Sukar dapat tempat berniaga? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sukar dapat tempat berniaga?

KERAJAAN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta supaya menyediakan atau memberi ruang tapak berniaga kepada peniaga yang menggunakan karavan.

Pengasas AMS Jutawan Sdn Bhd, Abd Manan Sulaiman berkata, ini kerana peniaga karavan sering menghadapi masalah kesukaran mencari lokasi perniagaan sesuai yang dikunjungi orang ramai untuk membolehkan mereka berniaga.

“Setakat ini, peniaga seperti saya hanya dibenarkan berniaga di sekitar pasar tani di bawah kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan terlibat dalam acara yang besar anjuran PBT yang biasanya diadakan selama dua hingga tiga hari.

“Kadang kala, saya akan beroperasi berhampiran bangunan kerajaan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur pada waktu makan tengah hari iaitu antara jam 11 pagi dan  2.30 petang,” katanya yang menjual pelbagai jenis minuman jenama Kopi Manan menerusi kafe bergerak, sejak Mac tahun lalu.

Selain waktu itu, katanya, peniaga perlu mencari lokasi sendiri untuk berniaga.

“Bukan semua tempat kami boleh berniaga kerana kita perlu dapatkan kelulusan daripada pihak terlibat. Ia tidak begitu membantu peniaga yang ada karavan seperti kami.

“Kami memerlukan lokasi strategik yang sentiasa dikunjungi ramai orang untuk membolehkan perniagaan kami berkembang. Saya harap agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dapat membawa peniaga karavan dalam program promosi untuk bantu kami,” katanya.

Abd Manan berkata, dia memilih konsep perniagaan karavan kerana ia lebih fleksibel berbanding berniaga menggunakan khemah.

“Saya fikir, kalau hendak berniaga di pusat beli-belah yang dikunjungi ramai orang, tentu sewanya mahal. Modal saya tidak banyak, tetapi kalau hendak pergi ke pusat beli-belah yang tawarkan sewa murah dan tidak ramai orang, saya pula akan rugi.

“Jadi saya lihat konsep karavan lebih sesuai kerana kami boleh bergerak bebas dan boleh terus bergerak kepada pasaran iaitu orang ramai. Lebih ramai pelanggan boleh didekati dengan konsep perniagaan ini,” katanya.

Nampaknya, dalam usaha memajukan trend karavan ini, lokasi strategik menjadi salah satu faktor  utama mendorong  perkembangannya dan peniaga perlu bijak mencari lokasi itu.

0 Komentar untuk " Sukar dapat tempat berniaga? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ