Ada lagi orang Malaysia tinggal atas pokok? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ada lagi orang Malaysia tinggal atas pokok?

GERIK, satu daerah di Perak sememangnya terkenal dengan pelbagai khazanah yang mungkin sampai ke hari ini tidak pernah terusik.

Begitulah Royal Belum yang menjadi ‘permata’ Gerik , selain khazanah alam  flora dan fauna, Royal Belum juga ‘menyimpan’ masyarakat yang mungkin sehingga kini tidak pernah terdedah ke dalam dunia moden.

Menurut Pengerusi Persatuan Anak Gerik Di Perantauan (Pagar), Tajuddin Mohd Ali, 33, berkata, satu ketika dahulu Royal Belum didiami oleh orang Melayu dan masyarakat asli, namun setelah empangan dibuat, kerajaan menggesa agar penduduk di kawasan itu untuk berpindah.

“Sebahagian Temengor tenggelam, Royal Belum tidak tenggelam, jadi ‘perkampungan’ Royal Belum di tinggal sehingga ratusan tahun.

“Di perkampungan itu, ada ladang buah-buahan, mereka juga menternak haiwan, bayangkan peninggalan mereka itu telah menyebabkan ‘hasil’ menjadi luar biasa.

“Ternakan mereka (kerbau, lembu)  ‘berubah’ menjadi Seladang , dan sehingga kini masih ada pokok teh gergasi, pokok durian juga bersaiz besar seolah-olah ada orang yang menjaganya.

“Dan di situ juga menurut cakap orang asli di sana mereka pernah terjumpa dengan ‘spesies’ manusia yang memang jarang dijumpai, menurut cakap mereka, mereka ini tinggal di atas pokok, dan hampir mustahil dijumpai kini kerana kehebatan mereka dalam ‘menjejaki’ orang luar.

“Masyarakat ini pernah ditemui pada tahun 2000, mereka ini bercawat, namun tidak mustahil mereka masih wujud kerana, mereka ini beranak-pinak,” katanya kepada Sinar Online.

Berbicara lanjut, Tajuddin berkata ada pihak yang cuba menyelongkar misteri ‘masyarakat’ ini namun sehingga kini masih gagal untuk dilakukan.

“Ada pihak luar datang untuk jejak, tetapi masih gagal untuk didokumentasikan,” katanya.

Royal Belum terletak di bahagian utara Tasik Temengor, Ia diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada 3 Mei 2007, ia meliputi kawasan seluas 117,500 hektar dengan hampir 90 peratus daripadanya adalah Hutan Simpan Belum (132,000 hektar) yang bersempadan dengan Thailand.

Manakala di sebelahnya terbentang Hutan Simpan Temengor yang mempunyai keluasan lebih 200,000 hektar.

Biarpun lokasinya agak jauh dan terpencil, ia langsung tidak menjejaskan kedatangan pelancong untuk menikmati dan menyelongkar rahsia alam yang masih suci daripada pencemaran.

Ini kerana, untuk menyingkap rahsia alam yang masih tersimpan rapi di sini, hanya pengangkutan air sahaja boleh membawa pelancong ke Royal Belum.

Laluan darat hanya dapat dihubungkan sehingga ke jeti awam, Pulau Banding iaitu lokasi terakhir sebelum ekspedisi seterusnya mengguna bot laju menyusuri Tasik Temengor menuju taman negeri ini.

Usia Royal Belum dipercayai berusia lebih 130 juta tahun, lebih tua daripada hutan hujan Amazon di Amerika Selatan dan hutan Congo di Afrika Tengah.

Dianggarkan terdapat 3,000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang hidup bebas dan liar, sekali gus menjadikan Royal Belum, khazanah negara tidak ternilai harganya.

0 Komentar untuk " Ada lagi orang Malaysia tinggal atas pokok? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ