Antara kemanusiaan & pragmatisme - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Antara kemanusiaan & pragmatisme

KEMAKMURAN sosial, kemantapan polisi dan pertumbuhan ekonomi adalah faktor yang mendorong imigrasi. Orang putih kata, pull factor. Sementelah itu push factor boleh datang dari pelbagai segi seperti ketidakadilan sosial, penindasan etnik dan peperangan di negara asal migran.

Sudah lengkap pengisian tentang imigrasi, sekarang kita cuba letak konteks itu dalam dua perspektif berbeza, yakni mendepani krisis ini melalui pendekatan kemanusiaan total atau dengan cara yang lebih pragmatik.

Lewat April lepas, saya terbaca ruangan The Talk of the Town dalam majalah The New Yorker. Saya terkesima dengan gaya penyampaian dalam bentuk bukan-fiksi kreatif dan kesimpulan yang menjurus ke arah kedamaian sejagat. Dalam ruangan itu, penulis Philip Gourevitch menjejaki kembali jalan kenangan pada tahun 1988, ketika 110 rakyat Vietnam merentas Laut China Selatan untuk masuk ke negara kita. Mereka merentas jalan maut itu untuk bebas daripada cengkaman pemerintahan komunis yang merampas tampuk kuasa di Vietnam.

Lalu tercatat dalam sejarah dunia cerita-cerita ngeri tentang migran-migran ini. Antara yang tidak boleh dilupai adalah bila mereka makan bangkai mayat rakan-rakan yang sudah mati di atas bot untuk terus hidup.

Terkini sebelum krisis kemanusiaan Rohingya di Laut Andaman, kita telah membaca tentang migran yang lemas beramai-ramai ketika cuba menyeberang Mediterranean menuju Eropah dari Syria, Lybia, Somalia, Sudan, Senegal dan negara utara Afrika yang lain. Tahun 2015 ini sahaja lebih 2,000 orang telah mati lemas dalam misi mencari kehidupan yang lebih baik.

Betapa mahal harga sebuah kedamaian.

Kini masalah yang sama mengetuk pintu rumah kita. Pelarian Rohingya kini terapung di laut dalam serba kedaifan, merayu untuk masuk ke negara. Kalau hanya didorong emosi semata, memang saya akan menyokong mereka diberi kehidupan dan peluang mencari rezeki di bumi bertuah, tanah keramat ini atas nama empati sesama manusia.

Tapi kita perlu menghantar mesej yang tepat kepada komuniti dunia, bukan terhad kepada pejuang kemanusiaan dan media antarabangsa semata. Di atas premis yang sama, saya menggesa kerajaan mengambil langkah dengan memastikan mereka cukup bekalan air bersih, makanan, selimut dan ubat-ubatan. Mungkin perlu ada kenderaan seperti helikopter atau bot laju dekat dengan mereka untuk bertindak sekiranya ada kecemasan. Kemudian, bot mereka perlu diperbaiki dan ditambah minyak sebelum mereka belayar semula ke Myanmar.

Sekiranya cara yang pertama itu tidak boleh dilaksana, rangkalah suatu pelan transit yang komprehensif untuk menghantar mereka pulang.

Malaysia tidak kejam, jauh sekali tidak berperikemanusiaan dengan menghantar mereka pulang. Konflik ini tidak terhad dengan isu pelarian semata, ia berkait rapat dengan masalah pemerdagangan manusia, konflik antara kaum di Myanmar, aspek keselamatan negara dan hubungan kita dengan negara rantau Asean yang lain.

Setakat Februari 2015, negara menanggung 152,570 pelarian dan pencari suaka. 141,570 terdiri rakyat Myanmar, di mana pengasingan etnik mereka terbentuk dari 49,800 Chins, 45,170 Rohingyas, 12,340 Myanmar Muslims, 7,320 Rakhines dan Arakanese, dan lain-lain lagi.

Kalau itu bukan memberi atas nama kemanusiaan, tiada apa lagi yang boleh mengisi makna sebenar kemanusiaan.

Jangan lupa untuk melihat di sekeliling kita. Banjir Disember lalu memberi kecelakaan kepada lebih 70,000 rakyat Malaysia. Ada di Manik Urai yang masih tinggal dalam khemah, yang masih menunggu tiang rumah baharu dipacak. Kita ini jangan kuat bersorak jadi pahlawan di mata dunia, bila rumah kita masih cela. Jangan sampai orang kata kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati tak makan.

Sekiranya mereka dibenarkan masuk tanpa syarat atas nama belas kasihan dan empati semata, alamak tidak beratus bot lagi bakal tiba di perairan negara. Di sini kita mesti ingat tanggungjawab kita menjaga sempadan negara. Di Sabah sebagai contoh, pemberontak di

Selatan Filipina sudah lama menghafal susur galur di perairan Sabah. Mereka menculik, menembak dan mengugut orang tempatan. Mereka mencabar kedaulatan tanah air kerana mereka tidak rasa tanah ini tanah tempat tumpah darah mereka. Adakah kita sanggup mengambil risiko lagi dengan menambah bilangan orang asing dalam negara?

Memperjuangkan nasib pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan adalah murni lagi terpuji. Tetapi menangani masalah secara pragmatik adalah lambang kemerdekaan minda yang sebenar.

*Elviza masih menulis, masih percaya. Temui beliau di laman Twitter @elviza.

0 Komentar untuk " Antara kemanusiaan & pragmatisme "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ