Tiada jalan pintas ke syurga - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tiada jalan pintas ke syurga

ENTAH mengapa hati penulis terasa begitu remuk dan kecewa tatkala melihat paparan akhbar tempatan dan antarabangsa bagaimana begitu ramai anak gadis yang terpengaruh untuk ber’jihad’ bersama gerakan militan berlabel Islam.

Kumpulan militan yang menggunakan label ‘Negara Islam’ (IS) di Syria dan Iraq tampak semakin hebat menyebarkan propaganda melalui media sosial dengan memanfaatkan teknologi canggih masa kini.

Sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam secara khususnya, kita tentunya berasa sedih dan kecewa dengan kegiatan militan dan keganasan yang dikaitkan dengan nama Islam dewasa kini.

Perbuatan membunuh dan memenggal kepala oleh kelompok yang menamakan diri mereka sebagai pejuang negara Islam (IS) di Syria dan Iraq ketika ini sememangnya amat menjengkelkan.

Apatah lagi perbuatan tidak bertamadun ini dilakukan atas nama dan label Islam yang kononnya berpandukan syariat yang benar.

Persoalannya apakah benar perjuangan IS di Syria dan Iraq yang melibatkan pertempuran sesama Islam ketika ini dianggap suatu bentuk jihad yang suci? Apakah benar Islam membenarkan perbuatan berbentuk keganasan dan kemudaratan demi mencapai matlamat yang murni?

Apa yang pasti Jihad bukannya suatu bentuk perjuangan yang menghalalkan darah sesama umat Islam. Jihad juga tidak sesekali merelakan perbuatan dan perlakuan keji yang jelas menyimpang daripada prinsip Islam. Malah Islam tidak pernah menghalalkan cara walau sekudus mana pun objektif dan matlamat yang ingin direalisasikan.

Islam melarang keras membunuh orang yang tidak berdosa sama ada sesama Islam mahupun bukan Islam. Dalam kitab Fiqhul Manhaji disebutkan dengan jelas hukum membunuh orang yang tidak berdosa sama ada Islam mahupun bukan Islam dengan cara tidak benar dan mengikut syarak adalah haram. Malah ia dikategorikan sebagai dosa besar selepas dosa kufur.

ALLAH menegaskan: “Dan janganlah kamu membunuh seseorang manusia yang diharamkan oleh ALLAH untuk membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar” (Al-Isra’:33)

Hakikatnya ulama di peringkat antarabangsa mahupun dalam negara hampir sepakat mengatakan bahawa perjuangan IS jelas menyeleweng daripada ajaran Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-106 yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 telah membuat keputusan berikut:

1. Muzakarah berpandangan bahawa kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama ISIS atau ISIL di Syria adalah berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar mengikut hukum syarak.

2. Seruan jihad dan mati syahid yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana mereka menghalalkan darah sesama Islam.

3. Oleh itu, muzakarah menegaskan bahawa tindakan umat Islam dari Malaysia yang telah ataupun yang ingin berjuang atas nama jihad di bumi Syria bagi menyokong golongan ISIS adalah sia-sia kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka hukum syarak.

Sememangnya keterlibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti yang dianggap mereka sebagai ‘jihad’ di luar negara ketika ini perlu segera dibendung. Kesalahfahaman mengenai konsep jihad hingga membawa kepada perlakuan yang salah juga perlu segera dijernihkan.

Ini termasuklah dakwaan wujud konsep jihad baru dalam Islam iaitu ‘jihad al-nikah’ atau jihad seksual yang menghalalkan anak-anak gadis mahupun wanita janda untuk dikerahkan ke medan pertempuran bagi memuaskan nafsu seksual militan IS yang kononnya berjuang untuk menegakkan Islam.

Umat Islam juga perlu diberikan kefahaman yang jelas mengenai konsep jihad dan benar-benar menghayati fekah keutamaan. Fekah keutamaan atau fiqh awlawiyyat adalah salah satu disiplin ilmu penting bagi setiap umat Islam agar difahami yang mana perlu diutamakan dan yang mana dikemudiankan.

Dalam konteks jihad mahupun perjuangan memartabatkan Islam, masih banyak keutamaan lain yang lebih besar perlu dilangsaikan di dalam negara, terutama dalam membangunkan modal insan dengan pendidikan yang tuntas mengenai Islam sejati.

Fekah keutamaan juga mampu menjadikan umat Islam lebih matang dalam tindakan dan pendekatan dakwah. Ini termasuklah membezakan antara kemaslahatan yang perlu diutamakan berbanding kemudaratan yang mesti dihindari.

Sesungguhnya tiada jalan pintas ke syurga. Sekudus mana pun matlamat yang digariskan atau setulus mana pun perjuangan yang disasarkan, semuanya tidak bernilai mengikut pandangan Islam kiranya pendekatan diambil hanya menjurus kepada tercetusnya kemudaratan
dan kerosakan.

* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 Komentar untuk " Tiada jalan pintas ke syurga "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ