Mewah kerana hutang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mewah kerana hutang

DAVID (bukan nama sebenar), berusia 49 tahun merupakan bapa kepada tiga orang anak yang tinggal di tengah-tengah Kuala Lumpur bersama keluarganya.

Dia mempunyai jawatan yang tinggi di dalam sebuah syarikat multinasional dengan pendapatan melebihi RM100,000 setahun.

Kehidupannya mewah, mempunyai beberapa kereta mewah, tinggal di kondominium, kerap-kali melancong ke luar negara dan menghantar anak-anaknya ke sekolah persendirian yang mahal dan terkenal.

Jika dilihat pada zahirnya, kehidupan David sekeluarga adalah kehidupan yang menjadi idaman oleh ramai orang iaitu mempunyai gaya kehidupan yang hebat dan dikelilingi oleh barangan mewah.

Mereka menjangkakan dia seorang yang berharta, tetapi hakikatnya David sebenarnya mempunyai hutang kad kredit tertunggak mencecah RM 200,000.

Beberapa bulan lalu, David memohon pinjaman daripada salah sebuah institusi perbankan untuk membeli sebuah rumah di kawasan Lembah Klang untuk dijadikan harta tambahan.

Tetapi permohonannya ditolak atas alasan rekod pembayaran pinjaman yang tidak baik sebelum ini berdasarkan kelewatan membayar hutang selama beberapa bulan. Semua rekod ini terdapat dalam laporan kredit (CCRIS) dan diterimanya.

Pegawai bank tersebut menyarankan David untuk ke AKPK bagi mendapatkan nasihat dan bimbingan.

Beberapa hari kemudian, David pergi ke pejabat AKPK, kaunselor AKPK menasihatkan supaya berhenti dahulu menggunakan kad kredit untuk mengelakkan hutang kad kreditnya meningkat.

David mengakui bahawa sebelum ini dia tidak pernah menyemak penyata kad kreditnya dan hanya membayar amaun minimum 5 peratus setiap bulan bagi kesemua kad kreditnya.

Kaunselor AKPK membantu David melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk pembayaran balik pinjamannya.

David akhirnya sedar bahawa mempunyai pendapatan mewah tidak bermakna kita akan mempunyai jaminan kewangan yang kukuh kerana ianya sebenarnya bergantung kepada tahap ilmu pendidikan kewangan individu tersebut.

Walaupun dia mempunyai pendapatan lumayan, namun sikap berbelanja secara boros yang menjadi tabiat dan tidak mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang berhemat menyebabkan dia terjerumus ke dalam masalah keberhutangan.

“Justeru guna kad kredit anda secara bijak. Elak pembayaran lewat, tidak ambil pendahuluan tunai, bayar dengan jumlah penuh atau buat pembayaran mengikut jadual untuk mengelakkan caj faedah berlebihan."- AKPK


Kisah benar: Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK)

0 Komentar untuk " Mewah kerana hutang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ