Agama: Utama ihsan dalam pendidikan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Utama ihsan dalam pendidikan

Setiap ahli keluarga perlu memahami konsep ihsan dalam memainkan peranan bagi memastikan rumah tangga harmoni dan bahagia. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan kepada anak dalam menerapkan konsep ihsan. Elak mencari kesalahan dan berkeluh kesah, sebaliknya cuba memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Sekiranya kita berusaha untuk berubah ke arah kebaikan, maka ahli keluarga kita juga akan terdorong untuk sama berubah. Antara maksud ihsan ialah melakukan sesuatu perkara dengan sebaik mungkin dan penuh keikhlasan.

Bagaimanakah sesuatu perkara itu dapat dikenal pasti sebagai perkara terbaik untuk dilakukan bergantung kepada niat dan keazaman.

Ustazah Norhafizah Musa mengambil contoh bagaimana seorang isteri yang berniat untuk memasak makanan yang baik untuk seluruh ahli keluarganya untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

Setiap perkara yang dilakukan perlulah tidak melanggar syariat agama walaupun niat pada permulaannya adalah baik dan selepas melakukan perkara tersebut sentiasa muhasabah untuk memperbaiki diri, bukan untuk mendapat kepujian atau berbangga diri.

Tanam sifat rendah diri

Fahaman melakukan sesuatu perkara dengan cara terbaik perlu diakhiri dengan jiwa yang tawaduk terhadap Allah SWT. Tanamkan rasa rendah diri terhadap Allah dan sentiasa memohon ampun daripada-Nya dengan segala perkara yang dilakukan.

Ihsan juga bermaksud keupayaan dan kemampuan meletakkan diri pada tempat orang lain. Norhafizah ketika bersiaran di IKIMfm dalam rancangan Usrati, jam 5 petang Rabu mengambil contoh bagaimana anak cuba mencuri perhatian ibu bapa dengan cara memberontak.

Dengan nilai ihsan ini, ibu bapa yang ada rasa empati terhadap anak akan cuba sedaya upaya memahami kehendak mereka dengan menolong mereka menguruskan emosi. Sentuhan, belaian dan pelukan akan menjadikan anak terasa diri mereka lebih disayangi. Ibu bapa juga perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik terhadap anak bagi mengelakkan jurang perhubungan di antara ibu bapa dengan anak.

Ibu bapa yang meletakkan diri pada tempat anak tidak akan memarahi anak yang memberontak kerana ingin mendapatkan perhatian ibu bapa, sebaliknya merasa belas kasihan dan lebih memahami kehendak mereka.

Nilai ihsan bukan sesuatu yang mudah untuk diterapkan di dalam rumah tangga kerana ia memerlukan pemahaman dari dalam diri dan membabitkan banyak faktor.

Antara faktor yang boleh menjayakan penerapan nilai ihsan ialah kasih sayang. Ibn Qayyim menceritakan seorang sahabat melihat sebuah rumah yang pintunya tertutup. Tiba-tiba pintu itu terbuka dan beliau melihat seorang ibu sedang menolak anaknya lalu terjatuh. Ibu itu memarahi anaknya kerana tidak mendengar kata-katanya sambil menghalaunya dari rumah dan seterusnya menutup kembali pintu. Anak itu menangis di hadapan pintu sambil mengetuknya, namun ibunya tidak membuka pintu sehinggalah anaknya terlelap di hadapan pintu.

Akhirnya ibunya membuka pintu dan memeluk anaknya sambil memberi nasihat dengan nada yang lembut dan penuh kasih sayang. Ibunya mengatakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah untuk mendidik dan mengajar anaknya untuk menjadi anak yang lebih baik. Inilah erti kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu kepada anaknya.

Mungkin tidak banyak ibu bapa yang menunjukkan kasih sayang seperti yang ditunjukkan oleh ibu itu, namun sebagai ibu bapa seharusnya memohon doa kepada Allah SWT untuk melimpahkan rahmat di dalam diri.

Curah kasih sayang dalam keluarga

Dengan ini mudah bagi ibu bapa untuk mencurahkan kasih sayang dan melakukan kebaikan terhadap ahli keluarga, terutama anak.

Norhafizah memberikan contoh kisah seorang lelaki yang berbakti kepada ibunya. Suatu hari beliau berjumpa dengan Saidina Umar lalu bertanya, "Adakah perbuatan aku ini sudah boleh dianggap sebagai cukup membalas budi dan jasa ibuku terhadapku? Adakah berbuat baik terhadap ibuku itu sudah dianggap sebagai anak yang berbudi dan mengenang jasa?" Saidina Umar menjawab, "Tidak sama sekali!" Lelaki itu terkejut dan bertanya kembali, "Kenapakah perbuatan aku itu tidak dianggap sebagai berbudi?" Saidina Umar menjawab, "Engkau semasa menguruskan ibumu engkau mengharapkan kematiannya tetapi ibumu semasa menguruskanmu mengharapkan kehidupanmu akan menjadi lebih sempurna.

Kasih sayang seorang ibu terhadap anak tidak akan sama dengan kasih sayang anak terhadap ibu. Kasih sayang ibu adalah penuh dengan keikhlasan dan hanya mengharapkan kebaikan untuk anak tanpa mengharap balasan. Hati seorang ibu sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan seharusnya anak menghargai kasih sayang ini.

Apabila seorang ibu memarahi anak, ia bukanlah dari hati tetapi hanya untuk memberi tunjuk ajar atau bersifat sementara saja demi mendidik mereka. Hati ibu sentiasa berfikir untuk memberikan kasih sayang kepada anak bukan atas sebab tanggungjawab tetapi kerana untuk memelihara anak dengan limpahan kasih sayang.

Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

0 Komentar untuk " Agama: Utama ihsan dalam pendidikan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ