Inisiatif YPPM untuk pelajar agama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Inisiatif YPPM untuk pelajar agama

UNTUK beberapa hari ini, negara Yaman tidak berperang. Pihak yang berkonflik mempersetujui gencatan senjata selama lima hari bermula Ahad lalu bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Bumi Yaman yang pernah dipuji Rasulullah SAW sebagai tempat adanya ilmu dan iman, kini bergolak menuju kehancuran.

Konflik yang bermula pada 2011 dengan penggulingan kerajaan pimpinan bekas Presiden Ali Abdullah Saleh yang memerintah dua dekad kini berisiko menghancurkan negara itu ekoran keterlibatan kuasa asing, termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Iran.

Peperangan di lapangan adalah antara pemberontak Houthi, yang mahu mengembalikan kuasa bekas Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi, dengan kumpulan yang masih setia kepada Saleh.

Pihak pemberontak berfahaman Syiah disokong oleh Iran, manakala tentera yang pro-Saleh dibantu oleh Arab Saudi, yang mula mengebom kubu pemberontak pada 26 Mac lalu. Dari segi proporsi, dua pertiga penduduk Yaman beraliran Sunni dan sepertiga lagi adalah Syiah.

Menurut Patrick Cockburn, penulis akhbar The Independent: “As many Iraqis, Syrians and Afghans have discovered to their cost, Sunni-Shia sectarian hatred and fear is often only one massacre away.” (1 May 2015).

Peperangan serta krisis politik dan sosioekonomi yang cukup ketara menyumbang kepada terbentuknya banyak kumpulan pengganas, termasuk sel-sel Al-Qaeda yang baru.

Menurut satu kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diterbitkan awal tahun ini, terdapat antara 40 hingga 60 juta laras pistol dan senapang di negara yang berpenduduk 26 juta. Pistol atau rifel AK-47 boleh dibeli dengan harga RM500 selaras, manakala bom tangan boleh diperoleh dengan harga cuma RM50 sebiji.

Negara Yaman menyaksikan banyak konflik dan peperangan dalam sejarahnya tapi konflik kali ini mempunyai kesan jangka panjang yang sangat serius.
Berjuta rakyatnya yang terbunuh, cedera atau menjadi pelarian.

Ramai kalangan mereka yang menaiki bot dan perahu untuk menyeberangi Lautan Mediterranean untuk mencari perlindungan di Eropah, mati lemas kerana kapal mereka naiki karam.

Yang masih berada dalam kem pelarian terdedah kepada kebuluran, penyakit serta masalah kebersihan dan perubatan. Tersepit dalam keadaan menyedihkan ini ialah ribuan pelajar Malaysia yang menuntut ilmu di Yaman.

Ada pelajar Malaysia yang dihantar ibu bapa untuk belajar ke sama seawal umur 10 tahun. Kebanyakan mereka ke Yaman untuk mengikuti ilmu agama, seperti pengajian kitab dan hafaz, alim, syariah islamiah, hafalan quran dan bahasa Arab. Ada juga yang mengambil subjek sains.

Antara institusi pengajian yang popular kalangan pelajar Malaysia ialah Universiti Yamaniah, Darul Ghuroba’ Hadramaut, Perguruan Darul Musthofa, Ribath Al-Fath di Huraudhah dan Universiti Sains dan Teknologi Yaman.

Antara faktor Yaman menjadi pilihan ramai ibu bapa dan pelajar Malaysia ialah sistem dan kaedah pendidikan yang memberi penekanan kepada ilmu, adab dan ibadat, ramainya ulama besar dan zuhud, serta kos belajar yang murah iaitu sekitar RM5,000 untuk tempoh empat tahun.

Dalam laporan khas di Sinar Harian dua hari lalu, beberapa pelajar yang ditemu ramah berkata mereka pulang ke tanah air atas faktor keselamatan, justeru berhajat untuk kembali ke Yaman bagi meneruskan pengajian apabila perang tamat dan suasana kembali aman.

Seorang pelajar berkata beliau mengingati pesanan gurunya bahawa apa yang berlaku adalah didikan ALLAH untuk mereka yang tinggal di Yaman.

Oleh itu, masa yang ada haruslah digunakan untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan membaca dan menghafal Al-Quran dan memperdalami ilmu. Ramai yang bercita-cita untuk membuka pondok atau madrasah bila tamat pengajian dan pulang ke Malaysia nanti.

Alhamdulillah, pihak Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) sudah mengambil inisiatif dan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perdana Menteri dan Rektor Kolej Universiti Insaniah Kedah untuk mencari usaha mempermudah golongan pelajar yang pulang dari Yaman meneruskan pengajian di Insaniah dan lain-lain universiti yang menawarkan kursus pengajian Islam.

Jika usaha ini berhasil, sekian ramai pelajar akan ditawar untuk mengikuti kursus yang relevan dengan bidang pengajian mereka tidak lama lagi.

*Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

0 Komentar untuk " Inisiatif YPPM untuk pelajar agama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ