Agama: Doa ikhlas mudah dimakbulkan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Doa ikhlas mudah dimakbulkan

Pada hari Khamis minggu lalu, saya bersarapan dengan seorang kawan yang akan berangkat ke tanah suci untuk menunaikan ibadat umrah bersama keluarganya pada pertengahan April ini. Sempat juga bercerita mengenai pengalaman pertama saya menunaikan ibadah umrah.

Alhamdulillah, selepas isteri saya menunaikan ibadah umrah pada Jun 2006 bersama kakitangan koperasi di tempat beliau bekerja, giliran saya pula menyusul mendapat jemputan menjadi tetamu Allah SWT pada bulan Ogos tahun yang

sama. Berdasarkan kuliah kursus umrah dan haji yang dianjurkan Tabung Haji Travel, saya telah membuat satu ringkasan mengenai rukun dan wajib umrah (termasuk amalan sunat semasa ibadah umrah). Pesan penceramah supaya jemaah melakukan ibadah mengikut kemampuan masing-masing. Umrah adalah satu perbuatan dengan berpakaian ihram dan menziarahi Baitullah Al-Haram kerana mengerjakan tawaf, sa'ie serta bertahalul menurut segala syarat, menunaikan segala rukun dan wajibnya.

Perjalanan kami terus ke Madinah dahulu. Oleh itu, selepas selamat di tiba di lapangan terbang kami meneruskan perjalanan menaiki bas sejauh 424 kilometer yang memakan masa selama enam jam. Bas kami singgah di pertengahan jalan untuk berehat sambil makan malam. Di Madinah, kami dibawa menziarahi makam Rasulullah SAW, sahabat baginda Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab serta perkuburan Baqi' yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi. Sepanjang berada di sana kami memperbanyakkan solat sunat serta berdoa di Raudhah.

Menziarah tempat bersejarah

Di samping memperbanyakkan ibadah dan amalan sunat, jemaah umrah turut dibawa menziarahi tempat bersejarah di Kota Madinah yang menjadi destinasi hijrah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Lokasi menjadi tumpuan ialah Masjid Quba' yang juga dikenali sebagai Masjid at-Taqwa. Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang bersuci (mengambil wuduk) daripada rumahnya di Madinah kemudian ke Masjid Qub'a sama ada berjalan kaki atau pun menunggang kenderaan dan bersolat sunat dua rakaat di masjid itu kemudian pulang ke Madinah, dia mendapat pahala seperti mengerjakan satu umrah." Kemudian jemaah dibawa menziarahi Jabal Uhud dan makam syuhada, Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat), medan peperangan Khandaq serta tidak ketinggalan pasar kurma yang terletak berhampiran Masjid Nabawi.

Biasanya mutawif akan menceritakan kepada jemaah sejarah tempat yang diziarahi serta peristiwa dikaitkan dengan lokasi itu dan kepentingannya kepada perkembangan Islam. Melihat sendiri tinggalan sejarah itu membolehkan kita membayangkan saat getir serta kegemilangan dicapai mereka terdahulu daripada kita. Ketika di Madinah, saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada anak, Sarah, yang berada di Newcastle, Australia. Anehnya, saya menerima balasan yang sama daripadanya sebanyak 10 kali.

Lalu saya menelefon dan beliau memaklumkan hanya membalas mesej saya sekali sahaja. Selepas berbual, saya menutup telefon bimbit. Selesai solat Subuh pada hari berikutnya, saya mengaktifkan kembali telefon bimbit dan seperti semalam, terdapat mesej sama daripada anak saya, juga dihantar sebanyak 10 kali. Sekali lagi saya menutup telefon bimbit.

Terima mesej bertalu-talu

Risau juga andai keadaan itu berulang lagi dan saya menerima SMS yang sama bertalu-talu. Saya akhirnya pasrah dan ketika itu yang terlintas di hati adalah untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT kerana dia Yang Maha Berkuasa atas tiap sesuatu itu. Saya berdoa kepada Allah SWT memohon supaya mengalihkan satelit yang mengganggu sistem telefon bimbit saya dan dengan izin Allah SWT, apabila saya aktifkan kembali,telefon itu berfungsi seperti biasa.

Benarlah detik hati saya, jika kita berdoa dengan bersungguh-sungguh dan mengharapkan ihsan Allah SWT, kerana hanya kepada-Nya kita memohon pertolongan serta bertawakal, doa itu makbul. Tambahan, kita berada di tanah haram, antara tempat yang mustajab doa. Sekarang pun kita kerap menerima SMS atau mesej di laman sosial yang mengingatkan ketika mana kita merasakan sudah tiada siapa lagi yang dapat membantu, sebenarnya kita ada Allah SWT yang sentiasa menanti permintaan hamba-Nya untuk diperkenankan. Mengingati saat pertama kali berada di Tanah Haram dan doa dimakbulkan Allah SWT, itulah bukti kepada maksud pesanan yang ramai antara kita pernah terima, khususnya di laman sosial atau terbaca. Allah SWT sentiasa dekat dengan hamba-Nya.

Jihad ibadah kami teruskan di Makkah untuk menunaikan umrah serta bermunajat kepada Yang Maha Esa di Baitullah al-Haram. Pastinya saat meninggalkan Madinah akan membuatkan hati berasa sayu untuk berpisah dengan kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW.

Buat persediaan

Mengenang kembali saat pertama kali menunaikan ibadah umrah, hati berdebar-debar kerana dari segi teori mungkin diri sudah bersedia kerana mengikuti kursus sebelum berangkat ke tanah suci tetapi dari segi praktikal tetap menimbulkan rasa gusar. Rasanya, perasaan itu dikongsi jemaah yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Masjidil Haram dan melihat sendiri Kaabah di depan mata. Namun, perasaan itu mampu dikawal dan rombongan kami selesai menyempurnakan umrah pertama pada jam 6.35 petang, 27 Ogos 2006.

Walaupun mencium Hajar Aswad bukan rukun atau satu kemestian, namun saya bersyukur kerana diberi keizinan oleh Allah SWT untuk mencium batu suci yang mempunyai sejarah tersendiri bersama Rasulullah SAW itu pada jam 5.25 keesokan paginya.

Mungkin ada antara kita yang masih teragak-agak untuk menunaikan umrah, walaupun dalam hati ada perasaan untuk dijemput menjadi tetamu Allah SWT. Andai ada kemampuan, berniatlah secara istiqamah dan berdoa semoga dimakbulkan hasrat itu.

Tidak dinafikan perasaan bimbang akan ada bagi yang belum berpengalaman menunaikan ibadah umrah tetapi dengan adanya kursus, panduan serta bimbingan, semua akan dapat melakukannya dengan baik. Lagipun, sepanjang berada di Makkah, kita boleh menunaikan umrah bukan sekali sahaja tetapi banyak kali mengikut kemampuan diri. Ikuti kursus yang dianjurkan oleh agensi atau pihak lain sebagai persediaan.

Insya-Allah, dengan persediaan dilakukan kita mampu menunaikan ibadah umrah sebaiknya dan bagi yang sudah sampai ke sana, hati akan sentiasa rindu untuk kembali menjadi tetamu Allah SWT.

0 Komentar untuk " Agama: Doa ikhlas mudah dimakbulkan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ