Selebriti Agama: Penyerang digeruni pasukan lawan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Selebriti Agama: Penyerang digeruni pasukan lawan

Pernah dipulaukan penuntut Malaysia ketika belajar di Mesir akibat mewakili Pattani, Thailand dalam pertandingan bola sepak antara penuntut Asia Tenggara di negara itu adalah antara pengalaman yang terpahat dalam minda pendakwah bebas, Ustaz Che Nordin Che Ibrahim, 46.

Ketika itu, beliau yang juga penyerang digeruni pasukan lawan bermain mewakili Negara Gajah Putih itu kerana kebanyakan rakan sekolah rendahnya turut berada dalam kumpulan itu dan meminta beliau membantu kerana kekurangan ahli pasukan.

"Ketika di sekolah rendah, saya bersekolah di Sekolah Rendah T3 di Sungai Golok, di sebelah petang pula belajar agama di masjid. Di situlah saya mengenali ramai rakan berasal dari Pattani dan mereka juga melanjutkan pengajian di Mesir.


"Setiap tahun saya mewakili pasukan pelajar Malaysia sebagai penyerang utama, tetapi pada tahun ketiga, saya diminta rakan dari Pattani mewakili pasukan mereka. Selepas perlawanan tamat, saya dipulau atas alasan tidak setia tetapi atas semangat kesukanan ia hanya pada masa yang singkat. Di Mesir, kami bermain atas tanah yang berbatu kerikil, jika jatuh memang berdarah," katanya yang turut mewakili guru di Kuala Lumpur dalam perlawanan bola sepak antara guru kebangsaan.

Kejutan budaya Ketika melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar selepas menamatkan pengajian di Kolej Islam Sultan Zainal Abidin (KUSZA), anak jati Setiu, Terengganu ini turut berdepan dengan kejutan budaya masyarakat Arab yang gemar membuang air kecil di tepi tembok.

Sebelum melanjutkan pengajian di Mesir, beliau pernah mengikuti pengajian Test of English as a Foreign Language (TOEFL) di Institut Teknologi MARA (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA) untuk persediaan ke Amerika Syarikat. Bagaimanapun, beliau tidak menghabiskan pengajian kerana kejutan budaya.

"Maklumlah, dulu belajar sekolah Arab (Sekolah Menengah Agama Tok Jiring dan KUSZA), tiba-tiba masuk ITM, memang kejutan budaya dan merasakan tidak sesuai dengan jiwa saya.

"Tiba di Mesir, satu lagi kejutan budaya apabila melihat lelaki berjubah tanpa segan silu kencing di tembok. Ia adalah pemandangan biasa sepanjang berulang alik menaiki bas dari rumah sewa di pekan Hayyusabbi ke kampus. Rupanya, poket jubah mereka tidak berjahit dan mereka tidak perlu menaikkan jubah untuk membuang air.

"Kebanyakan mereka adalah golongan yang berpelajaran rendah dan dari kampung. Ini kerana kemudahan tandas di negara itu juga sangat kurang tidak seperti di Malaysia," katanya yang turut menggunakan kesempatan belajar di bumi anbia itu untuk melawat tempat menarik termasuk piramid, Tasik Qarun dan bandar Aswan.

Kena demam panas

Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika mula-mula tiba di Mesir apabila menghidap demam panas seminggu akibat perubahan cuaca dan pencemaran udara.

"Saya dipesan oleh senior supaya tidak keluar rumah jika rambut basah kerana keadaan berangin menyebabkan mudah terkena demam kerana kesan radioaktif akibat perang antara Mesir dan Israel pada 1974 masih ada. Jadi, siapa yang tidak tahan mudah terkena demam.

"Ketika itulah teringat pada keluarga terutama ibu, Che Minah Ibrahim (73) yang akan memasak bubur nasi jika saya sakit tetapi di perantauan, mujur ada senior, Ustaz Dr Rusydi Ismail membantu," katanya.

Sekembali dari Mesir, beliau berkhidmat sebagai guru agama dan bahasa Arab di Sekolah Menengah Petaling dan Sekolah Menengah Setiawangsa sebelum berhenti dan beralih bidang insurans dengan berkhidmat sebagai Pengurus Unit di Hong Leong Assurance selama lima tahun.

"Mendidik anak bangsa ini banyak cabaran terutama apabila ibu bapa sendiri sering menyalahkan pendidik yang mahu menegur dan membetulkan perangai anak mereka. Akhirnya pendidik lepas tangan dan disiplin pelajar makin teruk," katanya.

Nyaris disaman ibu bapa pelajar

Ceritanya, ketika menjadi guru disiplin beliau nyaris disaman ibu seorang pelajar lelaki yang tidak berpuas hati kerana beliau menegur dan menghukum anaknya kerana membawa pelajar perempuan bermalam di Melaka dan Port Dickson tanpa pengetahuan ibu bapa.

"Kedua-dua pelajar lelaki dan perempuan itu menaiki teksi ke Melaka selama tiga hari selepas memberitahu ibu bapa bahawa mereka ada lawatan sekolah, sedangkan lawatan sekolah hanya sehari. Ibu bapa kedua-dua pelajar datang ke sekolah kerana anak mereka tidak pulang.

"Saya terpaksa ke rumah flet rakan mereka dan mencari pelajar perempuan itu. Minggu berikutnya, pasangan pelajar itu sekali lagi ditangkap kerana bermalam di Port Dickson tanpa pengetahuan ibu bapa. Ibu pelajar lelaki itu tidak berpuas hati anaknya dihukum dan mengugut mahu menyaman saya, tetapi diredakan bapanya yang mengakui kesalahan anaknya," katanya.

Selama lima tahun berkhidmat dengan Hong Leong Assurance beliau banyak menghabiskan masa memberi ceramah mengenai produk yang ditawarkan. Selepas itu, beliau menjadi pendakwah sepenuh masa dengan tauliah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Bapa kepada empat cahaya mata antara 12 hingga 21 tahun ini turut mengadakan kelas pengajian agama di rumah dan pejabat selebriti terkenal negara termasuk Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Selain berdakwah, beliau turut berjinak dalam bidang penulisan dengan menghasilkan buku pertamanya berjudul Amalan 7 Sunnah Harian Rasulullah SAW. Che Nordin bakal mengendalikan kursus Smart Solat di surau Balai Berita, New Straits Times Press (NSTP), pada 29 Mac ini.

0 Komentar untuk " Selebriti Agama: Penyerang digeruni pasukan lawan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ