Bina madrasah untuk tahfiz perempuan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bina madrasah untuk tahfiz perempuan

Bertemu dengan mualaf warga Perancis yang mahu menjadi seperti Maryam, ibu kepada Nabi Isa as dalam Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis, tahun lalu, adalah antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan pendakwah, Ustazah Asni Abu Mansur, 40, sepanjang berada di masjid yang penuh keajaiban dan keindahan itu.

Ceritanya, wanita Perancis yang dikenali sebagai Salima itu menziarahi masjid ketiga penting dalam sejarah Islam itu selama tiga tahun berturutturut kerana mahu mendalami Islam dan mengamalkannya tanpa sebarang sekatan seperti di negaranya.

"Wanita itu menceritakan pengalamannya yang hilang beg pakaian sebaik tiba di kota Baitulmaqdis dan yang hanya tinggal dokumen perjalanan, baju yang dipakai dan sehelai lagi dalam beg kecil serta telekung. Pada tahun itu, Salima nekad untuk tidur di masjid dan tidak menempah hotel. "Memang benar, apa yang diniatkan dan beliau dapat merasainya. Beliau berniat untuk merasai kehidupan seperti Maryam dan beliau dapat merasainya dengan serba kekurangan.

Banyak saya belajar daripada wanita itu. Bagaimana beliau sanggup untuk berada dalam kekurangan dan lebih bersyukur dengan semua nikmat Allah. Malah, beliau langsung tidak gentar berada di negara asing itu kerana katanya semua warga Aqsa itu adalah saudara seIslamnya," katanya.

Tersentuh semangat jihad

Akuinya, beliau turut tersentuh dengan semangat jihad wanita Palestin yang tidak sanggup menyerahkan bayi untuk dibela orang lain walaupun mereka sudah hilang tempat bergantung. "Saya pernah bergurau mahu meminta bayi wanita Palestin untuk dibawa balik ke Malaysia dan dijadikan anak angkat. Jawapannya kepada saya, dia tidak mahu menyerahkan bayi kepada saya kerana biar pun dalam serba kekurangan tetapi cita-cita mereka mahu anak mereka menjadi syahid. Ini yang menyentap hati saya," katanya.

Menyingkap pembabitan Asni yang juga ibu kepada empat cahaya mata berusia di antara 10 dan 16 tahun ini dalam dakwah menerusi media, beliau berkata, semuanya bermula selepas beliau menyertai uji bakat untuk pengacara segmen agama di RTM. "Selepas menamatkan pengajian di Darul Quran, saya berkahwin dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya bertekad mahu menyusukan semua anak sehingga cukup tempoh. Selepas melahirkan anak ketiga, saya mengikuti uji bakat pengacara agama dan ketika dalam sesi uji bakat, juri meminta saya memberikan ceramah. "Apa lagi yang saya ada pengetahuan dan amali mengenai penyusuan bayi. Maka, dengan lancarnya saya memberikan syarahan dan turut membaca Surah al-Baqarah ayat 233 mengenai penyusuan ibu yang digariskan Islam. Rupa-rupanya, ia berjaya menambat hati juri dan saya ditawarkan sebagai pengacara program agama Fikir-Fikir bersiaran jam 6.30 pagi," katanya yang juga anak jati FELDA Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, Melaka ini turut aktif dalam bidang kesenian termasuk kumpulan kompang di sekolahnya. Selain menggunakan media sebagai medium dakwahnya, Asni turut menggunakan pendekatan turun padang bergaul dengan golongan remaja bermasalah menerusi kem motivasi al-Quran.

Guna pendekatan

Antara kes yang paling tidak dapat dilupakan apabila berdepan dengan remaja lelaki yang bermasalah berusia 15 tahun yang mengaku pernah murtad dan berzina dengan 20 perempuan. "Saya menggunakan pendekatan cuba berkawan dengan remaja bermasalah dan memberi kepercayaan kepada mereka. Saya ajak makan roti canai, memancing dan membeli barang bagi keperluan kem. Remaja itu mengaku beliau tidak pernah dilayan seperti itu. Dengan remaja ini kita tidak boleh beri ceramah, bila bergaul dengan mereka kita bukan menjadi ustazah tetapi rakan mereka.

"Akhirnya remaja bermasalah tadi mula belajar al-Quran dari bawah. Satu hari, sebelum kem sebulan itu berakhir, fasilitator terserempak dengan remaja berkenaan masih berjaga dalam selimut sambil mengaji merangkak-rangkak dan menangis menggunakan lampu suluh pada awal pagi. Saya dengar selepas kem itu, beliau masuk ke madrasah. Hebatnya hidayah yang dikurniakan Allah kerana al-Quran yang dibaca remaja ini," katanya yang juga seorang hafizah.

Bukan itu saja, katanya, lazimnya jika berdepan dengan kumpulan pelajar merokok yang menyertai kem motivasi kendaliannya, beliau tidak bertindak merampas rokok mereka tetapi meminta kerjasama remaja berkenaan supaya merokok mengikut masa yang ditetapkan dan tidak merokok di hadapan pelajar lain. "Saya kumpulkan remaja yang merokok dan meminta mereka menyerahkan rokok dan merekodkannya.

Sebaik tiba waktu yang dibenarkan merokok mereka boleh mengambil rokok mereka. Pada mulanya mereka terkejut dengan tindakan saya, tetapi lama kelamaan mereka mahu meluahkan masalah yang terpendam dan mahu berubah menjadi lebih baik," katanya.

Sentiasa mencari rujukan

Saban hari, katanya, pasti ada saja pendengar ceramahnya atau orang ramai yang akan bertanyakan persoalan mengenai agama. Bagaimanapun, katanya, jika beliau tidak pasti dengan jawapannya, beliau tidak akan menjawabnya dan mencari rujukan kepada yang lebih arif. "Tugas pendakwah bukan saja hanya memberikan kuliah tetapi kita sendiri perlu sentiasa mencari ilmu dan mengikuti kuliah agama," katanya.

Ceritanya, beliau pernah didatangi mualaf wanita berusia 40an yang mengadu tidak tahu membaca al-Quran dan setiap hari amalannya hanya melihat helaian kitab suci itu. "Wanita itu mengaku beliau sudah puas belajar tetapi masih tidak mampu membaca kalam suci ini. Hebatnya, dia istiqamah setiap malam akan bangun untuk membuka al-Quran dan melihatnya. Saya suruh beliau meneruskan amalannya kerana dengan melihat al-Quran pun Allah memberi rahmat-Nya," katanya.

Pada tahun 2012, Asni menubuhkan Madrasah Hafizah Tamam yang juga sekolah tahfiz bagi pelajar wanita di Bangi, Selangor yang kini mempunyai pelajar seramai 40 orang berusia antara 10 hingga 17 tahun. "Ulama terdahulu apabila meninggal dunia lazimnya meninggalkan tiga perkara iaitu perigi yakni selagi mana orang berwuduk dan solat selagi itu jariahnya mengalir, kitab tulisan mereka dan madrasah pengajian. Justeru, saya amat berharap madrasah ini akan menjadi jariah saya. Mudah-mudahan Allah pandang saya yang banyak dosa dan kelemahan ini untuk menjadikan asbab jariah untuk meraih syurga-Nya," katanya.

0 Komentar untuk " Bina madrasah untuk tahfiz perempuan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ