Cepat hapuskan pelesit di jalan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cepat hapuskan pelesit di jalan

KEMALANGAN tragis di Lebuhraya Duke awal pagi Sabtu lalu yang meragut nyawa tiga insan tidak berdosa terus menarik perhatian umum.

Ramai yang meluahkan rasa marah, sedih dan kecewa dengan punca insiden yang patutnya boleh dielakkan.

Takziah kepada keluarga mangsa yang menanggung derita akibat tragedi itu. Saya turut berkongsi kesedihan mereka.

Pasti ramai antara kita yang mengalirkan air mata melihat wajah anak-anak mangsa yang sedang berpeluk dan menangis terpampang di muka-muka depan akhbar.

Kita boleh bayangkan perasaan mereka yang kehilangan orang yang disayangi dalam keadaan yang sungguh menyayat hati.

Kita percaya polis dapat segera menentukan punca tragedi itu, apakah akibat cuai, tidak cekap, pentingkan diri oleh mana-mana pihak atau sebagainya.

Ada laporan mengatakan terdapat lapan buah Myvi di kawasan itu ketika kejadian.

Anggota-anggota Familia Myvi Club (FMC), bagaimanapun, menafikan mereka berlumba atau memandu laju.

Menteri dan timbalan menteri antara yang turut menziarahi keluarga mangsa di Taman Batu Muda, Batu Caves dan menjanjikan tindakan undang-undang akan diambil ke atas siapa sahaja yang didapati bersalah dalam kes itu.

Ahli FMC tidak mahu berita nahas itu disensasikan atau dispekulasi dan memohon maaf kepada keluarga mangsa. Memohon maaf adalah satu tindakan wajar.

Namun, apa sahaja tindakan diambil oleh mereka yang bersimpati dan alasan yang mahu diberikan oleh mereka yang mengakibatkan berlakunya tragedi itu, kemalangan sudah berlaku. Menyesal tidak berguna lagi.

Tiga orang - suami, isteri dan bayi - sudah pun maut dalam kemalangan itu.

Buat selama-lamanya, dua anak yang masih kecil hilang ibu, ayah dan adik, ibu hilang anak, adik-beradik hilang saudara, sanak-saudara dan sahabat-handai hilang orang disayangi; semuanya hanya disebabkan insiden yang menyedihkan itu.

Sesiapa sahaja, jika didapati bersalah nanti, patut insaf kerana mereka telah menyebabkan dua anak kecil menjadi yatim piatu dalam sekelip mata dan ramai lagi kehilangan insan yang dikasihi.

Mereka mesti bersama-sama mencari jalan membela nasib anak-anak malang itu, bukan menegakkan benang basah dan lepas tangan, apa lagi menuding jari.

Kemalangan berlaku akibat pemandu kenderaan, sama ada bas, lori atau kereta dan penunggang motosikal, termasuk mat rempit, yang samseng dan berlagak seperti pelesit, bukan perkara baharu.

Sudah banyak kali berlaku, sudah banyak cerita kita dengar, tetapi ia masih berterusan.

Hanya beberapa hari lalu saya mendengar bebelan seorang pemandu bas yang angkuh kepada soalan ringkas seorang penumpang wanita di Terminal Bas Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Bas itu dijadualkan meninggalkan terminal itu jam 11.59 malam tetapi 15 minit kemudian masih belum ada tanda-tanda hendak bergerak.

Maka penumpang itu pun bertanya: “Bila bas mau jalan?”

Soalan itu buat pemandu itu melenting.

“Apa pasal tanya? You mau sampai Kuala Lumpur pukul berapa? Kalau mau sampai pukul 3 (pagi) pun saya boleh bawa.

“Belum ada orang lain pernah tanya bila mau jalan tau. You orang pertama tanya....,” pemandu itu terus membebel dengan suara tinggi sambil bercekak pinggang. Tidakkah dia sedar penumpang itu pelanggan syarikat.

Mujur penumpang itu tidak menjawab, walaupun saya pasti dia memaki-hamun berbakul-bakul dalam hati.

Kalau penumpang itu menjawab, saya tidak boleh bayangkan apa akan berlaku.

Apakah pemandu angkuh itu akan mengeluarkan kata-kata kesat? Mengheret wanita itu turun? Atau yang lebih bahaya, memandu bas dalam keadaan membahayakan untuk melepaskan perasaan marahnya yang tidak bertempat itu.

Saya sarankan pihak berkuasa membuat syarat. Antaranya, pastikan setiap pemandu bas, ekspres atau bukan, memakai pakaian seragam dengan tag nama.

Ini barangkali membuat segelintir pemandu bas yang angkuh rasa takut sedikit untuk bertindak sewenang-wenangnya.

Hari ini, pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang tidak berhemah masih ramai di jalan raya.

Pada waktu lewat malam tidak perlu cakap lagilah. Pecutnya macam pelesit.

Mereka berlagak seperti raja di jalan, seolah-olah jalan raya itu mereka punya.

Sebelum ramai lagi jadi mangsa, tindakan tegas perlu diambil untuk menghapuskan kegiatan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang beraksi seperti pelesit itu.

0 Komentar untuk " Cepat hapuskan pelesit di jalan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ