YIM, GIM hasilkan inovasi untuk 12 juta rakyat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

YIM, GIM hasilkan inovasi untuk 12 juta rakyat

YAYASAN Inovasi Malaysia (YIM) melantik German-Malaysian Institute (GMI) sebagai rakan teknikal bagi program Inovasi Inklusif menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), baru-baru ini.

Kerjasama itu membolehkan YIM memperbaiki serta mengkomersialkan inovasi yang berpotensi untuk meningkatkan kualiti 12 juta rakyat Malaysia di bawah piramid ekonomi (BOP) iaitu golongan berpendapatan kurang RM3,050 sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Muhammad Aziph Mustapha berkata, projek pertama yang akan diusahakan YIM dan GMI adalah menghasilkan lima prototaip berfungsi mini-hidro, sebuah inovasi akar umbi yang dihasilkan Hamid Jasmin di Tambunan, Sabah.

"YIM berharap dapat menggunakan prototaip tersebut di beberapa lokasi di pedalaman Sabah untuk membantu lebih 300 isi rumah bagi menambah bekalan elektrik sedia ada. Pada masa akan datang, penggunaan inovasi Mini-Hidro ini juga akan dikembangkan di Semenanjung Malaysia.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan GMI dalam mengaplikasikan pengetahuan teknikal dan kepakaran perniagaan untuk menyelesaikan masalah akar umbi sebenar.

"Terdapat keperluan yang besar untuk mengurangkan jurang capaian BOP terutama dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, utiliti dan produktiviti," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, YIM merancang untuk mengkomersialkan enam inovasi inklusif yang bakal memberi manfaat kepada BOP.

Sementara itu, Pengarah Urusan GMI, Yusoff Md Sahir berkata, GMI mempunyai sumber mencukupi untuk membantu YIM dalam menghasilkan reka bentuk baru atau menambah baik reka bentuk sedia ada demi memberi manfaat kepada BOP seperti mini-hidro dan mesin pelerai padi.

Program Inovasi Inklusif merupakan salah satu daripada enam program berimpak tinggi (HIP6) di bawah Pelan Induk Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang mana YIM dilantik sebagai agensi pelaksana.

Program Inovasi Inklusif direka khas untuk memotivasi, mengenalpasti, menapis, menaiktaraf, mengembangkan dan melestarikan inovasi inklusif bagi menangani jurang dalam kalangan penduduk Malaysia dari segi pendapatan dan akses kepada keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan dan institusi kewangan.

0 Komentar untuk " YIM, GIM hasilkan inovasi untuk 12 juta rakyat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ