. Program pemulihan ini diharapkan mampu memberi kesedaran kepada tahanan supaya insaf dan tidak mengulangi tindakan radikal mereka terdahulu. Perlu ditekankan bahawa POTA tidak membenarkan penahanan atas fahaman politik seseorang individu. Di bawah POTA, kuasa memutuskan penahanan bukan lagi diberikan kepada eksekutif tetapi kepada satu lembaga bebas yang keanggotaannya dilantik terus oleh Yang di-Pertuan Agong. Untuk mengimbangkan antara maslahah umum dan hak tahanan, sepanjang tempoh reman dan tahanan, tahanan dibenarkan untuk mendapatkan representasi peguam bela pilihan dan merayu kepada Lembaga Penasihat dan Mahkamah terhadap perintah tahanan. Dibenar berjumpa waris Tahanan juga dibenarkan berjumpa dengan waris dan keluarga yang berfungsi membantu secara tidak langsung proses pemulihan seseorang tahanan. Sebagai rakyat yang mencintai keamanan dan keharmonian sosial, politik dan ekonomi, kita seharusnya menyokong usaha berani kerajaan dalam mewujudkan POTA sebagai perisai dan benteng negara terhadap ancaman radikalisme, ekstremisme, pengganasan dan militan yang boleh menggugat kedaulatan negara. Walaupun ia mungkin bukan tindakan popular, tetapi usaha ini harus dilaksanakan setelus mungkin bagi mencapai objektifnya. Atas prinsip mencegah adalah lebih baik daripada merawat inilah, POTA dilihat berupaya mengekang keganasan dan terrorisme disamping menjamin hak rakyat mendapat perbicaraan yang adil tidak dikesampingkan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53386
0 Komentar untuk " Agama: POTA perisai hadapi ancaman subversif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ