Tambah tenaga dengan inovasi Moola - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tambah tenaga dengan inovasi Moola

MUNGKIN ada di antara kita pernah mendengar snek bar tenaga yang digunakan oleh angkasawan negara untuk dibawa ke angkasa lepas sebagai makanan mereka.

Untuk pengetahuan snek bar tenaga berkhasiat tersebut merupakan hasil inovasi oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada 2007.

Menyedari potensi untuk produk tersebut dijual di pasaran pada 2012 Mardi menjalankan kerjasama dengan Agro Jerneh Sdn Bhd (Agro Jerneh) untuk mengeluarkan produk tersebut.

Agro Jerneh, merupakan syarikat yang mengeluarkan snek bar tenaga jenama Moola dan Moola Bar dalam pasaran tempatan bermula hujung 2013 dengan salutan kurma, pisang dan roselle.

Bagi yang pernah merasainya pasti dapat membayangkan kekenyalan snek tersebut bila dikunyah dengan tiga perisa utama iaitu kurma, pisang atau Roselle.

Jika anda penggemar makanan mahupun snek bar pasti akan dapat meneka bahan utama yang digunakan dalam menghasilkannya kerana ia memberi rasa lemak, manis, masin dan kenyal.

Pengarah Urusan Agro Jerneh, Mohsein Shariff berkata,  snek bar tenaga Moola merupakan produk inovasi yang dijalankan pihaknya bersama Mardi.

“Kerjasama antara Agro Jerneh dan Mardi telah bermula dari 2009 di mana kami merasakan teknologi ini sudah sedia untuk diketengahkan kepada masyarakat.

“Masyarakat hari ini juga lebih mengutamakan makanan yang berkhasiat dan mampu memberi mereka tenaga, dan itulah yang kami hasilkan melalui snek Moola,” katanya ketika ditemui di Nilai, baru-baru ini.

Mohsein berkata dalam menghasilkan snek bar tenaga Moola pihaknya memilih menggunakan bahan semula jadi dari buah-buahan tanpa pewarna tiruan.

“Bahan utama kami gunakan adalah oat, badam dan bertih beras yang dicampurkan sekali dan kemudian digaulkan bersama buah kurma yang dimasak bagi melekatkan bahan tersebut menjadi bar.

“Selain kurma,  kami juga menggunakan pisang dan roselle bagi melekatkan bahan-bahan tersebut tanpa menggunakan gula,” katanya.

Jenama Moola lambang produk semula jadi

Mohsein berkata nama sesuatu jenama memainkan peranan penting di mana ianya haruslah mudah untuk disebut dan diingati oleh pengguna.

Menyedari masyarakat hari ini perlukan makanan yang baik dan sihat serta semula jadi, maka nama Moola dipilih untuk melambangkan snek bar tenaga yang berkhasiat dan enak.

“Kami mula menjalankan pengeluaran secara komersil bermula pada 2012 selepas menerima mesin Sollich Line yang diimport dari Jerman.

“Alhamdulillah setakat ini kami berjaya mengeluarkan lebih dari lima juta snek bar tenaga Moola sepanjang tempoh dua tahun kami beroperasi dan saya berharap kapasiti pengeluaran terus meningkat,” katanya.

Menurut Mohsein, Agro Jerneh mampu mengeluarkan sehingga empat juta snek bar tenaga jika mengikut kapasiti mesin yang sedia ada dan pihaknya menyasarkan mengeluarkan 10 juta snek bar tenaga dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Semua itu akan dapat dicapai memandangkan pihak Mardi sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada kami dalam mengembangkan perniagaan,” katanya.

Mohsein berkata di awal penubuhan kilang Agro Jerneh menerima bantuan kewangan melalui dana TechnoFund oleh Mardi.

Bakal keluarkan tiga perisa baharu

Ditanya sama ada Agro Jerneh akan mengeluarkan perisa lain bagi snek bar tenaga Moola, Mohsein berkata buat masa ini pihaknya sedang memberi tumpuan bagi mengukuhkan perisa sedia ada di pasaran.

“Kami sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan pelbagai perisa baharu terutamanya dari buah-buahan tempatan kepada rakyat Malaysia.

“Mengikut perancangan kami akan mengeluarkan snek bar tenaga Moola berperisa strawberi, kismis dan durian selepas ini,” katanya.

Mohsein berkata ketiga-tiga perisa baharu tersebut hanya akan dilancarkan apabila tiba masanya memandangkan pihaknya tidak mahu lambakan produk Moola dalam pasaran dan menjejas jualan.

“Untuk pengetahuan semua snek bar tenaga Moola mula menembusi pasaran tempatan pada penghujung 2013 dan orang ramai boleh mendapatkannya di pasar raya Aeon Big serta rangkaian Kedai Buku 1 Malaysia.

“Kami juga dalam perancangan menembusi kedai serbaneka Circle-K, kedai Mesra Petronas dan Mydin selain melantik Neo Distribution Sdn Bhd (Neo Distribution) sebagai pengedar rasmi produk kami,” katanya.

Melalui kerjasama dengan Neo Distribution, produk Moola akan dipasarkan melalui koperasi di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

0 Komentar untuk " Tambah tenaga dengan inovasi Moola "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ