Huraian surah Al-Baqarah: Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka." (Surah al-Baqarah, ayat 201) Islam agama yang mengajar dan mendidik penganutnya mencari dua kecemerlangan iaitu di dunia dan akhirat. Golongan Mukminin akan memohon daripada Allah SWT kebajikan dan kesenangan dunia serta akhirat. Mereka tidak menentukan jenis kebajikan dan kesenangan itu, malah menyerahkannya kepada pilihan Allah SWT. Mereka mengharapkan Allah SWT memilih untuk mereka apa sahaja kebajikan diketahui-Nya baik dan mereka akan menerimanya dengan penuh kerelaan. Sayyid Qutb menulis dalam tafsirnya, semasa al-Quran diturunkan terdapat dua golongan manusia yang membulatkan hatinya kepada dunia, mereka mengaut dunia sebanyak-banyak yang mungkin dan selalu sibuk dengan dunia. Ada dua perkara ditekankan dalam ayat ini iaitu dunia dan akhirat, matlamat yang tidak boleh dihasilkan dengan cita-cita atau khayalan, tetapi dihasilkan melalui usaha serta doa berterusan. Doa menjadi pedoman yang lurus dan menguntungkan kerana seseorang boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kepada Allah SWT. Islam tidak mahu orang Mukmin menolak dunia kerana ia tempat mereka berladang untuk akhirat. Namun, pada masa sama Islam mahukan mereka sentiasa 'mentawajjuhkan' (menghadapkan diri dan membulatkan hati) kepada Allah SWT dalam urusan di dunia ini. Orang yang memohon hasanah di dunia dan hasanah di akhirat akan memperoleh bahagian yang baik kerana mengikut manhaj lurus. Bagaimanapun, bahagian itu bergantung sejauh mana usaha dibuat, bukan semata-mata pada perkataan, doa dan zikir yang diamalkan. Berfikir mengenai hari akhirat dan keinginan mendapat bahagian yang sempurna di akhirat, sebagaimana dijanjikan Allah SWT dengan syurga segala kemudahan serta nikmat hanya boleh dilakukan oleh orang yang berpandangan jauh. Golongan berpandangan jauh mengimbangi antara dua tuntutan iaitu akal dan hawa nafsu serta dunia dan akhirat, lalu mereka berdoa untuk kebaikan di dunia serta akhirat. Minta kehidupan lebih baik Meminta kehidupan yang baik di dunia tentulah dengan melakukan sesuatu yang memberikan manfaat kepada usaha, sementara meminta kehidupan baik di akhirat pula adalah dengan keimanan bersih, amal salih dan berakhlak mulia. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Anas, Nabi SAW telah memanggil seorang daripada kaum Muslimin yang keadaannya seperti anak ayam dicabut bulunya. Lalu Baginda bersabda kepadanya: "Apakah engkau meminta sesuatu daripada Allah SWT dalam doamu?" Jawabnya: "Ya, aku selalu berdoa: Ya Allah, apa yang akan aku terima sebagai azab di akhirat nanti, segerakanlah ia kepadaku di dunia ini sahaja." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Maha Suci Allah! Kalau begitu, tentu engkau tidak akan sanggup dan tidak akan mampu menerimanya. Mengapa tidak kamu ucapkan: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan Nabi mendoakan kebaikan baginya, lalu Allah SWT menyembuhkan penyakitnya." Jelaslah sesiapa yang berdoa kepada Allah SWT dan menyerahkan urusannya kepada-Nya dan reda menerima apa sahaja yang diputuskan Allah SWT untuknya, maka segala kebajikan dunia dan akhirat tidak akan terluput daripadanya. Tetapi sesiapa yang menumpukan minatnya kepada kesenangan dunia, maka dia akan kehilangan segala habuan kesenangan di akhirat. Islam tidak mahu orang yang beriman meninggalkan urusan dunia kerana mereka sememangnya dijadikan Allah SWT untuk memerintah dunia ini, tetapi Islam mahu mereka menghadap penuh ketaatan kepada Allah SWT ketika menjalankan urusan dunia dan tidak menyempitkan pandangan hingga menjadikan dunia sebagai pagar yang mengurung mereka. Islam mahu membebaskan manusia daripada pagar bumi yang sempit ini. Islam mahu manusia bekerja di bumi dan menganggap dirinya lebih besar daripada bumi. Islam mahu manusia melaksanakan urusan pemerintahan di bumi dan menjalinkan hubungan yang rapat dengan Allah Yang Maha Tinggi. Doa, usaha perlu seiring Oleh sebab itu, minat yang tertumpu kepada kehidupan di bumi sahaja adalah minat yang remeh-temeh. Mereka yang minta kebahagiaan dan kebaikan dunia serta akhirat akan diberi oleh Allah SWT apa yang dipinta dalam doa mereka sesuai dengan usaha serta daya usaha mereka. Ini disebabkan mereka telah mencari dunia dengan sebabnya (caranya) dan melakukan usaha untuk akhirat sesuai dengan caranya. Oleh itu, mereka akan memperoleh balasan usaha mereka di dunia dan di akhirat sesuai dengan kadarnya. Pengertian ayat ini seiring dengan firman-Nya yang bermaksud: "Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata. Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (Surah as-Syura, ayat 20) Berdasarkan perbincangan ini, Allah SWT mengajar kita supaya berakhlak semasa berdoa supaya tidak hanya menumpukan kehidupan di dunia sehingga lupa hari akhirat. Kita perlu memohon kejayaan dan kebaikan kedua-duanya serta memohon dimasukkan ke syurga serta dijauhkan dari bahang api neraka. Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/48071
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/48071
0 Komentar untuk " Agama: Tumpu kesenangan dunia hilang habuan akhirat "