Fitrah manusia adalah mahu mendapatkan kebaikan dan menjadi orang yang baik. Dari segi teori, menjadi baik tidaklah sukar, hanya lakukan perkara yang disuruh dan tinggalkan perkara dilarang Allah SWT. Dari sudut praktikal, ia sukar untuk dilaksana kerana kebiasaannya manusia tidak suka kepada suruhan Allah, tetapi senang dengan larangan Allah. Ustaz Pahrol Mohd Juoi, menerusi program Islam Itu Indah Rabu lalu, di IKIMfm berkongsikan metafora 'jika menanam sayur memerlukan proses penanaman yang sukar, tetapi pasti akan tumbuh lalang yang tidak diperlukan. Sebaliknya, jika menanam lalang yang mudah sahaja prosesnya adalah mustahil bersamanya tumbuh sayur dengan tidak semena-mena.' Itulah gambaran hati manusia dalam membuat kebaikan akan menempuh kesukaran kerana perlu mengharungi pelbagai ujian. Berbeza jika melakukan kejahatan, ia seperti memberi keseronokan dan kemanisan melakukan maksiat. Diri sendiri lebih bahaya Kata bijak pandai, jika mampu menakluk diri bermakna berjaya menakluk dunia. Diri sendiri jauh lebih berbahaya daripada 'musuh dalam selimut' ketika berusaha mencapai kebaikan. Lebih parah, manusia zaman moden hari ini sering dipengaruhi elemen dalaman iaitu nafsu. Akibatnya, timbul rasa dalam diri melakukan kejahatan itu lebih ringan, manakala terasa berat melaksanakan urusan kebaikan. Allah menemplak golongan manusia ini menerusi firman-Nya mafhumnya: "Terangkanlah kepadaku mengenai orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai sembahannya...." (Surah Al-Furqaan ayat 43). Ramai manusia dalam dunia moden ini menyembah berhala berupa nafsu ini. Secara tidak sedar, diri memerlukan dan ingin kepada kebaikan, tetapi pada masa sama sebahagian daripada diri itu ingin membawa kepada kejahatan. Selain faktor dalam diri, hasutan syaitan juga menjadi punca diri terhindar daripada melakukan kebaikan seperti firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata". (Surah al-Baqarah ayat 208). Nyata di sini, syaitan itu musuh yang tidak kenal erti damai, tidak memahami maksud gencatan senjata, tiada belas kasihan dan banyak lagi yang menyasarkan manusia menjadi pengikutnya untuk bersama-sama menghuni neraka selama-lamanya. Justeru, selagi nafsu dan syaitan itu mendominasi diri setiap yang disuruh-Nya akan terasa pahit dan menikmati rasa manis ketika meninggalkan perintah-Nya. Oleh itu, Pahrol berkongsikan cara jalan keluar yang selamat bagi mewujudkan rasa tenang di dunia dan akhirat. Manusia terpaksa melawan nafsu dan syaitan. Slogan 'lawan tetap lawan' sangat bertepatan dengan mujahadah ini. Usaha yang digembleng secara optimum adalah jihad untuk mengalahkan nafsu dan syaitan. Pada masa sama, Pahrol menggariskan beberapa cabaran dalam menempa kebaikan. Cabaran pertama adalah mengetahui orang yang dikatakan orang baik. Seterusnya mengetahui laluan untuk menjadi baik. Mujahadah untuk raih syurga Sesungguhnya syurga itu mahal. Ia perlu dibayar dengan harga mujahadah yang berupa 'paksa diri' dan 'hukum diri'. Diri manusia perlu dipaksa untuk melawan perasaan malas, bosan dan jemu dalam melakukan kebaikan serta istiqamah dengan amalan yang perlu dilaksanakan. Kejayaan diri di dunia dan akhirat adalah sejauh mana kemampuan manusia memaksa diri untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dalam soal paksa diri ini, kita perlu memaksa diri beribadah selain menderma, mewakafkan dan menginfakkan harta. Ketika marah dan sukar memaafkan, paksalah diri untuk memaafkan dan melupakan. Pujuk hati memaafkan supaya diri memperoleh keampunan dari-Nya. Umat Islam juga perlu memaksa diri dengan menanam semangat bahawa diri akan menjadi mulia dengan Islam dan menjadi hina jika melakukan dosa. Kita perlu bermuhasabah dan membisikkan pada hati agar memaksa hati meletakkan diri sebagai hamba Allah yang terpilih, bukan tersisih. Formula terakhir yang boleh diguna pakai adalah jika tidak mampu melakukan semua, usah ditinggalkan semua. Pecahkan setiap masalah kepada segmen kecil, bak kata orang tua 'jika nasi panas makan tepi-tepi dahulu, usah ditinggalkan terus dek tidak tahan kepanasannya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/54710
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/54710
0 Komentar untuk " Gambaran hati dalam membuat kebaikan "