Al-Quran asas petunjuk nyata, ghaib - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Al-Quran asas petunjuk nyata, ghaib

AL-QURAN ditanzilkan kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada umat manusia. Manusia perlu memahami kewujudan perkara yang nyata dan kewujudan yang tidak nyata (al-ghaib). Kedua-duanya mempunyai hubungan yang amat erat kerana alam ini tidak terjadi dengan sendiri seperti manusia itu juga diciptakan. Al-Quran terkandung ilmu yang sifatnya memberi pertunjuk.

Hal-hal yang nyata dalam alam ini mungkin boleh dikaji oleh manusia. Itu pun dalam keterbatasannya disebabkan upaya akal manusia tidak segala-gala. Manusia yang bergantung kepada akal atau rasional semata-mata hanya mendapat jawapan yang terbatas mengenai hakikat kewujudan alam ini.

Al-Quran terkandung pertunjuk hal-hal yang nyata dan hal-hal yang ghaib. Faktor naqliah (wahyu) apabila dihubungkan dengan faktor akliah (pemikiran) sifatnya mempedoman mengenai hakikat Penciptaan, kewujudan alam dengan segala hikmah dan rahmahnya.

Al-Quran menjadi prasyarat dalam kalangan ulama dan ilmuwan Islam mentafsir dan mengkajinya kerana ia tidak saja terkandung persoalan akidah dan ibadah tetapi juga isu syariah dan akhlak yang menjadi asas penting setiap penganut Islam.

Al-Quran tidak saja bersifat tekstual tetapi juga bersifat kontekstual dan terhubung dengan alam ini dan juga kehidupan manusia. ALLAH mengurniakan manusia akal supaya upaya berfikir manusia terpandu dan terpedoman. Al-Quran terkandung pertunjuk yang menghubungkan ilmu dan kebenaran supaya manusia memahami hakikat kejadian dan penciptaan.

Ia menjadi faktor penting yang menyebabkan lahirnya tamadun Islam suatu ketika dulu. Tamadun itu mampu memberi pencerahan di Barat. Barat hilang pertunjuk bila Kristianiti dilihat bercanggah dengan sains. Islam menerusi al-Quran terkandung keserasian dengan sains dan menyebabkan tamadun lahir.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang memberi pedoman kepada tradisi sains dan teknologi. Islam dan sains bergerak seiring kerana sifat Islam tidak saja sebagai suatu sistem kepercayaan tetapi juga suatu cara hidup.

Prof Dr Maurice Bucaille dari Perancis memeluk Islam kerana yakin dengan al-Quran sebagai sumber ilmu yang benar dan tidak bercanggah dengan kajian sains. Pakar kejaninan (embriologi) ini melihat kejadian manusia dalam al-Quran amat menepati kajian saintifik moden.

Konsep alaqa dan nutfah dalam al-Quran dalam proses kejaninan adalah benar. Ia bukan kata-kata Nabi Muhammad kerana pada zamannya Baginda tidak terdedah dengan pendidikan sains tetapi datangnya daripada ALLAH yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk.

Beliau telah mengarang sebuah buku yang menarik untuk diteliti iaitu Al-Quran, Bible dan Sains Moden yang memberi pedoman mengenai hubungan al-Quran dan Sains Moden dan menjadi faktor utama kembalinya beliau kepada fitrah.

Seorang lagi tokoh astrofizik Perancis menerima kebenaran daripada al-Quran dan menjadi Muslim apabila mendapati konsep kosmos yang menjadi fokus kajian dan kepakarannya. Dr Bruno “Abdul Haqq” Guiderdoni menyatakan dalam suatu wawancara, “kita benar-benar melihat keindahan yang mempesona dalam keteraturan yang menguasai kosmos ini. Sebagai orang beriman, saya berasa ALLAHlah yang menciptakan kosmos. Keindahan dan keharmonian alam semesta adalah salah satu tanda ALLAH. Dengan demikian, menjelajahi kosmos adalah salah satu cara beribadah kepada Tuhan" (Membaca Alam Menemukan Tuhan).

Sarjana dan ilmuwan dari Barat ini adalah beberapa contoh daripada ramai ilmuwan Barat yang telah kembali kepada agama fitrah berasaskan kebenaran al-Quran. Suatu ketika dulu Islam agak asing di Eropah tetapi kini ia sedang berkembang seimbang dengan kecenderungan manusia mencari kebenaran yang hakiki.

Dalam usaha manusia Barat meneroka makna kehidupan yang sebenar Islam menawarkan kepada mereka jawapan mengenai kemelut manusia kini. Al-Quran dan as Sunnah tetap unggul menjadi rujukan manusia yang sifatnya dinamik berubah tetapi perubahan berasaskan etika dan akhlak menjadi keutamaan dalam Islam.

Keruntuhan akhlak yang semakin parah di Barat, ilmu yang diteroka sifatnya mekanistik dan pendidikan yang kehilangan roh, pola kekeluargaan yang semakin rapuh, sistem sosial yang lepas bebas daripada pedoman agama menyebabkan Islam semakin diterima. Ia menyebabkan Islamafobia terjadi. Takdirnya Islam berkembang di Barat tidak mustahil Eropah boleh menjadi negara Islam.

Tradisi saintifik yang berkembang di Eropah boleh bertukar menjadi tradisi tadabbur yang menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama menghasilkan ululalbab.

* Prof Dr Sidek Baba ialah pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Al-Quran asas petunjuk nyata, ghaib "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ