Isu TH-1MDB: Legal vs moral - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Isu TH-1MDB: Legal vs moral

SIFIRNYA mudah sahaja. 1MDB membeli tanah pada harga RM64 sekaki persegi, dan menjualnya RM2,773 sekaki persegi kepada Tabung Haji. Dalam sekelip mata syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu membuat keuntungan berlipat-lipat-lipat kali ganda.

Itulah congak orang biasa yang tidak arif dalam urus niaga korporat. Sebab itu apabila tersebar berita di media sosial – mulanya dinafikan, kemudian disahkan –bahawa agensi yang menguruskan hal-hal ke Tanah Suci itu terlibat dalam pembelian hartanah 1MDB, semua orang marah-marah.

Mereka, termasuk berjuta pendeposit dalam tabung berkenaan, ada alasan kukuh untuk naik angin. Pertama, mengapa pihak pengurusan tabungan terbesar orang Melayu itu begitu bodoh membayar berpuluh-puluh kali ganda dari harga asal? Kedua, apa perlunya agensi haji dengan dana suci pendeposit berjumlah RM56 bilion itu berurusan dengan sebuah syarikat yang diketahui berhutang lebih RM40 bilion?

Maka menerusi media sosial, ramai yang berdoa semoga maklumat yang didedahkan adalah tidak betul. Ramai yang menyatakan kebimbangan: “Kalau betul maklumat seperti yang tersebar, hancurlah kita!”

Pembelian tanah seluas 0.66 hektar bernilai RM188.5 juta di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur itu memang betul. Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengesahkan pada satu sidang media khas.

Untuk membersihkan nama agensi dan tidak mahu fakta dimanipulasi, Azeez mematuhi nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tanah yang baru dimiliki itu dijual semula.

Konon sudah ada tiga pihak yang menaruh minat untuk membeli tanah di kawasan tiga segi emas itu pada harga yang akan memberi keuntungan RM5 juta kepada TH. 1MDB dapat RM188.5 juta, TH untung RM5 juta dalam masa yang singkat. Agaknya ini yang selalu orang sebut ‘situasi menang-menang’.

Sekiranya penjualan segera tanah TH itu diharap dapat menghentikan kontroversi dan menghilangkan kemarahan orang ramai terhadap isu berkenaan, ternyata harapan itu tidak menjadi. Cerita belum berakhir, malah bagaikan baru bermula.

Banyak kekeliruan dicetuskan, dan masih berlegar dalam fikiran orang ramai amnya, dan khasnya para penyimpan yang sebahagiannya terdiri daripada penoreh getah, pemetik kelapa sawit, buruh kasar, dan nelayan. Antara yang ditanyakan:

Apakah pembayaran sekali gus RM188.5 juta kepada 1MDB itu sebagai usaha menyelamatkan bahtera syarikat kerajaan yang semua orang tahu sedang dilambung ombak?

Memandangkan beberapa orang pegawai tertinggi TH adalah juga orang yang sama menduduki lembaga 1MDB, apakah tidak wujud percanggahan kepentingan dalam transaksi mega ini?

Azeez sudah menjelaskan semuanya. Bahawa urusan jual-beli tanah 0.66 hektar di lokasi paling strategik itu adalah amalan biasa TH sebagai satu pelaburan hartanah yang keuntungannya akan dikembalikan semula kepada pendeposit dalam bentuk dividen dan subsidi ketika mengerjakan haji. Jadi, tidak timbul soal menyelamatkan 1MDB.

Tidak timbul juga isu conflict of interests dalam urus niaga ini, sebab pada semua mesyuarat untuk membuat keputusan, pegawai tertinggi TH yang duduk dalam 1MDB tidak menghadirkan diri. Biasa sangat kita mendengar klise ini!

Tambahan pula beberapa orang pakar agama, termasuk yang duduk dalam Majlis Fatwa Kebangsaan, mengesahkan bahawa urusan jual-beli seperti ini mematuhi hukum syariah.

Tanah yang sekeping itu telah dijual. Setakat rencana ini ditulis belum pasti dan belum diketahui umum siapa pembelinya. Tidak pasti juga berapa sebenar harga yang dibayar kepada TH.

Apa yang pasti polis akan menyiasat siapakah gerangan di sebalik tersebarnya perkara yang ditakrif sebagai ‘rahsia rasmi’ ini. Satu lagi yang pasti ialah ada orang dalam TH yang telah membocorkan rahsia.

Orang itu mungkin sudah tidak tahan melihat, dan tidak mahu terlibat dengan perkara-perkara tidak baik yang dilakukan TH. Pembocor rahsia, jika berjaya dikesan, akan menerima hukuman. Dia mungkin dianggap pengkhianat, tetapi di mata dan hati orang lain dia adalah wira.

Memang, bagi Azeez tidak ada apa celanya transaksi RM beratus juta itu, sebab semuanya legal. Tetapi dalam hal-hal tertentu, terutama mengenai simpanan orang Islam, jangan tengok hanya dari sudut legal; pandang juga dari sudut moral!

0 Komentar untuk " Isu TH-1MDB: Legal vs moral "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ