MD RAIS menunjukkan teknologi sistem GWT500 yang dibangunkan oleh syarikat AWSM. - Foto Shazreen Zamzuri
Aktiviti vandalisme termasuk membakar sampah dalam lohong sampah di rumah pangsa bukanlah sesuatu baharu dan mengejutkan. Tindakan tidak bertanggungjawab itu kadangkala mengakibatkan kemusnahan yang lebih teruk selain boleh membahayakan nyawa penghuni.
Bertindak atas dasar suka-suka atau dendam kerana gagal mengambil barangan terpakai yang dibuang dalam kontena yang berdinding tinggi menyebabkan aktiviti vandalisme ini semakin berleluasa.
Bagi mengatasi masalah itu, di sesetengah rumah pangsa yang lama, pihak berkuasa termasuk bomba sudah melarang penggunaan lohong sampah bagi mengelakkan kejadian vandalisme yang sekali gus merosakkan hartanah dan nyawa.
Akibatnya, penghuni terpaksa bawa sampah dan dibuang di tempat disediakan lazimnya di bawah. Bagi penghuni yang tidak bertanggungjawab sampah hanya dilonggokkan di hujung koridor atau diletakkan atas tangga. Keadaan bukan saja mengotorkan persekitaran, malah menyakitkan mata yang memandang.
Persekitaran selesa, berkonsep hijau
Dalam usaha mahu menjadikan persekitaran rumah pangsa kos rendah atau mampu milik lebih selesa dan berkonsepkan hijau dengan keadaan sekeliling yang bersih dan udara yang tidak tercemar, syarikat Automated Waste System (M) Sdn Bhd (AWSM) berjaya menghasilkan teknologi sistem pungutan sampah yang teratur di bangunan tinggi.
Sistem yang dikenali sebagai Sistem Graviti Pemindahan Sampah (GWT500) menggunakan kaedah tarikan graviti bagi membolehkan beg sampah jatuh ke bahagian paling bawah iaitu ke bilik chute (bilik pengumpulan sampah) yang dibina secara menegak bagi mengelakkan sampah terlekat pada dinding.
Lebih menarik, Pengarah Urusan AWSM, Md Rais Mansor, berkata teknologi itu dibangunkan sepenuhnya dengan tenaga tempatan ini mampu memungut sehingga 20 meter padu sampah dalam satu-satu masa.
Bercerita mengenai teknologi dibangunkan syarikatnya, beliau berkata pihaknya menjalankan penyelidikan selama 18 bulan untuk membangunkan sistem pungutan sampah bagi kos rendah dan ia siap sepenuhnya akhir tahun lalu.
"Tempat pembuangan sampah adalah perkara yang sering dipinggirkan pemaju. Dengan teknologi GWT500, pemaju hanya memerlukan kos yang rendah untuk menyediakan tempat pembuangan sampah.
"Malah, secara kasar, teknologi yang dibangunkan ini hanya memerlukan kos yang minimum untuk penyelenggaraan dan juga kos utiliti. Bukan itu sahaja, bagi satu unit GWT500 yang dibina secara menegak boleh digunakan kira-kira 3,000 unit rumah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.
Sebelum ini, AWSM sudah membangunkan teknologi pengendalian bahan buangan menerusi pindahan teknologi dari firma berpangkalan di Finland, Ecosir Group Ltd menerusi sistem yang dikenali sebagai XMIT500.
KAKITANGAN AWSM menunjukkan isyarat bagus dengan produk GWT500. - Foto Shazreen Zamzuri
Teknologi digunakan meluas
Teknologi itu yang digunakan secara meluas di negara Scandinavia, Asia Barat dan Asia Timur sudah mencapai Piawai Eropah di samping diterima sebagai produk Indeks Bangunan Hijau (GBI).
Sistem XMIT500 dibangunkan untuk kondominium mewah yang turut dilengkapi ciri keselamatan termasuk penggunaan kad pintar.
Berbalik kepada sistem GWT500, Md Rais berkata ia sesuai dipasang di rumah mampu milik yang empat tingkat ke atas dan kosnya rendah.
"Bagi perumahan yang sedia ada, pemasangan sistem ini boleh dilakukan, bagaimanapun perlu pengubahsuaian ruang dan seterusnya mungkin akan meningkatkan kos.
"Sehubungan itu, AWSM lebih menumpukan kepada perumahan yang dalam rancangan pembinaan kerana lebih mudah untuk mengenal pasti ruang," katanya yang berharap mendapat bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi pemasangan sistem berkenaan di rumah mampu milik yang bakal dibina.
Guna tenaga graviti
Sistem ini hanya memerlukan ruang pembuangan sampah, bilik chute atau bilik pembuangan sampah yang dilengkapi penyiram air automatik, chamber dan kontena bertutup.
"Proses agak mudah, sampah berbungkus yang dibuang akan dijatuhkan dengan menggunakan tenaga graviti di tempat yang disediakan. Selepas ia mencecah kadar maksimum, injap akan terbuka dan sampah akan masuk ke chamber dan seterusnya sampah itu ditolak ke kontena tertutup. Sebaik kontena penuh, ia dihantar ke pusat pelupusan sampah," katanya.
Antara ciri keselamatan yang disediakan termasuk mampu mengelakkan kanak-kanak daripada bermain di lohong sampah kerana kedudukan pintu lohong itu tinggi dan agak berat.
Bagi mengelakkan perbuatan vandalisme seperti membakar sampah di lohong sampah itu, GWT500 mempunyai sistem pengesanan yang membolehkan sampah terbakar masuk dan pintu lohong ditutup, sekali gus menyebabkan ketiadaan udara yang boleh memarakkan api.
Mempunyai pengalaman 25 tahun dalam bidang industri pembinaan, rekaan dalaman, pembangunan dan perancang perumahan serta bidang berkaitan sistem pungutan sampah dengan syarikat antarabangsa dan tempatan, Md Rais berkata, kontena bertutup mampu mengurangkan pengeluaran gas beracun yang terhasil daripada sisa buangan yang sekali gus mengurangkan bau dan meminimumkan risiko kesihatan.
Harapannya supaya kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mengasingkan sampah pada peringkat awal yang sekali gus bukan sahaja memudahkan kerja pembuangan sampah, tetapi juga menjaga alam sekitar.
0 Komentar untuk " Pungut sampah guna sistem graviti efektif "