Kepentingan amal amat diutamakan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kepentingan amal amat diutamakan

ISLAM bukan sekadar agama rohaniah yang menghubungkan manusia dengan Khaliq. Timbal-baliknya ALLAH turunkan al-Quran sebagai sumber pertunjuk.

Dengan akal yang dikurniakan manusia mampu berfikir. Dengan hati yang ALLAH beri manusia mampu berasa dan menimbang. Dengan daya yang ALLAH anugerahkan manusia boleh melakukan amal.

Al-Quran memberi pedoman kepada manusia mengenai “Illallazi na’amanu wa’amilus solihat – orang-orang beriman ialah beramal soleh” mengenai penting iman dimanifestasikan dengan amal.

Iman bukan sekadar percaya dan yakin. Tetapi keyakinan yang sifatnya ruhhiyyah dan rabbaniyyah menghubungkannya dengan amalan. Petunjuk al-Quran dan pedoman Sunnah Nabi dijadikan sumber ikutan. Tanpa sumber ikutan manusia akan kehilangan pedoman dan arah.

Rasulullah SAW diutus memiliki sifat manusiawi yang tinggi sebagai qudwah atau contoh. Manusia perlukan contoh yang baik untuk dijadikan sumber ikutan. Tanpa sumber ikutan yang merujuk kepada akhlak karimah manusia akan kehilangan arah.

ALLAH tidak memilih pokok dan haiwan sebagai pembawa risalah. Rasulullah SAW diberi peranan menyampaikan al-Quran yang tercermin dalam diri dan peribadinya.

Isterinya S.Aishah bila ditanya mengenai akhlak Nabi merujuk kepada “khuluq al-Quran” atau akhlak al-Quran. Dan Rasulullah SAW diutus kepada manusia adalah menyempurnakan akhlak mereka.

Al-Quran tidak hanya bersifat tekstual atau harfiah yang dibaca dan dihafaz untuk mendapat fadilat daripadanya. Al-Quran merujuk kepada kontekstualiti iaitu penciptaan dan kehidupan itu sendiri.

Pada diri manusia terdapat gelagat yang memerlukan pedoman. Pada pokok-pokok dan kejadian yang lain terdapat hikmah bagi yang melakukan tadabbur atau kajian,

Islam adalah agama dakwah dan tarbiah. Dakwah mengajak manusia memahami erti kebenaran Islam itu sendiri. Tarbiah ialah proses mendidik manusia tidak saja beriman dan bertakwa tetapi melakukan amal soleh.

Keindahan Islam tidak saja terlihat dengan amal ruhiyyah yang membentuk hati dan diri. Faktor dalam diri bila diterjemahkan dengan amal di luar diri memperlihatkan keindahan watak yang menjadi tarikan orang lain.

Bila amanah dalam pengurusan diri dan sistem terjadi, bila kejujuran dan komunikasi dan hubungan manusia berlaku, bila keadilan dalam melaksanakan taklif (amanah) menjadi realiti, bila kebijaksanaan dalam pengurusan maslahat mengambil tempat ia membayangkan pekerti Qurani yang mampu membimbing umat gambaran suatu akhlak karimah yang manusiawi.

Dewasa ini manusia berdepan dengan cabaran gelagat yang haiwani. Manusia sering hilang pertimbangan terhadap manusia lain kerana bersifat kebendaan dan individualistik, sombong dan takabbur kerana kekayaan dan pangkat, melakukan kezaliman kerana kuasa, hilang kualiti ihsan kerana ujub. Ia bukan gambaran watak yang fitrah dan banyak merosakkan gelagat manusia itu sendiri.

Manusia juga ditawarkan teori-teori ilmu dan pendidikan yang mekanistik sifatnya. Ruh kepada ilmu dan menghayati pendidikan tidak terjadi. Tumpuan lebih banyak kepada aspek kognitif (akal-fikir) tetapi tidak dipandu oleh faktor rohaniah yang membentuk watak.

Amal dalam erti kata yang luas adalah gambaran pekerti dan akhlak karimah yang sifatnya menyantuni. Islam amat mementingkan akhlak karimah dalam amalan.

Aqidah Islami membina sifat kehambaan yang tinggi dan membentuk manusia supaya bersifat taat, patuh, akur dan tunduk kepada titah-perintah ALLAH dan menjadi khalifah (pemimpin) yang baik umat bagi manusia dan sistem.

Ibadah sifatnya merangkumi hal-hal ruhiyyah dan amaliah hingga bila ia terjadi, terlihat watak Qurani pada diri dan amalan. Ibadah mampu membentuk watak ibadulllah dan ibadurrahman. Kualiti ini amat mustahak bagi umat manusia yang beriman dan bertakwa.

Syariat dalam Islam sifatnya memandu dan mempedoman. Ia membentuk pola-pola perlakuan manusia dalam ibadah dan juga dalam kehidupan. Sistem yang diatur dengan pedoman patuh-syariah membawa berkat dan manfaat untuk umat manusia.

Akhlak karimah adalah gambaran amalan yang mencerminkan jiwa soleh dan solehah yang amat dituntut berlaku pada hari ini. Watak-watak haiwani yang menjadikan nafsu-nafsi sebagai amalan banyak memusnahkan peribadi-peribadi manusia.

Manusia memerlukan pedoman kebenaran supaya berlaku adil kepada yang lain. Inilah asas perjuangan Islam yang perlu dihayati oleh pemeluknya supaya umat Islam menjadi umat contoh kepada seluruh umat manusia.

* Prof Dr Sidek Baba ialah pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Kepentingan amal amat diutamakan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ