Kedai mamak vs institusi dakwah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kedai mamak vs institusi dakwah

DI MALAYSIA, bila kita sebut perkataan kedai makan Melayu atau kedai makan Cina, kita akan terbayang monokultural, iaitu rakyat yang makan di kedai ini terdiri daripada satu budaya sahaja.

Tetapi bila kita sebut perkataan ‘kedai makan Mamak’, kita akan terbayang suasana multikultural iaitu rakyat yang makan di kedai ini terdiri daripada pelbagai budaya. Mamak memang berjaya membina imej mesra multikultural tetapi sejauh manakah institusi dakwah berjaya buat demikian? Mungkin kena belajar dari kedai makan mamak!

Satu hari saya uji beberapa rakan multikultural pada masa yang berlainan mengenai anugerah dakwah yang akan diberi tak lama lagi. Saya tanya, “Anugerah Pendakwah Negara akan dimenangi oleh bangsa mana?”

Semua jawab, “Melayu”.

Saya tanya lagi, “Anugerah Pendakwah Wanita Negara?”

Semua jawab, “Melayu,” juga.

Saya tanya lagi, “Anugerah Pendakwah Muda Negara?”

Semua jawab, “Melayu,” kecuali seorang rakan tidak beri jawapan tetapi bertanya, “Mamak pula le?,” saya tergelak besar.

Ramalan rakan-rakan saya di atas ternyata dikabulkan oleh ALLAH SWT. Semua umpama bomoh pula kerana mampu meramalkan siapa pemenang anugerah dakwah tanpa menjunjung buah kelapa atau terbang atas sejadah. Bagaimana?

Budaya dakwah di Malaysia sangat ‘sangkarable’ iaitu boleh dijangkakan oleh sesiapa jua yang boleh fikir-fikir sendiri. Tak perlu PhD.

Ini adalah kerana bila sebut sahaja jemaah dakwah, AJK perancang dan pelaksana biasanya terdiri daripada rakyat monokultural sahaja. Bila sebut syura ulama, akan juga terbayang suasana monokultural. Tetapi yang saya risau ialah kumpulan monokultural ini melihat mereka sebagai satu jemaah jihad melawan arus asing iaitu arus multikultural.

Baru-baru ini, bila seorang ustaz dengar saya sebut dakwah dalam konteks multikultural, beliau terus menonjolkan isu di mana sebahagian Muslimin telah meraikan Tahun Baharu Cina dan ini adalah bidaah sesat hasil daripada pemikiran multikulturalisme.

Bagi ustaz ini, dakwah adalah menentang arus multikultural seolah-olah kita wajib ubah Malaysia menjadi negara monokultural. Haram Malaysia meraikan perayaan kecuali dua perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Meraikan Hari Kemerdekaan adalah sama seperti meraikan Hari Kekasih.

Bagi sebahagian pendakwah pula, mereka terima hakikat multikultural ini tetapi Islam yang mereka sampaikan adalah bersifat monokultural. Ini adalah kerana AJK perancang dalam persatuan mereka adalah bersifat monokultural. Tiada pertukaran fikiran yang pelbagai semasa merancang.

Semasa Nabi Muhammad SAW memerintah, syura Baginda terdiri daripada rakyat multikultural iaitu terdiri daripada pelbagai kabilah. Empat sahabat yang bakal jadi khalifah terdiri daripada kabilah berlainan dan pernah bermusuh iaitu kabilah Abu Bakr ialah Bani Taim, Umar

Bani Adi, Uthman Bani Umayyah dan Ali Bani Hasyim. Bahkan isteri-isteri Nabi Muhammad SAW pun bersifat multikultural. Bahkan, isterinya yang bernama Safiyah adalah daripada kabilah Yahudi!

Menyatukan Jazirah Arab memerlukan jemaah multikultural. Apabila sahabat-sahabat Nabi SAW terdiri daripada rakyat multikultural, mudah untuk menjalin persahabatan dengan semua walaupun kabilah-kabilah Arab ini mempunyai semangat asabiyah (berpuak-puak) yang luar biasa.

Bahkan tokoh imam-imam Mazhab Empat, hanya Imam Shafii sahaja berbangsa Arab. Ulama-ulama termasyhur yang lain seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Bukhari, Imam Muslim adalah multikultural.

Kalau Anugerah Pendakwah Negara dilaksanakan pada zaman Nabi dan kegemilangan Islam, nescaya tokoh-tokoh pendakwah negara adalah umpama pelangi indah di langit.

Dalam era globalisasi ini, wacana rakyat monokultural iaitu 'Mereka Adalah Aku' (Mereka kena berfikir seperti Aku) semakin ditelan oleh wacana rakyat multikultural 'Aku Adalah Mereka' iaitu aku berusaha berfikir seperti setiap seorang daripada mereka.

Wacana dakwah perlu mencapai wasatiyyah, jalan pertengahan antara dua wacana di atas. Ini adalah kerana cabaran utama dakwah ialah meyakinkan rakyat bahawa ia adalah rahmat dunia, bukan agama ulama atau agama monokultural.

* Abdul Naser Tun Rahman, tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Kedai mamak vs institusi dakwah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ