Peningkatan tahap pendidikan dan kesedaran terhadap pelbagai isu sosial, ekonomi dan kesihatan membuatkan ramai lebih berhati-hati dan bertindak bijak dalam membuat keputusan, terutama yang membabitkan kos. Isu kesihatan adalah antara perkara yang dapat perhatian. Kebanyakan kita berusaha mendapatkan rawatan kesihatan efektif, mudah tetapi masih dengan kos yang terjangkau. Maklum balas pesakit yang hadir di klinik swasta mendapati, mereka bersetuju bahawa klinik atau hospital kerajaan mampu memberi rawatan baik dengan kos rendah tetapi disebabkan angka penggunaannya agak tinggi pada satu-satu masa, mengakibatkan masa menunggu untuk mendapat rawatan panjang seterusnya menyebabkan ramai berpindah ke klinik swasta. Kebanyakan pesakit tidak sanggup membazir waktu menunggu kerana mereka mempunyai pelbagai urusan yang perlu diselesaikan. Menurut mereka, biaya rawatan dan perubatan di klinik swasta secara relatifnya masih murah. Kadar perundingan doktor klinik swasta masih rendah dan terjangkau, sebanding dengan pemeriksaan yang lengkap dan terperinci serta nasihat dan tip kesihatan diberikan. Walaupun ramai masih tidak sedar mengenai hakikat biaya perundingan, ada yang tahu bahawa biaya perundingan itu jauh di bawah paras ditetapkan Kementerian Kesihatan. Mereka juga tahu bahawa doktor swasta terikat dengan beberapa akta kesihatan dan tidak boleh menaikkan caj perundingan sewenang-wenangnya. Pesakit utama keselesaan Perkara kedua menjadi keutamaan pesakit dalam mendapatkan rawatan adalah keselesaan. Sistem klinik swasta dilihat sebagai pusat sehenti di mana semua kemudahan disediakan di satu tempat. Selesai diperiksa doktor, jika perlu menjalani ujian darah atau urin dan selepas itu boleh terus mendapatkan ubat dan pulang. Tidak dapat dibayangkan kesulitan mungkin dihadapi jika ubat-ubatan perlu diperoleh di tempat berasingan atau farmasi yang berjauhan dari klinik. Apalagi jika kes adalah kes kecemasan, kecederaan berat dan keterbatasan pergerakan pesakit kerana kecacatan. Pesakit biasanya ingin segera mendapat ubat dan berehat. Kepatuhan memakan ubat dan menghadiri rawatan susulan biasanya lebih tinggi dengan sistem klinik swasta sedia ada. Hubungan baik dan keserasian yang dibina dengan doktor yang lazim merawat dapat menimbulkan semangat dan keinginan untuk kekal sihat. Kebanyakan pesakit mengakui menggunakan perkhidmatan doktor dan klinik sama untuk seluruh keluarga sejak bertahun-tahun. Tidak dinafikan, ramai pesakit lambat atau kadangkala tidak menebus preskripsi ubat doktor di hospital yang mengamalkan farmasi integrasi kerana faktor pengangkutan, masa, biaya serta ada juga yang memberi alasan jemu melihat ubat yang banyak kerana ada dalam kalangan pesakit terutama dari hospital awam dibekalkan dengan jumlah ubat untuk tempoh penggunaan dua atau tiga bulan. Akhir sekali, ramai ragu-ragu dengan sistem pembelian ubat di farmasi kerana bimbang soal kerahsiaan pesakit. Membeli ubat di kaunter farmasi yang terbuka serta terdedah kepada penglihatan ramai orang boleh menjadi satu konflik seandainya seseorang mengalami penyakit berjangkit atau yang boleh menimbulkan isu stigma sosial. Data pesakit dirahsiakan Di klinik swasta, rahsia peribadi pesakit sentiasa diberi keutamaan di mana mereka diperiksa di ruang tertutup sementara rekod dan data peribadi disimpan dengan teliti, malahan sekiranya pesakit meminta keadaan kesihatannya tidak diberitahu hatta kepada ahli keluarganya, doktor tidak akan berbuat demikian. Sewajarnya sistem kesihatan ini yang terbukti menjadi alternatif pilihan pengguna sejak zaman berzaman dikekalkan.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/48277
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/48277
0 Komentar untuk " Sistem kesihatan sedia ada patut dikekalkan "