Belajar ilmu kepimpinan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Belajar ilmu kepimpinan

TIDAK menafikan kepimpinan dalam kampus banyak mengubah personaliti seseorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), personaliti Student Aktivis minggu ini, Azim Rabbani Syed Sultan, 22, juga mengakui hal yang sama.

Azim Rabbani adalah Presiden Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Burhanuddin Helmi (KBH) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Membuka kisah penglibatan dalam kepimpinan, katanya, dia dipilih melalui temu duga yang dijalankan pihak Pentadbiran KBH yang berkaliber seperti Prof Madya Dr Kadderi Md Desa (Pengetua KBH), Dr Zalifah Md Kassim (Timbalan Pengetua KBH) dan      Felo-Felo kediaman KBH.

Menurutnya, cara hidup  aktif adalah faktor dirinya diterima sebagai pucuk pimpinan.

Siswa tahun tiga, program Sains Forensik ini berpendirian tinggi dalam kepimpinan. Semangat itu  diterap dalam  diri, dengan menjadikan tokoh terkemuka sebagai idola.

"Idola utama saya ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, Saya juga selalu melihat dan mengambil iktibar daripada kepimpinan pemimpin luar sebagai tanda aras untuk membentuk strategi tersendiri dalam kepimpinan yang sesuai dengan keadaan semasa," katanya.

Mengakui pada awalnya agak sukar menyesuaikan diri dalam dunia kepimpinan. Namun banyak perkara bermanfaat dipelajari.

Pengalaman berguna

"Banyak benda baru saya pelajari dalam dunia kepimpinan, keupayaan untuk mengawal keadaan dan berani berdepan dengan orang ramai adalah salah satu ilmu di luar bidang pengajian.  Ia ilmu yang berbeza berbanding sesi pengajian di kuliah.

"Jawatan seperti ini mengajar mahasiswa bijak atur masa dan rutin harian dengan efektif," katanya.

Tambahnya, penglibatan dalam badan kepimpinan juga membentuk jati diri lebih baik serta mengurangkan penglibatan siswa-siswi dalam aktiviti  tidak bermanfaat.

Akuinya, apabila memegang jawatan seperti ini, setiap saat adalah penting. Ini bukan bermakna menjadikan seseorang itu kelihatan sentiasa sibuk tetapi lebih menghargai masa kerana masa lapang  terhad berbanding rakan.

"Kita harus belajar hormat dan hargai masa seperti pepatah Arab yang menyebut, masa itu bagaikan pedang, kalau kita tidak berjaga-jaga menggunakannya, ia akan membawa parah kepada diri kita sendiri," katanya.

Sebagai presiden kolej, Azim juga tidak terkecuali menerima teguran dan kritikan terutama berkaitan kolej, namun dia mempunyai kaedah tersendiri menanganinya.

"Seperti biasa, kritikan dan teguran itu sesuatu yang wajib diterima seseorang pemimpin yang ingin maju. Kita perlu terima secara positif dan jadikan ia kaedah memperbaiki kekurangan.

"Perlu sedar, kita manusia biasa penuh kelemahan. Saya lebih terbuka dalam hal-hal sebegini. Sebelum membalas persoalan atau kritikan, saya akan rujuk kepada ahli jawatankuasa berkaitan atau mengambil kira pandangan mereka yang berpengalaman ," katanya.

Latih diri berdikari

Mengulas penglibatan siswa-siswi dalam kepimpinan tertinggi, Azim berkata, mereka harus melibatkan diri dalam kepimpinan.

Ujarnya, pada masa ini ia menjadi elemen penting untuk memupuk semangat berdikari serta bekerja secara berpasukan.

Katanya, selepas tamat pengajian, golongan ini akan melangkah ke alam kerjaya yang mencabar, kemahiran bekerja secara berpasukan penting memudahkan mereka menyesuaikan diri.

"Pada peringkat tersebut, soft skills yang terbina semasa di universiti membantu kita menempuh cabaran dan penyelesaian masalah yang kritikal secara berhemah," katanya.

Tambahnya, peringkat ini adalah masa sesuai untuk memantapkan diri.

"Siswa-siswi bukan sahaja perlu cemerlang akademik, ini kerana hampir 90 peratus pekerjaan tidak meletakkan penilaian berdasarkan akademik tetapi mengambil kira aspek penampilan, gaya berkomunikasi, pemikiran kritis dan lain-lain lagi," katanya.

Azim sedang melalui proses menimba ilmu dalam tugasan kepimpinan.

"Alhamdulillah, selama satu semester memegang jawatan, banyak input diperoleh. Saya lebih berkeyakinan berucap di khalayak, mengasah bidang kemahiran berkomunikasi untuk mendatangkan keyakinan pada orang ramai, gaya dan penampilan sewaktu bekerja, dan kemahiran menyelesaikan sesuatu masalah secara kritis.

Ujarnya, semakin hari, banyak perkara baru diperoleh, antaranya, teknik memimpin pasukan, memupuk diri terima teguran dan kritikan secara positif,  bertanggungjawab. Karisma itu pasti muncul apabila menjadi pemimpin.

Tegas Azim, siswa-siswi hari ini sememangnya disaran bergiat aktif dalam kampus, juga jika membabitkan politik kampus, namun perlu kena pada tempatnya.

0 Komentar untuk " Belajar ilmu kepimpinan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ