Belajar percuma, PTPTN harus kekal - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Belajar percuma, PTPTN harus kekal

Apakah ura-ura hendak menghapuskan skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini diperjuangkan oleh sesetengah pihak boleh disamakan dengan perjuangan bagi menawarkan pengajian tinggi percuma di semua IPTA? Ini tetap merupakan satu polemik yang menarik dalam kalangan beberapa pihak, bukan saja terhad kepada orang politik.

Sepintas lalu, kita dapati ramai siswa yang masih dibebani potongan gaji untuk membayar balik hutang pinjaman itu mengharapkan agar tunggakan mereka itu dapat dihapus-kira. Itu lebih berkisar kepada perhitungan kepentingan peribadi.

Jika itu saja yang menjadi faktor pendorong kepada pembantahan, bahkan pembasmian skim PTPTN, maka adalah ternyata ia tidak mengambil kira kepentingan peminjam-peminjam lain yang telah dan sedang membayar balik pinjaman mereka.

Lebih-lebih lagi, ia juga akan menegak satu budaya yang kurang menyenangkan, iaitu janji membayar hutang bolehlah dipandang sepi.

Oleh yang demikian, kenapa tidak cadangan pengajian tinggi percuma dijadikan satu perjuangan atau agenda politik pilihan raya (jika orang politik ghairah sangat hendak berbuat demikian) yang berasingan? Memang tidak salah jika rakyat kita berimpian agar pengajian tinggi percuma dapat ditawarkan kerajaan di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA/S).

Sebenarnya impian itu adalah sama seperti adanya kemahuan rakyat yang menuntut pendidikan percuma bagi peringkat menengah beberapa dekad yang lalu. Justeru, tidaklah wajar impian sebegini dicorakkan politik sesebuah parti semata-mata kerana ia kelihatan diperjuangkan oleh parti yang berkenaan. Sebaliknya, adalah perlu impian berkenaan dikupas secara rasional dari sudut pro dan kontranya terhadap masa depan negara.

Pada hemat saya, perjuangan bagi menawarkan pengajian tinggi percuma di IPTA tidak semestinya boleh mewajarkan penghapusan skim PTPTN. Dalam hubungan ini, biarpun impian pengajian tinggi percuma menjadi kenyataan, skim PTPTN tetap boleh dikekalkan untuk menampung keperluan pinjaman pengajian tinggi bagi mereka yang menuntut di IPTS.

Ternyata sekali polemik pemansuhan PTPTN yang tengah menyemarak sekarang kehilangan fokusnya. Sekiranya pihak Lembaga PTPTN ingin mempertimbangkan ura-ura hapus-kira tunggakan pinjaman, adalah lebih wajar keutamaan diberikan kepada mereka yang berjaya memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.

Ini kerana buat masa sekarang masih lagi terdapat ramai siswa cemerlang yang berijazah kelas pertama dikehendaki membayar balik pinjaman mereka. Sedangkan tidak kurang juga siswa-siswi cemerlang lain yang diberi pengecualian membayar balik berikutan adanya pengumuman pengecualian yang dibuat oleh kerajaan pada tahun yang tertentu.

Keadaan tidak seragam ini mudah dipertikaikan. Justeru, penyeragaman dalam usaha mengecualikan pembayaran balik pinjaman bagi semua peminjam ijazah kelas pertama itu perlulah diberi pertimbangan wajar demi keadilan, bukannya untuk kepentingan politik pilihan raya.

Kita memang boleh memahami sebab-sebab semakin terserlahnya isu-isu sepatutnya tidak berhubung kait langsung dengan politik kepartian tiba-tiba dijadikan agenda politik pilihan raya yang luas membara. Itu pun boleh kita terima sebagai hak pilihan individu atau parti politik tertentu atas nama demokrasi.

Namun pada masa sama, rakyat yang dahagakan kematangan demokrasi tetap juga mengharapkan orang politik daripada kedua-dua pihak - parti pemerintah dan parti pembangkang agar berpolitik dengan lebih matang lagi bertanggungjawab.

Sebarang visi perjuangan mereka yang dilontarkan kepada rakyat perlulah berasaskan logik yang meyakinkan dan perhitungan yang realistik. Ia tidaklah sekadar impian yang dilakar semata-mata untuk memancing undi dalam pilihan raya sahaja.

0 Komentar untuk " Belajar percuma, PTPTN harus kekal "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ