Siapa Taliban dan Talibanisasi? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siapa Taliban dan Talibanisasi?

SIKIT-sikit Taliban… Siapa Taliban? Apa Talibanisasi? Inilah kerja ultra kiasu. Bila ada suara hendak melaksanakan cara hidup Islam, yang menjadi hak umat Islam, dikaitkan dengan Taliban. Kenapa larang orang nak buat baik? Kenapa tidak larang yang buat mungkar?

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mahu menjaga umat Islam di negerinya, apa kamu peduli? Jika tidak suka, duduk diam-diam. Majoriti umat Islam tinggal di sini. Mereka mahukannya, seperti umat Islam di Kelantan mahukan hudud. Lagipun bukan negeri kamu.

Tahniah, kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Sebagai rakyat, saya rasa amat bangga, duduk di bawah naungan Tuanku Sultan dan Menteri Besarnya. Pemimpin sebegini yang kita mahu, ada will-power.

Tindakan terhadap umat Islam yang berkelakuan tidak senonoh, membonceng tanpa ikatan keluarga, tidak solat Jumaat bagi lelaki dan berpakaian tidak sopan di tempat awam, termaktub dalam Seksyen 34 dan Seksyen 35 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Mereka yang bersalah, akan dikenakan tindakan yakni melalui proses tarbiah (kaunseling). Selepas itu, mereka terbabit perlu mengisi borang khas sebagai rekod, diikuti dengan tindakan susulan sekiranya ingkar. Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit.

Undang-undang ini bukan Talibanisasi, tetapi mahu memanusiakan manusia. Mereka yang hina sahaja membiarkan kemungkaran.

Saya ingin cadangkan supaya undang-undang ini turut merangkumi bukan Islam. Barulah adil. Tidak ada alasan berpakaian seksi dan berkelakuan tidak senonoh. Tidak ada agama yang membenarkannya.
 
Saya dikecam habis-habisan bila berkata berpakaian seksi menjadi salah satu sebab punca rogol. Hujah saya yang disandarkan kepada kajian Zig Ziglar (2000) di AS dan Menteri Goa, India (2014), tidak pula disiarkan.

Bagi mereka yang bukan rakyat Terengganu. Datang ke tempat orang ikutlah pepatah 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak'.

Tak nak ikut, jangan datang. Ramai lagi nak datang. Di Brunei, peraturan sebegini sudah lama dilaksanakan. Kita lihat pelancong terus datang berpusu-pusu. Kenapa? Mereka nak tahu cara hidup Islam, bukan tali barut Islam.

Tidak boleh bayangkan jika kita ikut apa yang telah kerajaan Brunei laksanakan baru-baru ini. Menurut Brudirect, Brunei mengetatkan undang-undang berkaitan sambutan Tahun Baharu Cina.

Antaranya dengan mengharamkan tarian Singa dekat dengan masa solat dan persembahan oleh orang bukan Cina. Tarian singa kini hanya dibenarkan 3 hari sahaja, antara jam 8-11.20 pagi dan 1.30-5.15 petang.

Persembahan itu hanya boleh diadakan di tokong, dewan sekolah rumah anggota-anggota persatuan Cina. Brunei turut melarang penggunaan mercun dan bunga api.

Menurut the Brunei Times, orang Islam perlu menghindari perayaan bukan Islam kerana ia boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) dan menjejaskan akidah. Langkah itu diambil selepas larangan hiasan Krismas di kompleks beli-belah.

Di negara kita, kebebasan apa lagi yang tidak diberikan? Boleh dikatakan tanpa had. Kalau ada kekangan pun, amat sedikit. Itu pun ada laporan mengatakan Malaysia berada dalam tangga ke-8 dalam dunia mengekang agama lain.

Sejak bila kerajaan lakukan? Berdasarkan bukti, bilangan rumah ibadat, NGO, media cetak (akhbar), stesen radio TV, IPT dan banyak lagi, jauh melebihi bilangan apa yang umat Islam ada.

Seolah-olah memperlihatkan Perkara 3(1), 8,10,11, 12 (berkaitan Islam), 152 (bahasa Melayu), 153 (hak istimewa) yang termaktub dalam Perlembagaan, tidak ada ertinya.

Identiti kita sudah tenggelam kerana menghormati hak orang lain, kononnya atas nama hak asasi manusia. Adakah semua ini dihargai? Pendek kata, berilah sebanyak mana pun, mereka tetap tidak akan berpuas hati, sehinggalah negara ini menjadi benar-benar sekular, serta tidak ada lagi identiti Melayu atau Islam.

Perhimpunan perpaduan Melayu yang dihadiri oleh PM baru-baru ini pun dikecam kerana menggalurkan agenda Melayu. Tidakkah PM ketika menghadiri perayaan di Batu Caves dan Tahun Baharu Cina, turut memberikan jaminan membantu dan menjaga hak bukan Islam?

Begitu juga peruntukan RM4 juta kepada 11 buah Sekolah Persendirian Cina oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Kenapa diam? Apabila mempertahankan hak Melayu dikatakan rasis. Apabila memberikan hak kepada mereka, itu hak, bukan rasis.

Masih teringat, ketika menjadi YDP, PIBG, SMK Bandar Baru Ampang, saya telah usahakan membeli 2 ekor ‘singa’ berjumlah RM10K, bagi membolehkan pelajar-pelajar Cina menjalankan aktiviti kokurikulumnya. Begitu juga peralatan gamelan berjumlah RM20K untuk pelajar Melayu.

Saya masih dituduh sebagai Taliban dan rasis. Berhati-hatilah.

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE, UniSZA

0 Komentar untuk " Siapa Taliban dan Talibanisasi? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ