Ke arah dasar inklusif yang substantif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ke arah dasar inklusif yang substantif

PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka melancarkan Rancangan Malaysia ke Sebelas (2016-2020) – RMK11, pada Mei ini. Ramai berharap agar matlamat dan teras utamanya ialah inklusif, malahan inklusif yang substantif.

Inklusif telah sedia wujud dalam dasar-dasar pembangunan nasional sejak dulu. Dasar-dasar ini telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan ketidaksaksamaan dalam kalangan rakyat. Manakala Model Baru Ekonomi mempunyai matlamat khusus menyempurnakan pencapaian pertumbuhan yang saksama dan inklusif, di mana satu daripada tiga prinsipnya ialah inklusif.

Dalam konteks ini, saya dapati Laporan Pembangunan Manusia Malaysia (Malaysia Human Development Report 2013) - MHDR, terbitan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Malaysia, amat relevan.

MHDR ialah laporan pembangunan manusia yang pertama bagi Malaysia. Ia kajian bebas tentang penilaian dasar-dasar pembangunan selama ini dan pilihan-pilihan untuk masa depan.

Ia dibentuk dalam paradigma yang mengintegrasikan pertumbuhan inklusif sebagai teras analisis dan cadangan-cadangannya. Ia dihasilkan sebuah pasukan sarjana penyelidik tempatan yang terkemuka dengan diketuai Tan Sri Dr Kamal Salih.

Sumbangan paling penting MHDR ialah memilih “pertumbuhan inklusif” sebagai temanya dan mendefinisinya dengan bernas, iaitu: penyebaran manfaat pertumbuhan ekonomi dan perbelanjaan sosial yang saksama dalam kalangan semua golongan dan orang miskin; penjanaan aktif dan meluas peluang-peluang partisipasi ekonomi dan perlindungan bagi golongan yang memerlukan; dan partisipasi rakyat (dan CSO) dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar.

Kandungan MHDR terbahagi kepada tiga. Bahagian 1 menganalisis kerangka konsep dan dasar pertumbuhan, ketidakseimbangan dan mobiliti sosial. Bahagian 2 ialah tentang dimensi-dimensi inklusif dan eksklusif, ketidaksaksamaan pendapatan dan ketidakseimbangan lain, wanita dan minoriti Bumiputera.

Dan Bahagian 3 ialah tentang pertumbuhan inklusif dan pembangunan manusia dari sudut dimensi-dimensi institusional, isu-isu institusi dalam pertumbuhan inklusif, dan perundangan.

MHDR telah menemui beberapa dapatan yang amat signifikan dari segi penggubalan dasar-dasar masa depan. Contohnya, pertama, bahawa kini, kita berhadapan dengan cabaran-cabaran baru, seperti kadar kemiskinan yang tinggi dalam kalangan minoriti Bumiputera, elemen-elemen ketertinggalan di luar bandar dan bandar, ketidaksaksamaan aset yang meluas dan diskriminasi terhadap wanita.

Kedua, bahawa ketidaksaksamaan inter-etnik telah menurun sejak 1970, dan kini, ia hanya lebih kurang lima peratus sahaja. Ini bermakna bahawa masalah ketidaksaksamaan utama hari ini ialah intra-etnik (95 peratus).

Dan ketiga, MHDR mencadangkan kerangka konseptual yang baru, yang digelar Paradigma Baru Ekonomi, yang melihat kuasa belia isi rumah sebagai lebih mustahak daripada sekadar pendapatan isi rumah.

Bagi mencapai matlamat pertumbuhan inklusif dan kualiti hidup yang lebih baik bagi semua rakyat, MHDR menggariskan beberapa cadangan dasar yang konkrit, termasuk reformasi dasar-dasar tertentu.

Antaranya, dasar pertumbuhan, dasar fiskal dan cukai, dasar pasaran buruh, dasar Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan sektor informal, dasar-dasar sosial, dan perundangan dan institusi.

Pada saya, kekuatan MHDR ialah ia berkata benar, membuat penilaian yang jujur dan berani mencadangkan dasar-dasar yang sukar. Contohnya, mencatatkan peranan CSO dalam laporan bukanlah perkara baharu. Tetapi, apa yang baru di sini ialah MHDR benar-benar mengiktiraf peranan CSO dan meletakkannya dalam konteks makna dan proses inklusif.

Apa yang radikal ialah mempunyai bab khusus tentang perundangan. Di sini wujud peluang untuk kita melaksanakan undang-undang, bukan sebagai doktrin yang rigid, tetapi sebagai asas masyarakat yang inklusif, governans baik dan penyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi.

Semoga RMK11 yang inklusif dapat meletakkan kesaksamaan bukan sahaja pada tahap “kesaksamaan formal”, tetapi menjadi “kesaksamaan substantif”, yang berasaskan nilai-nilai seperti maruah manusiawi, perkongsian adil dan partisipasi saksama.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global dan aktif di twitter: @saifuddinabd
0 Komentar untuk " Ke arah dasar inklusif yang substantif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ