Kempen hudud seperti GST - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kempen hudud seperti GST

PERTAMA kali melihat secara dekat hukuman hudud pancung kepala ke atas tiga pesalah tujuh tahun lepas sukar untuk dilupakan. Ketika itu, saya dan rakan dari Institute for Training of Imam and Preachers, Muslim World League, Saudi Arabia bercuti di Madinah al-Munawwarah.

Ketika bersantai di bilik hotel, saya mendengar penyampai berita mengumumkan esok (Jumaat), selepas solat Subuh dijalankan hukuman hudud ke atas tiga pesalah. Perasaan begitu teruja untuk menyaksikannya.Keesokannya, selepas solat Subuh di Masjid Nabawi, saya pergi ke dataran lapang, tempat hukuman bakal dijalankan. Saya awal sampai untuk mencari posisi terbaik supaya dapat melihat dengan jelas.

Hampir sejam menunggu, orang ramai mula membanjiri kawasan tersebut. Kemudian, kelihatan beberapa kereta polis dan ambulan sampai. Suasana senyap sunyi kini bertukar  sesak dan riuh rendah.

Tiga kepala dipancung

Tiga van masuk ke kawasan padang dengan kawalan polis. Tiga lelaki dibawa turun dari setiap van dan dibawa ke tengah padang. Masing-masing berdiri dengan jarak lebih kurang tiga meter. Pengumuman kesalahan dan keputusan mahkamah dibuat untuk makluman hadirin. Selepas itu, seorang syeikh berjumpa seorang demi seorang dan dilihat mereka mendengar penuh teliti sambil mengangguk-angguk, sebelum melutut sambil menundukkan kepala.

Tiba-tiba, pandangan saya tertumpu kepada seorang lelaki yang keluar dari sebuah kenderaan. Bertubuh besar, berjubah putih, berserban merah. Mukanya ditutup dan terselit sebilah pedang di pinggangnya. Lelaki itu menuju ke pesalah pertama. Lelaki itu mengeluarkan pedangnya. Dengan pantas, lelaki itu mengayunkan pedangnya ke atas leher pesalah pertama.

Darah memancut laju. Sempurnalah hukuman pertama. Lelaki itu terus masuk semula ke dalam kenderaan. Kemudian muncul petugas kedua sambil membawa sebilah pedang juga. Dia ditugaskan menjalankan hukuman ke atas pesalah kedua. Dengan satu hayunan kuat, pesalah kedua dipancung. Denyutan jantung saya semakin kuat apabila melihat kepala pesalah kedua tergolek di atas tanah. Darah merah bersimbah membasahi bumi. Pesalah ketiga pula menerima hukumannya. Dia tersungkur menyembah bumi, kembali menghadap Ilahi. Setelah selesai, pasukan perubatan memeriksa mayat setiap pesalah tersebut. Selepas disahkan mati, jenazah dibawa untuk disempurnakan. Saya pulang dengan seribu satu perasaan dan pengajaran.

Pas-Umno sepakat

Peristiwa ini kembali segar dalam ingatan apabila isu hudud kembali diperdebatkan. Kerajaan Kelantan di bawah pemerintahan Pas membentangkan semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah. Lembaran baru bermula dalam sejarah perjuangan Pas apabila ingin melaksanakan kanun jenayah syariah mendapat sokongan padu Adun Umno Kelantan.

Persepakatan Pas dan Umno dalam isu hudud kali ini mengukirkan senyuman ramai umat Islam. Mendengar ucapan Ketua Pembangkang Dun Kelantan, zahirnya menampakkan kesungguhan mereka untuk turut melihat hasrat ini menjadi kenyataan.

Tinggalkan persengketaan lama. Persepakatan baharu dibina demi agama.

Sebagai orang Islam yang mengaku beriman kepada ALLAH dan rasul-Nya, kita mesti menyokong hasrat murni ini. Hukum hudud bukanlah hukum ciptaan manusia, tapi ia diturunkan oleh ALLAH. Prinsip asas hukum ini termaktub dalam al-Quran dan sunnah. Tidak sepatutnya ada ragu dan sangsi. Jika ada, ia tanda iman kita perlu dibaiki. Al-Quran menyebutkan beberapa jenis hukuman terhadap jenayah tertentu seperti jenayah curi (Surah Al-Maidah: 38), hirabah (Surah Al-Maidah: 33), zina (Surah An-Nur: 3), dan qazf (Surah An-Nur: 4). Dalam hadis, disebutkan hukuman sebat bagi peminum arak, buang daerah bagi penzina dan rejam bagi penzina muhsan, juga bunuh bagi yang murtad. Hukuman ini secara umumnya dikategorikan sebagai hudud.

Walaupun sumber utama hukum hudud berasal daripada al-Quran dan sunnah, tetapi perincian dan kaedah perlaksanaannya sehingga ia boleh dijadikan sebagai satu kanun dalam sistem perundangan sesebuah negara tidak dinyatakan secara jelas dan lengkap. Justeru, aspek ini masih terbuka kepada ijtihad dan pentafsiran ulama. Oleh sebab itu, kita dapati adanya perbezaan pandangan kalangan tokoh ilmuwan Islam berkenaan perincian, pentafsiran dan kaedah perlaksanaannya.

Kita sama sekali tidak boleh mempertikaikan syariat hukum hudud kerana ia disebut jelas dalam al-Quran dan sunnah. Namun, dalam perincian dan kaedah perlaksanaannya, kita diberi ruang untuk memberi komen, maklum balas bahkan untuk tidak bersetuju jika ia dilihat tidak bertepatan dengan prinsip keadilan yang dikehendaki ALLAH dan rasul-Nya.

Namun, untuk memberi maklum balas dan kritikan, biarlah daripada mereka yang pakar dan berkeahlian dalam bidang ini bagi memelihara nama baik Islam bukan bertujuan menghina dan mempersendakan syariat atau memperlekehkan usaha pihak yang ingin melaksanakannya.

Sekiranya komen dan kritikan dibuat  mereka yang tidak berkeahlian, maka kesannya  berlakulah seperti mana yang dibuat seorang anak gadis Melayu Islam. Kata-katanya dalam video tersebut bukan sahaja mengguris perasaan ramai umat Islam, bahkan menimbulkan kemarahan. Ia dilihat bukan mengkritik kaedah perlaksanaan tetapi mempertikaikan syariat hukum hudud sendiri. Ini yang salah. Maka, tidak hairan jika respons yang beliau terima begitu dahsyat.

Lain kali, berfikir dahulu sebelum bercakap. Bertindaklah di atas landasan syariat dan kematangan fikiran.

Jika komen dan kritikan dilakukan mereka berkeahlian dan dibentangkan secara ilmiah, kesannya akan berbeza. Misalnya, enakmen hudud yang pernah dibentangkan oleh Kelantan dan Terengganu sebelum ini mendapat maklum balas dan kritikan daripada Prof Dr Hashim Kamali dalam tulisannya, Hukuman Undang-undang Islam: Satu Penelitian Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu. Beliau tidak mendapat cemuhan dan ancaman kerana tidak mempertikaikan syariat hudud, tetapi mengkritik pentafsiran dan kaedah perlaksanaannya sahaja. Bahkan beliau pakar dalam bidang ini.

Cabaran pelaksanaan

Apa pun, perjalanan ini masih panjang. Persepakatan antara Pas dan Umno Kelantan dilihat sebagai mendaki anak tangga pertama daripada ribuan anak tangga. Dalam suasana pada zaman ini, untuk melihat syariat hudud dapat direalisasikan, ia perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Sistem demokrasi berparlimen dan perundangan Malaysia perlu diambil kira. Persoalan yang boleh kita cernakan, adakah semua  ahli parlimen beragama Islam akan menyokong usul ini? Jika semua menyokong, adakah jumlahnya mencukupi untuk diluluskan? Jika tidak cukup, apakah ada ahli parlimen bukan beragama Islam yang menyokong? Atau ada cara lain untuk dilaksanakan tanpa melalui sistem parlimen?

Dari sudut lain, asas utama kepada undang-undang Islam ialah prinsip keadilan. Keadilan Islam tidak mengira pangkat, darjat, bangsa dan agama. Sekiranya hukum hudud dilaksanakan, undang-undang ini mesti terpakai kepada semua. Daripada pakcik makcik yang tinggal di desa sehinggalah kepada menteri dan golongan istana. Jika tidak, prinsip keadilan tidak dapat ditegakkan dan inilah ditegaskan Rasulullah SAW.

Sabda Baginda SAW: "Wahai manusia! Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi ALLAH! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya". (Riwayat Bukhari & Muslim)

Jika orang bawah mencuri dipotong tangan, orang atas merompak dibiarkan bersenang lenang, di manakah keadilan? Mampukah kita jadikan semua golongan tunduk patuh dan diadili di bawah undang-undang yang sama? Ini juga lagi satu cabaran.

Giatkan usaha penerangan

Proses menerang dan memberikan kefahaman perihal keindahan hukum hudud ini perlu dipergiatkan. Bukan sahaja kepada orang bukan Islam, tetapi untuk orang Islam sendiri yang salah faham. Kita tidak dapat nafikan, dengan segala keterbatasan yang ada, sumbangan Pas dalam usaha ini perlu dihargai.

Sekarang, episod baharu bermula. Pas dan Umno berganding bahu dalam usaha memahamkan masyarakat mengenai hukum hudud dan keadilan Islam. Kejujuran dan keikhlasan untuk menegakkan undang-undang Islam perlu diterjemahkan dengan tindakan. Umno yang memegang tampuk kerajaan sekarang, boleh memanfaatkan segala kementerian, agensi kerajaan, GLC, institusi pendidikan, saluran media, radio, televisyen termasuk artis untuk tujuan ini.

Mudah-mudahan dengan usaha yang serius dan tersusun, prinsip keadilan dan keindahan undang-undang Islam dapat difahami dan diterima semua masyarakat. Bak kata pepatah 'mahu seribu jalan, tidak mahu seribu alasan'. Seperti mana seribu jalan digunakan bagi menerangkan GST, alangkah baiknya jika seribu jalan juga digunakan bagi memberi kefahaman perihal keindahan syariat Islam.


Penulis ialah mantan pensyarah Fakulti Sains, Kolej Islam Antarabangsa. Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang ilmu wahyu UIAM

0 Komentar untuk " Kempen hudud seperti GST "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ