Pemandu wanita lebih baik? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pemandu wanita lebih baik?

DIHARAP lelaki tidak rasa geram atau tercabar, sementara perempuan pula tidaklah terlalu gembira selepas membaca bahagian awal cetusan saya kali ini.

Ceritanya berkisar mengenai satu isu yang mencabar ego, iaitu, antara pemandu lelaki dan perempuan, siapa lebih baik?

Kalau ditanya secara umum, anda akan dapati bahawa ada pihak yang anggap pemandu perempuan lebih baik daripada pemandu lelaki, berdasarkan sikap yang dikaitkan dengan dua golongan ini.

Pihak ini mendakwa lelaki lebih agresif, panas baran, ganas, berang dan lebih mirip kepada melakukan gerakan merbahaya ketika memandu.

Lebih ramai lelaki, kata mereka, suka tunjuk lagak samseng di jalan dan kadar lelaki mabuk ketika memandu juga dikatakan lebih tinggi daripada perempuan, sementara lebih ramai perempuan didakwa memandu dengan cara konservatif dan berhati-hati.

Malangnya bagi kaum lelaki dan untungnya kepada kaum wanita, berdasarkan kajian sebuah syarikat insurans antarabangsa baru-baru ini, perempuan rupanya dinobatkan sebagai memandu yang lebih baik daripada lelaki.

Kajian yang dilakukan di Britain itu melibatkan 50 pemandu lelaki dan perempuan yang menjalani ujian pemanduan yang ditetapkan.

Semua 50 orang ini diuji dalam 14 bahagian, termasuk aspek kelajuan, tindak balas terhadap pengguna-pengguna jalan yang lain, kemahiran pemerhatian dan pematuhan kepada peraturan lampu isyarat.

Ujian diadakan di kawasan paling sibuk di kota London, iaitu sekitar Hyde Park.

Dalam kajian itu, wanita didapati memperoleh 23.6 daripada 30 mata yang disediakan, manakala pemandu lelaki mendapat 19.8 mata sahaja.

Wanita juga didapati memandu lebih baik daripada kaum lelaki di persimpangan jalan. Maknanya mereka tidak redah ketika lampu belum hijau.

Kajian itu membuktikan kesahihan persepsi yang sering dikaitkan dengan cara pemanduan golongan lelaki dan wanita.

Antaranya, lelaki didapati lebih suka mengambil risiko, memandu terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan, memotong barisan, melanggar peraturan lampu  isyarat, berbual di telefon serta menghantar mesej melalui telefon bimbit ketika memandu.

Wanita pula didapati lebih bersopan-santun dan bertimbang rasa.

Tempoh hari, ketika memandu waktu sesak di depan Institut Jantung Negara di Jalan Tun balik dari saya berjumpa seorang wanita di depan IJN Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur, saya terperangkap dalam kesesakan.

Dalam keadaan sesak begitu, ada seorang pemandu wanita yang memberi isyarat supaya saya bergerak dahulu.

Saya tabik kepadanya kerana sikap murah hati seperti itu jarang dinikmati di jalan raya kita. Biasanya, tidak kira lelaki atau perempuan, masing-masing mahu ke depan, walaupun bergerak macam kura-kura.

Tetapi saya selalu ingatkan diri sendiri supaya berbaik sangka. Mungkin mereka yang terburu-buru itu ada perkara mendesak yang tidak boleh ditangguh, seperti perlu ke hospital atau ke bilik air. Wallahualam!

Tetapi kes-kes berkaitan panas baran pun berlaku dalam kalangan pemandu lelaki dan perempuan, seperti ancam dengan besi dan kunci steering, membunyikan hon, maki-hamun, tunjuk penumbuk dan jerit menjerit.

Hanya kerana disekat kenderaan sudah boleh mencetuskan maki-hamun, sumpah-seranah dan bertumbuk.

Tentu pembaca budiman masih ingat mengenai kes kontroversi seorang wanita yang memaki-hamun dan ugut seorang pemandu lelaki dengan besi.

Jika anda lihat laman sosial sekarang pun anda akan lihat beberapa rakaman pergaduhan, pertengkaran dan pukul-memukul hingga luka di antara pemandu kenderaan, tidak kira lelaki atau perempuan.

Kalau anda, seperti saya, pernah mengalami degupan jantung yang deras apabila memandu di belakang kenderaan yang memberi isyarat untuk masuk ke kiri, tetapi tiba-tiba membelok ke kanan, jangan lekas membuat andaian bahawa pemandu kenderaan di depan itu wanita. Andaian anda mungkin tersilap.

Akhir kalam, apa kata kalau kita minta satu ujian pemanduan golongan lelaki dan perempuan dilakukan di kawasan Chow Kit, Bukit Bintang, Jalan Tun Razak atau Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada waktu kemuncak kesesakan.

Atau pun adakan ujian mengganti tayar kempis atau 'jump start' enjin kenderaan. Barangkali hasil perolehan matanya akan berbeza. Wallahualam.

0 Komentar untuk " Pemandu wanita lebih baik? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ