Bimbang & ragu masuk tahun 2020 - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bimbang & ragu masuk tahun 2020

DALAM sains optik, 2020 ialah penglihatan mata yang genap, tidak memerlukan kaca mata untuk melihat jauh dan dekat. Pada 2020 pula, Malaysia dijadualkan menjadi negara maju. Menoleh ke belakang, lima tahun tidak lama, hanya pejam-celik pejam-celik saja.

Saya tidak mahu membuat definisi apa itu negara maju tetapi lebih baik diperkatakan butiran-butiran negara maju yang relevan, sekali gus membandingkannya dengan butiran-butiran yang sama di Malaysia.

Ambil AS sebagai negara maju dominan kini, England negara maju pertama, dan Jepun sebagai negara maju misali Asia.

Jagatan besar AS sebagai negara maju terulung ialah ‘racism’ yang lebih kita fahami dengan perkauman, ternyata sekali antara kulit putih dengan kulit hitam. Mula-mula kulit hitam dipanggil Negro, diperendahkan lagi dengan cemekan Nigger; kemudian dipanggil ‘Kulit Hitam’; diikuti Afro sebelum dipanggil African-American seperti terkini. Kulit putih pula dipanggil Caucasian.

Jika diskriminasi kaum dapat dikurangkan melalui perubahan panggilan begitu, ia diperkuatkan lagi melalui tindakan penegasan atau affirmative action yang boleh dibandingkan dengan tindakan hak istimewa Bumiputera di sini.

Tindakan itu ialah untuk mengurang dan menghapuskan jurang ekonomi dan pendidikan antara kaum di AS. Di luar masalah hubungan kaum, AS amat bangga dengan konsep Negara Undang-Undang (nation of law).

Menjelang tahun 1950, Alger Hiss, pegawai tinggi Jabatan Negara AS dan pegawai penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dilucut jawatan, dihukum dan diaibkan – kerana salah berbohong di sisi  undang-undang. Negro James Meredith dipastikan kekal menjadi siswa Universiti Mississippi melalui tindakan kepolisian di kampus itu pada tahun 1962.

Undang-undang juga memastikan Naib Presiden AS Spiro Agnew jatuh dari jawatan kerana menerima wang rasuah $10 ribu dan penerimaan ini tidak dimasukkan dalam borang cukai pendapatannya. Moralnya: jika susah diperangkap dengan undang-undang rasuah, gunakan saja undang-undang cukai pendapatan.

Setahun kemudian, 1974, Presiden Nixon jatuh menggerudum kerana tidak membuat laporan (ertinya, cover up) tentang pekerja-pekerja partinya, the Republican, menggeledah pejabat parti lawan, the Democrat. Tidak ada kesilapan yang terlalu kecil atau terlalu besar dari segi undang-undang di AS.

England berbangga menjadi negara industri (sinonim negara maju) pertama melalui Revolusi Industri.

Walaupun suka memanggil dirinya negara yang paling bertamadun, namun masa lepasnya menghantuinya. Dikatakan matahari tidak turun di empayarnya, tetapi apa yang diamalkan di tanah jajahan tidak dibenarkan di negaranya sendiri.

Pendatang dibawa ke sesebuah tanah jajahan dengan ramainya, tetapi rakyat tanah jajahan disekat masuk ke negaranya. Apabila India merdeka, sejumlah kecil ‘anak emas’nya dibenarkan berhijrah ke England.

Dari jumlah itu, kini ia sudah menjadi minoriti dominan. Rakyat imigran (pendatang) tidak lebih dua juta, atau kurang 10 peratus daripada keseluruhan rakyatnya. Disiplin yang ditegaskan dengan undang-undang menyumbang kepada kemampuan England mengatur hidup sosial rakyatnya.

Ambil mantan PM Harold Wilson sebagai contoh. Begitu kuat keengganannya untuk tidak mengamalkan rasuah membuatkan Harold Wilson, mantan perdana menteri (berhenti 1976), hidup dalam ketiadaan.

Beliau dijadikan Lord (seperti Ahli Dewan Negara) selepas bersara demi elaun bulanan. Untuk mendapatkan elaun kehadiran, beliau suatu ketika dibawa di atas kereta usung (seperti di hospital) ke bangunan Parlimen dalam keuzuran.

Selepas kalah perang, Jepun menganggap AS sebagai teladan, terutama dalam amalan demokrasi dan undang-undang. Kakuei Tanaka menjadi perdana menteri tahun 1972 dan mengalami nasib amat malang. Beliau seorang yang kurang pendidikan formal tetapi kaya melalui bisnes.

Terlalu percaya kepada kekuatan wang dalam kuasa, beliau melakukan rasuah dengan firma pesawat terbang Lockheed, AS. Beliau diberkas dan dijatuhkan hukuman bersalah oleh dua buah mahkamah. Beliau meletak jawatan.

Sebelum rayuannya sampai ke mahkamah agung, beliau terlebih dulu meninggal pada tahun 1993.

Apa yang jelas ialah pendakwa negara, mungkin dipanggil peguam negara atau attorney general, adalah berkedudukan bebas. Bosnya ialah Perlembagaan Negara dan bukan presiden atau perdana menteri. Kalau tidak, mana mungkin begitu ramai presiden dan perdana menteri dikenakan tindakan undang-undang rasuah, salah laku dan salah guna kuasa.

Dengan menghayati segalanya itu, sudahkah kita bersedia  memeluk ciri-ciri negara maju itu untuk memasuki gerbang 2020? Kita hanya perlu melihat di sekeliling kita untuk memberikan jawapannya.  
                                                       
* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Bimbang & ragu masuk tahun 2020 "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ