Sejarah manusia sebagai khalifah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sejarah manusia sebagai khalifah

Ayat Allah SWT yang disyarahkan setiap minggu dalam rancangan Ibrah oleh Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman di IKIMfm, jam 5.15 petang setiap Isnin, ternyata cerita yang terakam kemas dalam 30 juzuk ayat al-Quran mempunyai ibrah yang terlalu banyak.

Ramai ulama telah mengarang kitab tafsir dan digunakan sebagai rujukan hingga ke hari ini. Malah, kitab itu juga menjadi panduan sebahagian besar daripada kita untuk mengkaji dan mendalami ilmu tafsir bagi mendekatkan jiwa dengan al-Quran.

Tidak kira sama ada ditafsirkan oleh Imam Ibnu Kathir, Sayyid Qutb, Ibnu Jarir at-Tabari, Ibnu Abi Hatim, Imam Qurtubi atau Imam Ar-Razi, tafsir yang ditulis memberi pengajaran yang hebat dan luar biasa.

Meneliti ayat yang disandarkan Allah SWT dalam al-Quran, rancangan Ibrah telah mentafsirkan beberapa cerita dan ibrah di sebalik kisah beberapa nabi serta rasul diutuskan Allah SWT yang berdepan dengan pengikut mereka masing-masing.

Memahami episod penciptaan manusia

Program Ibrah kali ini berkongsi dialog mengenai Nabi Adam, manusia pertama yang diciptakan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah di muka bumi. Selain itu, kita mengetahui kisah pertemuan Nabi Adam dan Saidatina Hawa di Jabal Rahmah sebagai teladan bagi memahami episod penciptaan manusia.

Kisah Nabi Adam dalam al-Quran melalui beberapa peringkat. Peringkat pertama adalah dialog Allah SWT dengan malaikat. Kemudian, peringkat kedua dialog Allah SWT dengan Iblis dan ketiga, dialog antara Allah SWT dengan Nabi Adam, isterinya serta iblis, manakala terakhir adalah dialog anak Nabi Adam.

Dialog Allah dengan malaikat mengenai kejadian Nabi Adam diungkap melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya." (Surah al-Hijr, ayat 28)

Kemudian, setelah sempurna kejadian Nabi Adam, Allah SWT telah mengarahkan malaikat sujud kepada Nabi Adam. Firman-Nya yang bermaksud: "Kemudian apabila aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari ciptaan-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya." (Surah al-Hijr, ayat 29)

Malaikat tidak pernah membantah permintaan Allah SWT. Atas dasar itulah malaikat diberi keistimewaan sehingga diciptakan daripada cahaya yang amat bernilai. Malaikat sujud kepada Nabi Adam atas arahan Allah SWT tetapi Iblis mengingkari arahan-Nya.

Ini dikisahkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, dia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud." (Surah al-A'raaf, ayat 11)

Kejadian Nabi Adam adalah dimuliakan. Malah, pelantikan Nabi Adam sebagai khalifah juga adalah kehendak Allah SWT untuk menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Allah SWT berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Kemudian, malaikat menjawab dengan katanya: Adakah Engkau (Ya Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Lalu, Allah menjawab persoalan itu dengan menyatakan: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Kesempurnaan dijadikan Nabi Adam sebagai khalifah di muka bumi membawa maksud yang mendalam. Manusia seharusnya merenung sejauh mana mereka telah menjalankan amanah, tanggungjawab dan peranan sebagai khalifah.

Sering kali kita membicarakan persoalan berkenaan khalifah tetapi sejauh mana kita mengetahui tugas selaku khalifah? Apakah hanya mendapat gelaran dan jawatan sebagai seorang khalifah tetapi kita tidak mengetahui apa harus dilaksanakan oleh khalifah? Persoalan inilah menjadi asas dalam membentuk pemikiran sebenar mengenai hakikat kejadian.

Kemudian, Allah SWT telah mengajar nama benda kepada Nabi Adam, lalu Baginda menyebut nama itu seperti yang diajarkan malaikat kepadanya. "Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar." (Surah al-Baqarah, ayat 31)

Malaikat menjawab dengan kata mereka dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Maha Suci Engkau (Ya Allah) Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jugalah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Baqarah, ayat 32)

Rahsia di sebalik penciptaan

Setiap penciptaan itu mempunyai rahsia tersendiri. Penciptaan manusia daripada tanah, kemudian Allah SWT mengarahkan malaikat bersujud kepada Nabi Adam juga mempunyai sebab yang kita tidak ketahui. Dalam pensyariatan agama Islam yang suci ini, manusia tidak mampu menilai tujuan dan sebab setiap sesuatu ketetapan daripada Allah SWT itu.

Kita hanya mampu melaksanakan tanggungjawab dan tugas tanpa membantah kerana malaikat pun turut bersujud kepada Nabi Adam apabila diarahkan Allah SWT. Justeru, bagi menjadikan kita benar-benar memahami tujuan hidup dengan sebenarnya, kita perlu menjadikan kisah Nabi Adam dan malaikat sebagai teladan.

Usah bersandarkan perangai iblis yang mengingkari arahan Allah SWT untuk bersujud. Ini dinyatakan dengan bongkak oleh iblis seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku dari api, sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (Surah al-A'raaf, ayat 12)

Penilaian kejadian manusia bukanlah sebab kita dijadikan tetapi mengapa kita diperintahkan untuk beriman itu adalah lebih utama.

Penulis ialah penyampai dan penerbit rancangan radio IKIMfm

0 Komentar untuk " Sejarah manusia sebagai khalifah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ