Tugas diplomat tidak segetir terajui SUHAKAM - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tugas diplomat tidak segetir terajui SUHAKAM

Berdasarkan pengalaman sebagai diplomat antarabangsa, pelantikannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) adalah sesuatu yang tepat. Tokoh diplomat dimaksudkan ini ialah Tan Sri Hasmy Agam.

Sebelum menjadi Pengerusi SUHAKAM, Hasmy dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) pada tahun 2007.

Pengalaman dalam bidang diplomatik lebih 30 tahun ternyata banyak membantu beliau menerajui SUHAKAM iaitu badan bebas memantau dan menasihat kerajaan dalam isu membabitkan hak asasi manusia.

Secara kebetulan, apabila beliau memimpin SUHAKAM mulai tahun 2010, banyak isu hak asasi dan kebebasan manusia muncul ketika itu yang disuarakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang. Banyak perhimpunan dan demonstrasi diadakan NGO serta parti pembangkang ketika itu kononnya hendak menuntut pilihan raya yang lebih bersih, telus dan adil.

Pada masa sama, banyak NGO pro pembangkang yang bergabung menuntut agar isu kebebasan dan hak asasi manusia di Malaysia diberi tempat sewajarnya di negara ini dengan mengambil kira konvensyen antarabangsa. SUHAKAM ketika di bawah urus tadbirnya dilihat lebih aktif dan lantang bersuara dalam isu kebebasan dan hak asasi manusia sehingga ada pihak melemparkan pelbagai tuduhan terhadap suruhanjaya itu dan Pengerusinya.

Dalam hal ini, Hasmy mengakui hatinya sangat sedih dan terluka apabila dituduh sebagai orang Melayu yang tidak pedulikan kedaulatan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan apabila SUHAKAM lantang menggesa kerajaan lebih peka dalam isu membabitkan hak asasi manusia.

Peristiwa tentera AS mengebom kediaman Presiden Muammar Gaddafi yang berdekatan hotel didiami Hasmy sekeluarga antara detik yang tidak dapat dilupakan.

Tuduhan sentuh maruah, nama, integriti

Beliau menganggap tuduhan berkenaan amat serius kerana menyentuh maruah, nama dan integritinya sebagai seorang Melayu yang menjunjung tinggi agama Islam dalam kehidupan. Bagi Hasmy, dakwaan dilemparkan terhadapnya oleh NGO dari sebuah negeri di utara Semenanjung sebagai melampau dan amat pahit untuk ditelan.

"Tuduhan itu amat menyedihkan dan sukar untuk saya terima. Ia menuduh saya jahil mengenai Islam dan tidak peduli soal hukum agama. Ia memberi kesan yang amat mendalam kepada diri saya," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH.

Mengulas lanjut perkara itu, Hasmy berkata ia berlaku pada tahun 2013 selepas beliau mencadangkan kepada kerajaan agar menandatangani semua baki enam Konvensyen Hak Asasi Manusia menjelang tahun 2020.

Beliau mengemukakan cadangan itu atas kapasitinya sebagai Pengerusi SUHAKAM dan menganggap ia antara perkara yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan jika hendak menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

"Malangnya, saya dilabel sebagai orang Melayu Islam yang tidak kisah dengan isu yang timbul selepas itu jika konvensyen berkenaan ditandatangani seperti kemunculan gejala murtad dan hubungan seks bebas," katanya.

Hasmy pada mulanya cuba untuk bertenang dengan menganggap tuduhan itu hanya sebahagian daripada 'asam garam' berkhidmat sebagai Pengerusi SUHAKAM. Namun, apabila adik lelakinya menemuinya dan bertanya bagi mendapatkan kepastian mengenai pendiriannya terhadap tuduhan itu, barulah beliau sedar bahawa perkara itu bukan sesuatu yang boleh diabaikan begitu sahaja.

"Selepas tuduhan itu muncul, adik saya berjumpa dan bertanya untuk mendapat kepastian. Apabila ini berlaku, bagi saya ia adalah satu hal yang serius. Ia menyentuh maruah serta nama saya sebagai seorang Melayu yang beragama Islam," katanya.

Walaupun begitu, beliau reda dengan apa yang berlaku itu dan menjadikannya sebagai satu cabaran serta iktibar dalam memenuhi tanggungjawabnya sebagai Pengerusi SUHAKAM.

Pernah suara hasrat mahu bersara

Malah beliau mengakui selepas timbul isu berkenaan, beliau pernah menyuarakan hasrat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk melepaskan jawatan itu, tetapi dinasihatkan agar tidak berbuat demikian.

"Ketika menjadi diplomat dan duta pun saya tidak pernah menghadapi tuduhan seperti itu. Saya rasa ia sesuatu yang amat menyakitkan. Lagipun saya fikir diri saya sudah berusia dan perlu berehat. Maka saya fikir elok sahaja saya berundur, tetapi saya dinasihatkan untuk meneruskan tugas sebagai Pengerusi SUHAKAM sehingga hari ini," katanya.

Hasmy dilantik ke jawatan itu sejak tahun 2010 bagi menggantikan Pengerusi SUHAKAM yang pertama, Tan Sri Abu Talib Othman yang berkhidmat antara tahun 2008 hingga tahun 2010. Hasmy dilantik semula sebagai Pengerusi SUHAKAM untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 26 April 2013 sehingga 2016.

Anak kelahiran Melaka ini turut mendedahkan beliau tidak pernah terbayang dirinya akan menjadi seorang diplomat. Sebaliknya beliau bercita-cita menjadi wartawan kerana begitu minat dalam bidang penulisan dan kewartawanan.

Namun, cita-citanya itu terus 'tersimpan' sehingga ke hari ini selepas takdir menentukan masa depan beliau lebih menyerlah sebagai diplomat bagi mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Peristiwa tak dilupakan ketika jadi diplomat

Sementara itu, menceritakan pengalamannya sebagai diplomat, Hasmy berkata, serangan tentera Amerika Syarikat (AS) terhadap Libya pada 15 April 1986 adalah peristiwa yang paling tidak dapat dilupakannya. Mengimbas kejadian, beliau baharu sahaja beberapa hari berada di Libya untuk memulakan tugas secara rasmi sebagai duta di negara itu. Selepas seminggu menginap di hotel, seorang anak perempuannya merayu dan mendesaknya untuk keluar dari hotel kerana sudah jemu menikmati menu makanan yang sama di hotel berkenaan.

"Tiga hari selepas kami keluar dari hotel itu, tentera AS mengebom Tripoli dan kediaman Presiden yang menyebabkan anak perempuan Muammar Gaddafi terkorban. Saya terfikir, jika tidak kerana desakan anak saya mengajak keluar dari hotel kerana jemu makanan di hotel dan tinggal di kediaman khas untuk diplomat, barangkali saya dan keluarga sudah terkorban kerana hotel kami duduk terletak hampir dengan kediaman Presiden," katanya.

Menceritakan detik itu, gegaran akibat serangan bom itu boleh dirasai di kediamannya yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari lokasi serangan.

"Rumah dan lantai bergegar kuat sebanyak tiga kali akibat serangan bom itu. Ia memang satu pengalaman yang menggerunkan," katanya.


Hak kemanusiaan penting bagi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. - Foto hiasan
Lewat tandatangani konvensyen boleh jejas imej negara

Hasmy tetap menaruh harapan yang satu hari nanti Malaysia akan menandatangani baki enam konvensyen hak asasi antarabangsa walaupun menerima bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di pihak kerajaan atau pembangkang.

Menurut Hasmy, sebagai negara yang aktif dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti terpilih menjadi Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB serta tahun ini menjadi Pengerusi ASEAN, menjadi keperluan bagi Malaysia untuk menandatangani semua konvensyen hak asasi itu.

Elak dipersenda negara luar

"SUHAKAM bimbang jika Malaysia tidak mempercepatkan usaha menandatangani konvensyen berkenaan, ia akan menjejaskan imej Malaysia pada pandangan masyarakat dunia. Kita bimbang kelewatan ini akan membuka peluang kepada negara luar termasuk negara miskin atau yang sedang membangun untuk memperkecilkan Malaysia. Peranan, pandangan dan pendirian Malaysia terutama dalam isu hak asasi juga mungkin akan dipersenda negara luar.

"Ia boleh mencemar imej negara, menjatuhkan 'air muka' diplomat dan pemimpin negara nanti jika menyertai persidangan atau mesyuarat peringkat antarabangsa," katanya.

Sebagai permulaan kata Hasmy, Malaysia harus mulakan usaha menandatangani empat perjanjian terbabit iaitu Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR); Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESC).

Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman dan Konvensyen Menentang Penyeksaan, Hukuman Lain yang Zalim dan Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah.

Hasmy faham ada konvensyen terbabit bertentangan dengan perkara termaktub dalam Perlembagaan, tetapi kita percaya sesuatu boleh dilakukan di pihak kerajaan seperti menyemak, membuat pindaan atau pengubahsuaian terhadap perkara tertentu selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan," jelasnya.

Banyak bantahan agar SUHAKAM tak cabar Perlembagaan

"Banyak bantahan diterima daripada NGO agar SUHAKAM tidak mencabar Perlembagaan, tetapi isu sebenar ialah kerajaan sekarang tersepit di antara keperluan untuk menandatangani konvensyen itu atau berdepan dengan bantahan rakyat Malaysia sendiri.

Dalam hal ini, Hasmy berkata, Malaysia boleh merujuk Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) atau Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) yang diluluskan PBB bagi menyelaras serta menangani isu berbangkit berkaitan hak asasi manusia.

"Apa yang penting, keputusan yang dibuat itu tidak akan menjejaskan imej dan nama Malaysia serta pada masa sama, melonjakkan lagi nama negara di pentas antarabangsa," katanya.

0 Komentar untuk " Tugas diplomat tidak segetir terajui SUHAKAM "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ