Usahawan Bumiputera perlu rebut potensi AEC - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Usahawan Bumiputera perlu rebut potensi AEC

USAHAWAN Bumiputera berdaya saing mampu meraih potensi AEC. - Foto hiasan

Perlu diingat, Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) bukan sekadar Forum silaturahim antara negara-negara ASEAN, tetapi juga sebagai platform persaingan ekonomi.

Jika dibandingkan dengan usahawan beberapa negara ASEAN lain seperti Thailand, Indonesia dan Singapura, kita dapati usahawan Malaysia masih kurang bersedia menghadapinya. Ini terserlah daripada seminar atau forum mengenai kepentingan AEC yang dilaksanakan sama ada oleh agensi kerajaan mahupun pertubuhan bukan perniagaan dalam kalangan usahawan tempatan.

Bagi usahawan Bumiputera pula, setiap kali diajukan pertanyaan berkenaan persediaan untuk menghadapi AEC ini, jawapan yang sering diperoleh ialah 'tidak bersedia dan tidak mampu bersaing'. Lebih menyedihkan tidak sedikit yang menjawab mereka tidak tahu apa itu AEC.

Baru-baru ini, Penaung Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPM), Datuk Seri Raja Nong Chik menjelaskan, pada masa ini Usahawan Industri Kecil Sederhana Bumiputera masih belum bersedia menghadapi AEC. Isu yang diutarakan adalah kekangan dari segi peningkatan kos pengeluaran.

Persoalan sekarang bila agaknya usahawan Bumiputera akan bersedia? Apakah wujud satu jawapan tepat bila tarikh usahawan Bumiputera bersedia? Namun yang nyata tahun ini adalah tahun pelaksanaan AEC. Dengan lain perkataan, hendak atau tidak, usahawan Bumiputera dan seluruh usahawan negara ASEAN akan berhadapan pelaksanaannya.

Saiz pasaran menguntungkan

Dengan lebih 620 juta orang menetap di rantau ini atau 10 peratus daripada komuniti dunia, AEC mampu memacu kuasa ASEAN untuk membentuk pasaran ekonomi ketiga terbesar dunia. Pasaran dimiliki ini berupaya mengatasi negara kuasa besar serta negara kesatuan lain termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

Jika ASEAN adalah sebuah negara, ia akan menjadi pasaran ekonomi ketujuh terbesar di dunia dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) dijangkakan mencecah AS$4 trilion (RM14.4 trilion) menjelang 2020. Kesepaduan ASEAN dari segi ekonomi akan memberi manfaat besar kepada usahawan.

Persoalan sekarang apakah strategi atau langkah yang harus diambil oleh usahawan Bumiputera untuk meraih potensi yang besar itu? Juga timbul persoalan apakah usahawan Bumiputera kita berdaya saing menghadapi usahawan negara ASEAN lain yang akan bermain di pentas yang sama?

Segala ini harus dijawab dan diaturkan strategi dengan pantas dan segera. Hari ini bukan masanya lagi untuk usahawan Bumiputera leka dengan tradisi budaya 'tunggu dan lihat'. Jika inilah yang masih mencorakkan budaya keusahawanan usahawan Bumiputera, maka pastinya AEC mungkin adalah tsunami bagi perniagaan usahawan Bumiputera.


JENAMA Upin Ipin contoh terbaik diteladani usahawan Bumiputera.

Atasi kelemahan usahawan Bumiputera

Kelemahan utama yang sering dihadapi oleh usahawan Bumiputera ialah tiada kekuatan untuk memasarkan barangan mereka terus tanpa melalui pihak ketiga (orang tengah). Hal ini berlaku kerana mereka kekurangan maklumat lengkap berkenaan membeli atau pemborong dan kelemahan menguasai ilmu ICT, e-dagang, k-ekonomi dan yang bersangkutan.

Bagi membantu usahawan negara, MATRADE telah merangka program yang dinamakan Go Eksport yang dilihat mampu mewujudkan lebih ramai usahawan Bumiputera sebagai pengeksport. Langkah ini juga amat bertepatan bagi meraih potensi AEC.

Melihat potensi AEC, usahawan Bumiputera harus bertukar cara berfikir dan cara strategi berniaga. Pentas AEC adalah satu kemewahan pasaran yang boleh dimanfaatkan. Penting sekali, usahawan Bumiputera harus memiliki pelan perancangan strategik pasaran ASEAN untuk mencipta keuntungan daripada keterbukaan pasaran AEC ini.

Usahawan Bumiputera mestilah mempunyai kekuatan dari segi jati diri, daya saing, melihat peluang, ketelusan berurus niaga dan membina etika berniaga. Kebanyakan usahawan Bumiputera mempunyai semangat dan cita-cita tinggi untuk memasarkan hasil keluaran mereka ke luar negara, namun yang menjadi faktor utama kegagalan mereka berbuat demikian ialah kurang arif berhubung prosedur, dasar, cara yang betul untuk mengeksport, komunikasi dua hala, politik semasa, senario pasaran, tidak mempunyai rangkaian perniagaan yang kukuh dan strategi pemasaran atau promosi yang lemah.

Kelemahan yang dikenal pasti antara penyumbang utama usahawan Bumiputera gagal dalam memasarkan produk mereka ke luar negara ialah sikap suka bergantung harap kepada kerajaan untuk membantu mereka dalam semua perkara daripada membuka perniagaan sehinggalah ke peringkat memasarkan keluaran kepada pembeli atau pemborong.

Usahawan Bumiputera bersikap 'tunggu dulu', 'sabar tak akan lari gunung dikejar', 'kalau ada rezeki tak akan ke mana' dan menyebabkan mereka ketinggalan jauh dalam bidang ekonomi. Budaya keusahawanan ini tidak membantu daya maju perniagaan dan budaya ini pastinya menjadikan kita orang asing di negara sendiri menjelang AEC dilaksanakan sepenuhnya.

Kebaikan, kemurahan dan kesungguhan kerajaan untuk membantu usahawan Bumiputera memang tidak dinafikan dari dahulu sehinggalah sekarang. Program Go Eksport dan program e-trade yang dikendalikan oleh MATRADE adalah inisiatif bagi melonjakkan pengukuhan daya saing syarikat tempatan dalam pasaran asing termasuk pasaran ASEAN.

Kedua-dua inisiatif ini membabitkan program bantuan khusus yang distruktur mengikut kemampuan setiap syarikat yang mengambil bahagian bagi meningkatkan kemahiran eksport syarikat tempatan khususnya usahawan Bumiputera. Program pembangunan pengeksport muda pula ialah satu program khusus untuk usahawan muda bagi membangunkan usahawan pelapis yang berkemampuan untuk menembusi pasaran eksport.

Kesempatan ini adalah satu peluang bagi usahawan Bumiputera memanfaatkan program persediaan meraih potensi AEC. Justeru, usahawan Bumiputera yang masih belum berdaftar dengan MATRADE perlulah segera mendaftarkan diri.

Kerajaan tidak pernah berputus asa untuk mencari jalan, membuka idea, mencari peluang untuk diberikan kepada usahawan Bumiputera. Sehingga ke hari ini kekuatan usahawan Bumiputera dalam bidang ekonomi amat bergantung sepenuhnya kepada kerajaan dalam semua bidang.

Agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera membuktikan kemurahan dan kesediaan kerajaan terus menerus membantu ekonomi Bumiputera.

Ubah strategi perniagaan

Usahawan Bumiputera tidak boleh meneruskan perniagaan seperti sedia ada tetapi harus mulai membentuk langkah strategik yang mampu meraih peluang AEC. Apakah strategi yang boleh diambil agar mampu berdaya saing di tengah-tengah atmosfera AEC?

Antara strategi yang dapat dilakukan dalam menghadapi AEC adalah usahawan Bumiputera harus menyedia dan mempunyai pelan strategik perniagaan dengan tujuannya untuk menciptakan keunggulan daya saing sebagai faktor yang membezakan perusahaannya dengan pesaingnya. Langkah ini mampu memberikan kedudukan unik di pasaran sehingga unggul bersaing dengan usahawan ASEAN lain.

Pelan strategik perniagaan adalah hala tuju tindakan yang disusun oleh usahawan untuk mencapai misi, sasaran, dan tujuan perusahaan. Ada tiga pilihan strategik.

Pertama, strategi penjimatan kos pengeluaran yang membawa erti, usahawan harus berusaha menjimatkan kos pengeluaran dengan biaya paling rendah dibandingkan dengan pesaingnya dalam industri sama.

Keduanya, keunikan produk, iaitu usahawan harus berusaha membangunkan kesetiaan pelanggan melalui penempatan produk atau perkhidmatan secara unik atau berbeza dan ketiganya, strategi bangunkan kualiti, iaitu yang dilakukan perusahaan untuk fokus terhadap kualiti produknya daripada kuantiti.

Strategi kedua ialah peka dengan perubahan budaya AEC itu sendiri. Usahawan Bumiputera harus mulai mempelajari dan memahami budaya AEC serta peka terhadap perubahan budaya perniagaannya. Perkembangan arah aliran dan teknologi mengakibatkan begitu cepatnya perubahan yang terjadi dalam semua sektor perniagaan.

Usahawan yang tidak bersiap sedia tentu akan berhadapan masalah bersaing dan akhirnya akan mengalami kemunduran di pasaran. Dengan selalu mengasah kepekaan terhadap perubahan, maka usahawan akan mudah menentukan sasaran, cara dan mencapai hasil yang sudah ditetapkan sesuai dengan arah aliran dan keadaan persaingan.

Strategi ketiga ialah pengukuhan jenama produk atau perkhidmatan. Saiz pasaran AEC adalah rezeki luas untuk usahawan Bumiputera memperkenalkan dan memperkukuhkan jenama produk atau perkhidmatan.


USAHAWAN Bumiputera perlu mengutamakan kualiti produk untuk tembusi pasaran negara ASEAN. - Foto hiasan

Pengukuhan jenama

Pengukuhan jenama, akan mencipta peluang produk usahawan Bumiputera untuk menguasai pasaran AEC. Tidak kiralah sebesar mana pun atau sekecil mana pun syarikat atau produk itu, jenama akan membuatkan ia bernilai. Jenama adalah satu-satunya cara paling efektif dalam menguasai pasaran. Jenama akan membantu membentuk identiti syarikat dan produk.

Banyak jenama Malaysia telah berjaya menembusi pasaran ASEAN dan langkah pengukuhan jenama ini adalah satu strategi yang wajar dilakukan. Jenama Upin Ipin adalah contoh terbaik yang boleh diteladani usahawan Bumiputera.

Jika ketiga-tiga strategi diatas dapat dilaksanakan oleh usahawan Bumiputera, maka AEC akan menjadi satu pasaran lumayan. Kesediaan usahawan Bumiputera mengubah strategi berniaga dijangka membolehkan mereka meraih manfaat potensi AEC. Jika ini berlaku AEC bukanlah hal yang menakutkan bagi usahawan Bumiputera, malah akan menjadi cabaran dan peluang untuk perniagaan mereka.

Tentunya, ketiga-tiga strategi itu perlu dilaksanakan secara berterusan. Matlamat akhir pembentukan strategi ini adalah untuk menjadikan AEC menguntungkan usahawan Bumiputera.

Harus disedari sama ada AEC bakal membawa keuntungan atau kerugian kepada usahawan Bumiputera bergantung kepada tindakan yang diambil. Jadikan AEC peluang keuntungan bagi usahawan Bumiputera.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu

0 Komentar untuk " Usahawan Bumiputera perlu rebut potensi AEC "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ