Mohamad Munir tidak kenal erti putus asa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mohamad Munir tidak kenal erti putus asa

SEORANG usahawan perlu mempunyai kreativiti dalam melakukan perubahan untuk mengeluarkan produk yang mampu bersaing dalam pasaran.

Demikian antara nasihat yang diberikan Pengarah Urusan Bio Haruantech (M) Sdn Bhd (Bio Haruantech), Mohammad Munir Lukman Hakim ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai pengalaman perniagaan hampir 20 tahun menceritakan setiap detik kesusahan dan kejayaan yang dihadapinya untuk bertahan dan berjaya seperti hari ini.

“Saya mula berniaga tahun 1996 dan masa itu saya jual kopi segera kepada orang ramai dan sambutan pada mulanya memberangsangkan, tetapi lama-kelamaan ia berkurangan.

“Kemudian saya hasilkan pula serikaya dalam tin dan bekalkan ia kepada kem askar dan juga hospital yang terpilih sehingga kontrak membekalkan makanan tersebut tamat pada 1999,” katanya.

Menurut Mohammad Munir, selepas kontrak tersebut tamat, beliau mengambil keputusan menghasilkan produk makanan seperti tepung goreng ayam, kari dalam tin, air minuman dan pelbagai lagi.

“Tetapi ia tidak lama kerana saya sedar, saya perlu hasilkan satu produk yang akan kekal di pasaran,” katanya.

Produk berasaskan haruan bantu kembang perniagaan

Menyedari perlu mengeluarkan satu produk yang belum ada di pasaran dan mendapat sambutan, Mohammad Munir cuba bekerjasama dengan Jabatan Perikanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk menghasilkan produk berasaskan ikan haruan.

“Saya ada bercakap dengan Jabatan Perikanan, mengenai minat saya untuk menghasilkan produk kesihatan berasaskan ikan haruan memandangkan tiada lagi yang buat produk tersebut.

“Jadi saya memerlukan kolam untuk menternak ikan haruan bagi memastikan kelangsungan bekalan bahan mentah. Alhamdulillah Jabatan Perikanan membantu saya dengan meminta berpindah ke Rawang berhampiran dengan kilang saya sekarang,” katanya.

Katanya, pada awal perniagaan Bio Haruantech, ia mengeluarkan produk kesihatan sup haruan di dalam tin sebelum menukarkannya kepada bentuk serbuk bagi memudahkan pembeli menyediakannya.

“Daripada situlah perniagaan saya betul-betul berkembang dengan bermula menjual sup haruan jenama BioHaruan dengan harga yang ditetapkan RM16 sekotak.

“Apa yang membanggakan, saya juga berjaya meletakkan produk tersebut ke hampir 200 farmasi seluruh negara,” katanya.

Mohammad Munir berkata, langkah yang diambilnya dengan menghasilkan produk baharu yang tiada di pasaran membantunya untuk terus bertahan dalam dunia perniagaan dan berjaya mengembangkannya dengan wujudnya pelbagai jenama di bawah Bio Haruantech.

Produk baharu di bawah jenama Rezza Brand
 
Melihat kejayaan produk BioHaruan, Mohammad Munir mengambil inisiatif mengembangkan perniagaannya dengan memperkenalkan beberapa produk segera baharu di bawah satu jenama baharu.

“Tiga tahun pertama kami hanya memberi tumpuan kepada produk BioHaruan dan selepas itu saya mula terfikir untuk hasilkan produk lain memandangkan BioHaruan tidak mendapat permintaan yang terlalu tinggi.

“Memang diakui keuntungan jualan BioHaruan tinggi tapi pengeluarannya tidak banyak jadi berlaku kekosongan masa di mana pengeluaran tidak kerap dan saya melihat ia perlu digunakan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, mesin pengeringan di kilangnya mampu menghasilkan satu tan produk sehari, jadi peluang harus diambil dengan menghasilkan produk baharu.

“Jadi kami mulakan dengan membuat laksa segera yang tidak pernah ada di pasaran dan dijual pada harga RM2.90. Menariknya, produk kami tidak menggunakan sebarang bentuk bahan pengawet.

“Selepas itu, kami tambah lagi produk baharu seperti mi udang, bihun sup, bubur nasi, kuetiau kerang dan pelbagai lagi di bawah jenama Rezza Brand,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran pasaran, Mohammad Munir berkata produknya boleh didapati di pasar raya terkenal dan juga rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven.

“Alhamdulillah kami berjaya menembusi pasar raya Giant, Aoen Big, Mydin dan 7-Eleven. Bagi produk di bawah jenama Rezza Brand pengguna boleh dapatkannya di semua pasar raya tersebut.

“Cuma produk kesihatan BioHaruan sahaja ada di farmasi terpilih serta semua rangkaian Hospimart di Hospital memandangkan kami menyasarkan pesakit sebagai pelanggan kami," katanya.

Konsep kiosk bantu golongan muda

Menggunakan jenama Rezza Hot To Go, Mohammad Munir mengambil selangkah ke hadapan dengan memperkenalkan perniagaan berkonsepkan kios yang menjadikan nasi Arab sebagai makanan utama di kios selain menjual semua produk Bio Haruantech.

“Saya mula memperkenalkan kios Rezza Hot To Go dua tahun lalu di Pudu Sentral, Kuala Lumpur dengan niat untuk membantu golongan remaja yang berminat untuk berniaga dengan kerjasama MOA.

“Remaja yang berminat boleh mendapatkan bantuan modal di bawah unit Agropreneur Muda yang akan disalurkan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional atau menggunakan modal sendiri,” katanya.

Menurut Mohammad Munir, pelaburan bagi membuka satu kios Rezza Hot To Go berjumlah RM60,000 di mana semua peralatan, mesin dan stok bahan disediakan bagi mereka memulakan perniagaan.

“Untuk tahun ini, saya mencari 10 orang yang berminat untuk membuka kios kami di mana-mana lokasi yang menjadi tumpuan ramai, mereka yang berminat boleh datang terus kepada kami,” katanya.

Mohammad Munir berkata, buat masa ini, terdapat tiga cawangan kios Rezza Hot To Go di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur, UTC Ipoh, Perak dan Taman Koperasi Polis, Fasa 2, Batu Caves, Selangor.

“Selain itu, kami juga dalam perancangan untuk membuka kafe Rezza Hot To Go di sekitar Lembah Klang dengan menjadikan pusat membeli-belah sebagai tumpuan utama,” katanya.

Rancang buka kilang dalam 5 tahun

Ditanya mengenai perancangan perniagaan bagi Bio Haruantech Mohammad Munir berkata, beliau sedang merancang untuk membuka kilang baharu bagi menggantikan kilang sedia ada di Rawang.

“Buat masa ini, kilang dan pejabat urusan kami berada di lokasi berasingan. Menjadi harapan saya untuk menempatkan semuanya di bawah satu bumbung bagi menjimatkan kos dan memudahkan urusan kami.

“Saya menyasarkan dalam tempoh lima tahun kami akan mempunyai kilang tersebut dan bila ada kilang yang menempatkan semuanya, saya yakin proses pengeluaran semua produk akan berjalan lancar,” katanya.

Dari segi penambahan produk, Mohammad Munir berkata, Bio Haruantech bakal mengeluarkan satu produk baharu berasaskan mi segera di dalam paket yang boleh didapati pertengahan tahun ini di pasar raya terpilih.

“Itu sahaja produk yang akan dikeluarkan kami kerana buat masa ini kami lebih memberi tumpuan untuk memasarkan produk sedia ada supaya lebih dikenali oleh orang ramai,” katanya.

0 Komentar untuk " Mohamad Munir tidak kenal erti putus asa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ