Cool Town bukti kesungguhan Azman - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cool Town bukti kesungguhan Azman

BERUSAH-susah dahulu, dan bersenang-senang di hari kemudian. Simpulan bahasa yang menggambarkan kegigihan pemilik restoran francais Cool Town, Azman Ibrahim, 36, selepas perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan kini berkembang pesat.

Bermula dengan minat, Azman membuka kiosk di pasar malam menjual ice blended bersama isterinya, Ekarizan Shafie,35.

Biarpun terikat dengan kerjaya masing-masing, itu tidak menghalang pasangan ini berniaga pada malam hari. Walaupun terpaksa membuka gerai lebih lewat berbanding peniaga lain, namun kesungguhan mereka berdua membuahkan hasil.

“Saya bukan memikirkan keuntungan semata-mata, sebaliknya kami seronok dengan apa yang dilakukan.

“Berniaga jangan kejar untung sahaja sebaliknya, perut pelanggan kita paling penting. Jika makanan yang kita buat sedap, pelanggan akan datang lagi,” katanya.

Anak jati Kota Bharu, Kelantan ini juga tidak kisah terpaksa berpanas atau berhujan demi perniagaan kecilnya itu.

Walaupun ia dimulakan tanpa sebarang perancangan teliti, Azman berani mengambil risiko dan ternyata ia langkah terbaik dalam hidupnya.

Sebelum serius berniaga, dia pernah membuat macam-macam kerja termasuk menjadi jurujual kereta, pengurus dan sebagainya.

Siapa sangka dengan bermodalkan RM5,000 ketika memulakan perniagaan pada 2011, Azman kini berbangga dengan rangkaian francaisnya berkembang sehingga ke Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perak, Pahang dan Terengganu.

Dia juga mempunyai francais di Saujana Utama, Cahaya Alam dan Seksyen 7, malah Cool Town turut menerima permintaan hingga ke Pulau Langkawi.

Harga berpatutan

Namun selepas pertambahan pelbagai jenis ice blended di pasaran dan perniagaan mereka mula tergugat, Azman mengambil keputusan mencuba perkara baharu.

Dia memperkenalkan minuman coconut shake sebagai percubaan, dan ia berjaya.

“Selepas jual di pasar malam, saya menyewa satu lot kecil tapak di tepi sebuah kedai makan.

“Sambutan yang saya terima amat menggalakkan terutamanya daripada pelajar sekolah,” katanya

Faktor utama dia memilih lokasi di Seksyen 7 kerana berdekatan dengan sekolah dan  menjadi tarikan kepada pelajar sekolah serta penduduk setempat.
Apatah lagi harganya cumalah RM3.50 untuk secawan besar coconut shake, ia berbaloi.

Tidak hanya menumpukan minuman sahaja, Azman turut menjual ayam ‘gunting’ rangup dengan harga RM6.00.

“Saya beruntung kerana dipilih memasuki program ‘Jalan-Jalan Cari Makan' pada 2013. Ketika itu jualan meningkat secara mendadak dan setiap bulan kami menerima keuntungan yang di luar jangkaan,” katanya.

Katanya, perkara yang ditekankan dalam perniagaan adalah kualiti terbaik dan menjaga setiap sukatan supaya rasanya kekal sama.

Guna resipi sendiri

Antara menu yang banyak membantu menaikkan jualan restoran Azman adalah coconut shake yang bukan sahaja murah tetapi sedap diminum ketika cuaca panas.

Tidak hanya memfokuskan satu sahaja produk, Cool Town mempunyai pelbagai jenis perasa  seperti tembikai susu, pisang, strawberi dan banyak lagi.
Selain itu, terdapat juga minuman panas kopi seperti tiramisu, latte dan mocha.

“Kami tidak menumpukan minuman sejuk sahaja, saya mahu pelanggan punyai variasi pilihan kerana bukan semua gemarkan ais.

“Begitu juga dengan makanan, selain ayam gunting terdapat juga waffle, takoyaki, sate ikan dan bebola kaya,” katanya.

Menurut Azman, makanan yang diperkenalkan kepada pelanggannya adalah hasil ciptaan isterinya sendiri yang gemar mencuba perkara baharu.

“Saya bertuah kerana isteri mempunyai banyak idea untuk membangunkan produk kami,” katanya.

Ditanya mengenai menu baru untuk akan datang, Azman berkata terdapat beberapa menu baharu tetapi ia masih dalam perancangan.

Buat masa sekarang, Azman mahu menumpukan pemasaran bagi penjualan minuman terlebih dahulu.

"Sekarang, saya sibuk dengan pemprosesan perisa minuman buatan sendiri bagi rangkaian Cool Town.

"Saya juga jadikan restoran di Cahaya Utama sebagai kilang pembuatan tersebut dan tepung ayam gunting," katanya.

Masalah penghantaran bekalan

Dalam masa terdekat, dia akan menambahbaik menu-menunya agar dapat dijual kepada ejen dan stokis Cool Town di seluruh negara.

Menurutnya, masalah terbesar yang dialami adalah pengangkutan untuk membekalkan tepung ayam gunting dan bahan perisa minuman ke negeri-negeri lain.

“Buat masa ini, kami menghantar bekalan menggunakan bas kerana kos lebih murah berbanding penghantaran pos.

“Lagipun bekalan yang dihantar bukan dalam jumlah kecil dan memerlukan ruang yang lebih besar,” katanya.

Azman berharap dapat menyediakan pengangkutan khas untuk bekalan kepada francais dan kiosk Cool Town supaya masalah itu dapat diatasi.

"Peruntukan masih belum mencukupi dan menunggu masa yang sesuai untuk melakukannya," katanya.

Cuba pasaran Indonesia

Azman juga berhasrat untuk meluaskan empayar perniagaannya supaya jenama itu stabil di industri dan pasaran tempatan.

Bahkan dia turut menyimpan keinginan untuk mengeksport perisa minuman ke luar negara seperti pasaran Indonesia terutamanya Acheh.

“Saya mahu jadikan Cool Town sebagai jenama Malaysia yang mampu bersaing dengan jenama luar negara dan sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Saya berharap ia akan terlaksana dan bukan cakap kosong sahaja,” katanya.

Azman juga mengintai peluang untuk membesarkan kilang pembuatannya yang kini diproses di restorannya.

“Untuk pasaran luar, saya memerlukan ruang besar bagi pengeluaran yang maksimum.

“Sekarang saya mencari tapak kilang sesuai supaya dapat menampung permintaan dan bekalan kepada francais sedia ada,” katanya.

Katanya, selain itu rekabentuk pembungkusan juga penting agar lebih kemas dan menarik.

Malah dia juga berusaha untuk mendapatkan pengangkutan seperti lori dan van agar penghantaran bekalan lebih sistematik.

Ubah mentaliti berniaga

Dalam perniagaan ada cabaran yang perlu dihadapi sebelum mengecapi kejayaan. Begitu juga Azman, perniagaan yang diusahakan bermula dengan minat itu bukan perkara mudah dilakukannya.

“Jika saya boleh berniaga tanpa perlu berhutang, orang lain juga boleh namun cara perlu betul.

“Pengurusan kewangan perlu diurus baik, keuntungan yang diperoleh diguna kembali sebagai modal bukannya berseronok,” katanya.

Tegas Azman, jangan berhutang untuk memulakan perniagaan kerana pinjaman yang diberikan mungkin digunakan ke arah lain.

Dia menasihati agar menggunakan modal sendiri walaupun sedikit namun lebih berbaloi.

“Bagi mereka yang berminat untuk membuka francais Cool Town, kami tawarkan yuran serendah RM3,500. Ia adalah harga mampu milik kepada semua.

“Ia tidak memerlukan modal ratusan ribu sebaliknya sesiapa sahaja boleh berniaga dengan modal rendah dengan barangan yang berkualiti tinggi,” katanya.

Dia berkata, yuran tersebut untuk mendidik mereka di luar sana agar tidak berhutang untuk memulakan sesuatu perniagaan.

0 Komentar untuk " Cool Town bukti kesungguhan Azman "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ