Caj perkhidmatan: Pilihan di tangan pengguna - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Caj perkhidmatan: Pilihan di tangan pengguna

CUKAI Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah dilaksanakan hampir sebulan, namun masih ada banyak isu berbangkit yang perlu ditangani.
 
GST yang berkuat kuasa 1 April lepas, ditetapkan pada kadar 6 peratus. Menerusi pelaksanaan GST, cukai jualan yang ditetapkan pada kadar 10 peratus dan cukai perkhidmatan (6 peratus) dimansuhkan.
 
Pelaksanaan GST merupakan sebahagian daripada program pembaharuan percukaian kerajaan bagi meningkatkan kapasiti, keberkesanan dan ketelusan  pentadbiran dan pengurusan cukai.  

Namun, serentak pelaksanaan regim percukaian baharu itu, banyak isu berbangkit yang perlu ditangani, termasuk caj perkhidmatan.  

Ada dalam kalangan kita yang tidak menyedari bahawa caj perkhidmatan tiada kaitan langsung dengan pihak berkuasa.

Ia merupakan elemen yang tidak dikawal sejak diperkenalkan pada tahun 1980-an bagi menggantikan bayaran tip yang menimbulkan masalah kepada pelanggan dan tidak adil kepada petugas 'di belakang tabir' yang tidak berpeluang melayan pelanggan secara langsung, dan tidak layak menerima tip.  

Meskipun secara umum pelanggan nampaknya tidak membantah membayar caj berkenaan, berlaku penyalahgunaan seperti ada premis tidak memaklumkan kepada pelanggan harga mereka dan tertakluk kepada caj perkhidmatan, dan caj itu tertera dalam bil akhir seperti kos tersembunyi kepada pelanggan.  

Malah, ada premis yang tidak menyerahkan caj perkhidmatan yang dikumpul kepada pekerja. Ini bertentangan dengan semangat mewujudkan caj berkenaan dan pemilik perniagaan atau pengurus boleh dianggap sebagai 'mencuri'.  

Menerusi pelaksanaan GST, perkara itu menjadi lebih bermasalah apabila orang ramai kesal kerana dikenakan caj dua kali, sebagai contoh, caj perkhidmatan dan GST.  

Ada dalam kalangan pelanggan sewenang-wenangnya menganggap kedua-dua caj itu dikenakan oleh kerajaan. Pelanggan juga mempersoalkan mengapa mereka  dipaksa membayar lebih untuk perkhidmatan sedangkan servis yang diterima tidak memuaskan.
 
Pemilik perniagaan, kesatuan sekerja dan parti politik mahu caj perkhidmatan itu kekal dan menjadi pendapatan tambahan kepada ramai pekerja bergaji rendah dalam industri perkhidmatan dan hospitaliti.  

Kerajaan merancang menghentikan bayaran caj perkhidmatan sama sekali atas alasan bahawa banyak perniagaan tidak memerlukannya.  

Namun, ramai yang memprotesnya, mungkin sebahagian besar premis makanan dan minuman serta hospitaliti, tidak mempunyai kesatuan sekerja dan tidak dapatmewujudkan Perjanjian Bersama.  

Antara penyelesaian yang boleh dilaksanakan berkait rapat dengan pengeluaran lesen perniagaan, memandangkan kebenaran perniagaan untuk mengenakan caj  perkhidmatan tertakluk kepada pengeluaran lesen perniagaan.  

Lesen perniagaan dikeluarkan atas dua syarat; pertama perniagaan bersetuju mempamerkan tanda atau tanda-tanda jelas ia mengenakan caj perkhidmatan (tanpa  mengira peratusan) bagi membolehkan bakal pelanggan mengetahui sebelum memasuki premis berkenaan.  

Kedua, pemilik perniagaan atau pengurus menandatangani persetujuan bahawa kutipan caj perkhidmatan akan diserahkan kepada pekerja, dan dipaparkan di  premis untuk manfaat pelanggan dan pekerja, dan kaedah ini tidak memerlukan Perjanjian Bersama.  

Undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan lesen perniagaan boleh meminda bagi memasukkan syarat ini. Memandangkan lesen  perniagaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, tugas ini dipisahkan daripada kementerian persekutuan, sekali gus mengurangkan peranan kementerian untuk melakukan tugas berkenaan.  

Penyelesaian ini nampak lebih sesuai, dari segi melindungi hak perniagaan untuk mengenakan caj perkhidmatan (termasuk peratusan) jika memerlukannya.  

Ia juga melindungi kepentingan pengguna yang sudah memperoleh maklumat mencukupi bahawa premis yang mereka masuki itu mengenakan caj (peratusan  tertentu), dan pengguna pada bila-bila masa boleh memilih sama ada hendak masuk atau pergi ke tempat lain yang tidak mengenakan caj perkhidmatan. - Bernama

0 Komentar untuk " Caj perkhidmatan: Pilihan di tangan pengguna "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ