Dari pasar raya ke butik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dari pasar raya ke butik

SUDAH menjadi lumrah setiap peniagaan pasti ada jatuh dan bangunnya. Begitu juga dengan Noriah Musa, 52, yang menjalankan perniagaan menjual pakaian wanita hampir 27 tahun.

Beliau hampir putus semangat apabila perniagaan yang diusahakan bersama suaminya, Hassan Ahmad, 54, menerusi Nuri Batik jatuh ketika negara berhadapan dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars), awal 2003.

“Perniagaan kami turut terkena tempiasnya kerana orang ramai tidak keluar rumah. Pada masa itu, kami menjalankan perniagaan secara bergerak mengikut pasar raya yang menjalankan promosi.

“Kami sudah tempah dua tapak niaga di dua pasar raya iaitu di Subang Jaya dan Wangsa Maju untuk berniaga. Mahu atau tidak, kami terpaksa juga teruskan jualan kerana sudah bayar sewa tapak. Kalau tidak berniaga, kami perlu bayar denda,” katanya.

Malangnya, Noriah mengalami kerugian kerana jualan pakaiannya tidak laku, pada masa sama terpaksa juga membayar gaji pekerja dan sewa tapak perniagaan.

“Kebiasaannya, hasil jualan saya adalah RM300 hingga RM400 sehari, tetapi jualan masa itu, ia susut sehingga RM100 atau kurang daripada itu. Saya sedikit tertekan dengan keadaan tersebut kerana perniagaan itu menjadi sumber pendapatan kami,” katanya.

Akibat kesempitan hidup, Noriah mula membuat kuih-muih dan menghantar ke gerai dan restoran-restoran untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Setahun saya tidak jual pakaian dan fokus buat kuih-muih. Sepanjang tempoh itu, baju-baju yang tidak terjual itu disimpan dan ada sebahagiannya saya letak di kedai rakan saya.

“Kami rugi lebih RM10,000 sepanjang setahun tidak berniaga pakaian. Alhamdulillah, pada musim perayaan kami mula berniaga baju semula kerana dapat panggilan telefon daripada pelanggan meminta kami berniaga,” katanya.

Kerja pelbagai bidang

Sebelum membuka perniagaan pakaian, Noriah pernah melakukan pelbagai kerja untuk membantu suaminya menyara keluarga, namun semua itu dirasakan tidak kena dengan jiwanya.

“Saya pernah kerja bantu suami di kedai elektrik, buka restoran sendiri dan berniaga nasi kerabu serta nasi dagang di pasar malam.

“Namun, minat saya lebih terarah kepada fesyen dan saya sanggup belajar untuk mendalami bidang ini sebab saya mahu ada jenama saya sendiri,” katanya.

Akhirnya, dengan bermodalkan RM2,000, Noriah memulakan perniagaan pakaiannya pada 1988 secara kecil-kecilan dan menjahitnya sendiri di rumah dengan dibantu tiga pekerja.

“Reka bentuk pakaian itu semua hasil ilham saya sendiri mengikut trend semasa. Fesyen pertama yang kami jual adalah baju kurung pasang siap untuk dewasa dan kanak-kanak.

“Ketika itu, tidak ramai orang yang jual baju kurung pasang siap dan agak sukar untuk menjualnya ketika mula-mula kami berniaga. Namun, Alhamdulillah sambutannya tetap ada,” katanya.

Noriah juga pernah ditawarkan untuk membekalkan pakaian wanita di sebuah pasar raya, namun beliau terpaksa menolaknya.

“Saya tidak pernah menyesal tolak tawaran itu sebab kami tahu kemampuan kami. Kami tidak mampu untuk tampung permintaan yang begitu banyak.

“Lagipun, kami perlukan pusingan modal yang banyak sebab jual di pasar raya, kami hanya akan dapat pulangan dalam masa tiga bulan. Kami lebih selesa kalau jualnya sendiri,” katanya.

Buka butik sendiri

Pengalaman hampir kehilangan perniagaan pakaiannya membuatkan Noriah menjadi lebih kuat untuk terus bangkit memajukan perniagaannya.

Noriah kini berjaya membuka dua lot butik pakaiannya sendiri menerusi Nuri NS Collection di GM Klang pada 2010.

“Saya buka butik di sini sebab saya fikir sampai bila mahu bergerak ke dari satu tempat ke satu tempat untuk jual pakaian ini. Hari-hari kena angkat barang dan bawa balik semula.

“Memandangkan usia semakin bertambah, saya pun nekad buka butik sendiri di GM Klang. Di sini, saya mula berniaga pakaian secara borong,” katanya.

Bagi meningkatkan pengeluaran pakaiannya, Noriah menggunakan khidmat tiga subkontraktor untuk menjahit pakaian.

“Kini, kami mempunyai lebih 100 koleksi pakaian wanita antaranya baju kurung, baju kurung moden, jubah dan dress. Pada tahun ini, kami berhasrat untuk mengeluarkan blaus, tudung dan baju Melayu.

“Saya mahu membesarkan lagi perniagaan ini tetapi kami masih tidak mampu lagi tampung permintaan. Saya harap, masalah ini akan mampu diatasi nanti,” katanya.

0 Komentar untuk " Dari pasar raya ke butik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ