Lawatan ke Terengganu singkat tapi bermanfaat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lawatan ke Terengganu singkat tapi bermanfaat

LAWATAN saya dan rombongan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) ke Terengganu minggu lalu, memberi hasil yang cukup baik dan produktif. Dalam pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman pada Majlis Perasmian Pelancaran Operasi Madrasah Moden Maidam di Kuala Nerus, beliau bersetuju supaya Terengganu menjadi tuan rumah kepada Ijtimak Pondok pada 2016.

Ini satu penghormatan dan berita baik kepada YPPM kerana memudahkan perancangan dan melancarkan persediaan untuk mengatur program terbesar dalam kalendar aktiviti YPPM tahun hadapan. Seperti pengalaman YPPM menganjurkan ijtimak serupa untuk julung kalinya pada tahun lalu di Alor Setar, sokongan dan kerjasama kerajaan negeri dan menteri besar sangat penting dan perlu bagi menjayakannya.

Kita juga melahirkan kesyukuran dan kelegaan kerana hasrat ini juga mendapat sokongan Majlis Agama dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu. Dalam perbincangan dengan Pengarah Operasi YPPM, Juhaidi Yean Abdullah, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd
Rozali Saleh memberi jaminan pihaknya akan memberi kerjasama dan sokongan padu terhadap penganjuran ijtimak itu nanti.

Hubungan baik antara kedua-dua pihak sebenarnya sudah terjalin sejak dua tahun lalu apabila Mohd Rozali mengetuai rombongan Maidam melawat ibu pejabat Maidam di Bukit Persekutuan, Bangsar, Kuala Lumpur pada November 2013. Beliau menjanjikan kerjasama kepada YPPM yang akan menjalankan bancian pondok di Terengganu, sekali gus melancarkan Kempen Daftar Pondok, bertujuan mengumpul maklumat dan mencetak Direktori Pondok edisi ke-2 tidak lama lagi.

Saya berterima kasih kepada Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail atas jemputan untuk hadir pada majlis perasmian madrasah modennya yang pertama, dirasmikan oleh Menteri Besar. Saya cukup teruja dengan usaha kerajaan Terengganu dan Maidam untuk memaju dan memantapkan pendidikan Islam di negeri itu. Bukti kesungguhan ialah hakikat bahawa madrasah ini disiapkan dan dibuka untuk operasi 48 hari daripada hari Menteri Besar menetapkan penubuhannya!

Konsep madrasah moden ini menggabungkan sistem pondok dengan mata pelajaran akademik bertujuan melahirkan generasi pelajar yang mahir dalam kedua-dua bidang pengajian. Seperti kata Shaikh Harun dalam ucapannya, hasrat madrasah moden ini ialah melahirkan golongan profesional yang juga golongan hufaz, dan mereka diharapkan menyumbang kepada kesejahteraan ummah, kemajuan agama Islam dan pembangunan negara.

Kumpulan perintis pelajar di madrasah moden ini ialah 119 orang, termasuk dari luar Terengganu seperti Pahang dan Selangor. Walaupun kumpulan sasar adalah pelajar yang mendapat keputusan sederhana dalam ujian PT3 tapi berminat pengajian agama, namun ramai juga antara pemohon adalah mereka yang memperoleh 5A atau 4A.

Di madrasah ini, mereka akan belajar agama seperti pelajar di pondok berserta enam subjek lain termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik dan Sains. Rutin pelajar bermula jam 5 pagi, diselang-seli antara belajar agama, bahasa Arab, mengaji Quran dan solat berjemaah dengan subjek akademik, acara riadah dan bersukan.

Matlamatnya ialah untuk menyediakan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan melayakkan mereka untuk menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan jika lulus, melanjutkan pelajaran ke universiti.

Pembukaan Madrasah Moden Maidam ini hanya satu daripada banyak usaha yang dibuat kerajaan Terengganu dalam strategi Transformasi Terengganu Baru. Dalam ucapannya, Ahmad Razif menyebut, antara lain, Program Syahadah Ulul-Albab untuk melahirkan ulama
saintis, pembiayaan pelajar agama cemerlang memasuki Universiti Madinah, Projek Desa Taqwa dan pembukaan dua atau tiga lagi madrasah moden tahun ini.

Semasa kunjungan hormat rombongan kami ke pejabat Mufti Terengganu, Sohibus Samahah Dr Zulkifli Muda berkata beliau menyambut baik gabungan ilmu agama dengan subjek akademik. Katanya, pengajian kitab thurath dalam sistem pondok tradisional boleh digabungkan dengan ilmu moden untuk menarik lebih ramai pelajar belajar di pondok. Beliau juga mencadangkan YYPM mengambil inisiatif menganjurkan seminar atau bengkel untuk membincang isu kurikulum bagi pondok dengan harapan dapat diwujudkan kurikulum yang berkualiti dan berpiawai. Insya-ALLAH, cadangan ini akan kami pertimbangkan secara serius.

* Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

0 Komentar untuk " Lawatan ke Terengganu singkat tapi bermanfaat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ