Miliki kedai barangan antik sendiri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Miliki kedai barangan antik sendiri

MEMULAKAN perniagaan di Pasar Loken, Ipoh, Perak yang sekarang dikenali sebagai Memory Lane, Nurliza Alias kini berjaya memiliki kedai menjual barangan lama dan antik di Anggerik Mall, Shah Alam.

Nurliza berkata, kedainya yang diberi nama Ipoh Loken dibuka sejak 2010, menjual barangan seperti radio, lampu, pinggan-mangkuk, telefon, penunjuk arah dan papan tanda lama.

“Permintaan sangat memberangsangkan kerana ramai orang yang cari barangan lama disebabkan minat atau untuk dijadikan koleksi.

“Dari segi harga, saya akan jual mengikut harga pasaran semasa kerana saya tidak mahu rosakkan pasaran barangan lama. Kadang kala, harga barangan lama ini boleh mencecah ratusan atau ribuan ringgit,” katanya.

Menurutnya, beliau mencari sendiri stok barangan yang dijual di kedainya dan ada masanya membeli daripada orang lain.

“Bila ada kedai sendiri, cabarannya stok barang kena sentiasa ada sebab orang datang hendak tengok barang dan beli, berbanding menjual di pasar karat kerana tempatnya lebih terhad,” katanya.

Bantu peniaga

Menyedari potensi perniagaan itu, Nurliza antara individu yang terlibat memberikan cadangan supaya konsep pasar karat dibangunkan di Anggerik Mall untuk membantu peniaga menjual barangan lama dan antik, pada 2011, menggunakan nama Garage Sale.

“Garage Sale ini dibuka pada setiap Ahad jam 10 pagi hingga 6 petang. Kami hanya kenakan sewa rendah iaitu RM30 sehari untuk galakkan orang berniaga. Jika peniaga berniaga lapan minggu berturut-turut, kami tidak akan kenakan sewa pada minggu kesembilan sebagai memberi penghargaan kepada mereka.

“Kami hendak tunjukkan pada orang ramai, tidak perlu buka kedai dengan modal tinggi untuk berniaga. Kebanyakan peniaga di Garage Sale ini adalah peniaga sambilan mencari pendapatan sampingan, suri rumah dan ibu tunggal,” katanya.

Nurliza berkata, kewujudan Garage Sale itu juga bagi memeriahkan Anggerik Mall, sekali gus menarik ramai orang berkunjung ke pusat membeli-belah tersebut.

“Masa itu, konsep pasar karat dalam bangunan tidak ramai lagi yang buat kerana kebanyakannya dibuat di luar seperti tepi jalan dan tapak pasar.

“Agak susah juga masa mula-mula hendak cari peniaga barang-barang lama kerana mereka pun kadang kala menghadapi masalah stok barangan.

“Sehingga kini, kita ada 10 peniaga tetap di Garage Sale, manakala 10 peniaga lagi akan berniaga sekiranya mereka ada stok barangan,” katanya.
Beliau berkata, setiap tahun, pihaknya akan menganjurkan Festival Vintage Selangor @ Garage Sale Anggerik Mall sebagai acara kemuncak kepada pameran dan jualan produk terpakai, barangan lama, kraf, antik dan klasik.

Pasar karat perniagaan berpotensi

Perniagaan barangan antik dan lama berkonsepkan pasar karat mempunyai potensi besar untuk berkembang seperti di luar negara.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Selangor, Rusnah Yusoff berkata, ini kerana, masyarakat Malaysia kaya dengan sifat nostalgik dan suka mengumpul barangan yang mempunyai nilai serta dekat di hati mereka.

“Peminat barangan lama dan antik sangat ramai. Kalau kita lihat, kebanyakan mereka yang berkunjung ke pasar karat ini berbilang bangsa.

“Ini satu perniagaan yang bagus dan Mara sentiasa menggalakkan dan menyokong semua perniagaan yang mendatangkan manfaat kepada usahawan kita,” katanya.

Menurutnya, Mara akan memikirkan bentuk bantuan dan sokongan yang bersesuaian bagi memajukan perniagaan itu di Selangor.

“Mungkin kita akan fikirkan untuk menyediakan tapak perniagaan atau memberikan promosi kepada perniagaan berkonsepkan pasar karat ini secara besar-besaran pada masa depan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya peniaga barangan antik itu menubuhkan persatuan sendiri untuk membolehkan mereka bergerak lebih aktif dalam perniagaan itu.

“Dengan adanya jaringan yang baik di kalangan peniaga-peniaga ini menerusi persatuan itu, saya yakin perniagaan ini akan berkembang sebab mereka sudah ada kemampuan,” katanya.

0 Komentar untuk " Miliki kedai barangan antik sendiri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ